Potensi Herba Sebagai Rawatan Alternatif (Bahagian 2)

Baca bahagian 1 di sini.

Perubatan tradisional melayu yang telah wujud berabad lamanya menggunakan herba dan bahan dari alam sebagai satu kaedah rawatan. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), perubatan tradisional adalah himpunan pengetahuan, kemahiran serta amalan-amalan berdasarkan teori, kepercayaan dan pengalaman yang berasal daripada budaya yang berbeza, sama ada dijelaskan atau tidak, digunakan untuk mengekalkan kesihatan serta pencegahan, pemulihan atau merawat penyakit fizikal dan mental. Selain itu, penggunaan herba sangat sinonim dalam masakan melayu seperti halia, kunyit, ketumbar, jintan manis, jintan putih, kulit kayu manis serta bunga lawang yang berkhasiat dan membantu menyedapkan masakan.

Tambahan lagi, herba juga dijadikan ulam-ulaman yang dipercayai dapat memberi manfaat kesihatan dan kecantikan contohnya petai, pegaga, ulam raja dan jering. Misalnya ulam pegaga diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk membantu peredaran darah, meningkatkan kesihatan kulit dan menjana kecerdasan berfikir dikalangan kanak-kanak. Minyak pati yang terdapat dalam herba seperti serai wangi, pandan wangi, dan limau purut telah digunakan oleh masyarakat melayu khususnya. Minyak pati ini digunakan sebagai aromaterapi, minyak wangi, sabun, kosmetik, minyak urut, menghalau serangga, merawat penyakit dan turut digunakan dalam industri makanan. Jika diperhatikan, penggunaan herba sebagai rawatan alternatif untuk merawat pelbagai jenis penyakit telah digunakan sejak dahulu lagi tanpa bersandarkan bukti saintifik. Masyarakat dahulu menggunakan herba berdasarkan pemerhatian dan pengalaman dalam satu-satu masa.

 

Contoh tumbuhan herba. Sumber: wallpaperaccess.com

Kaedah yang digunakan dalam penghasilan herba tradisional termasuk infusi (infusion), perebusan (decoction) dan tinktur (tincture) dengan menggunakan bahagian tertentu atau keseluruhan tumbuhan herba. Infusi ialah satu kaedah yang paling lazim digunakan yang mana air panas digunakan untuk mengekstrak sebatian kimia daripada herba. Dekoksi pula merupakan kaedah perebusan bahan herba untuk menghasilkan cecair terapeutik. Manakala tinktur ialah satu proses pengekstrakan herba menggunakan pelarut iaitu campuran alkohol dan air bagi mengeluarkan sebatian kimia pada kepekatan yang lebih tinggi. Bahagian herba yang sering digunakan untuk diekstrak ialah daun, bunga, akar, buah, getah dan kulit kayu kerana setiap bahagian herba mempunyai khasiatnya tersendiri.

Pengambilan herba secara kosisten dan berterusan membantu mempercepatkan proses penyembuhan penyakit. Contohnya, penggunaan patawali (Tinosprora tuberculata) yang digunakan dalam rawatan darah tinggi, mengkudu (Morinda citrifolia) bagi merawat penyakit buah pinggang, misai kucing (Orthosiphon stamineus) digunakan bagi merawat kencing manis dan halia (Zingiber officinale) membantu merawat masalah penghadaman. Keberkesanan herba dalam membantu merawat pelbagai jenis penyakit telah menarik minat para penyelidik untuk mengkaji secara lebih mendalam tentang ciri perubatan yang terdapat dalam tumbuhan herba.

Setiap pokok herba mengandungi kandungan fitokimia yang tinggi dan berbeza-beza antaranya minyak pati dan metabolit sekunder seperti flavonoid, alkaloid, steroid, glikosida, dan tannin. Metabolit sekunder dalam herba termasuk dalam kategori sebatian bioaktif atau fitokimia yang berfungsi sebagai perlindungan daripada radikal bebas yang terhasil semasa proses fotosintesis dan sebagai agen penarik serangga semasa pendebungaan atau bagi merencat tumbuhan pesaing lain. Setiap sebatian mempunyai struktur molekular yang berbeza dan mempunyai bioaktiviti yang mensasarkan pada komponen yang spesifik pada tapak laluan tertentu. Sebatian bioaktif ini berfungsi sebagai antimikrob, antidiabetes, antitumor, antioksida dan fungsi lain yang sangat bermanfaat kepada manusia.

Terdapat 4000 jenis flavonoid seperti flavon, flavonol, isoflavon, tannin dan katecin yang bertindak sebagai antioksidan, antiradang, antibakteria dan antivirus. Satu spesies herba boleh mengandungi pelbagai jenis flavonoid. Seterusnya, sebatian alkaloid membantu merangsang sistem penghadaman serta pengaliran darah dan kebiasaannya digunakan untuk merawat kanser dan asma. Glikosida pula adalah satu sebatian yang kompleks yang bersifat antibakteria manakala tannin digunakan untuk merawat kulit terbakar, melecur, ulser dan luka. Oleh itu, sebatian bioaktif ini mempunyai nilai terapeutik yang boleh digunakan sebagai sebatian utama dalam ubatan moden.

Ilustrasi ujian ekstrak fitokimia. Sumber: Unida Gontor

Sebatian bioaktif yang terdapat dalam peria (Momordica charantia) iaitu Momordicine I dan Momordicine II boleh digunakan untuk rawatan kencing manis dan membantu meningkatkan perembesan insulin serta menangani masalah kerintangan insulin. Sambung nyawa (Gynura procumbens) pula dapat bertindak sebagai antivirus herpes simplex, antikeradangan dan hiperglisemia. Dalam rawatan kencing manis, herba ini dapat meningkatkan pengambilan glukosa oleh tisu otot yang disebabkan oleh pengaruh metabolisme glukosa melalui tapak laluan glikolitik dan perencatan penghasilan glukosa hepatik dalaman melalui tapak laluan glukoneogenik.

Terdapat lima sebatian utama dalam tumbuhan ini yang ditemui menerusi keputusan analisa Gas chromatography–mass spectrometry (GC-MS) iaitu 2-heksanal, fenol, asid oleik, copaene and fitol. Manakala hempedu bumi (Andrographis paniculata) yang mempunyai sebatian bioaktif seperti diterpene lactones, flavonoid dan polifenol mampu bertindak sebagai antikeradangan, antikesuburan, pelindung hati, antiHIV dan merangsang rembesan hempedu. Sebatian bioaktif vinblastin dan vinkristin yang diperolehi daripada kemunting cina (Cantharathus roseus) boleh digunakan sebagai bahan antikanser dan sebatian bioaktif piperin dari lada hitam (Piper nigrum) digunakan dalam rawatan kemoterapi. Sebatian bioaktif semula jadi ini membantu dalam penghasilan ubat atau produk berasaskan herba menggantikan bahan kimia yang terdapat dalam ubatan moden.

Baca bahagian 3 di sini.

Rujukan

  • Abd Aziz, S. F. & Yunos, Y. (2019). Khasiat herba dalam kitab tib melayu. Akademika, 89, 151-162.
  • Abd Hamid, H. (17 Febuari 2021). Penggunaan ubatan herba sebagai rawatan penyakit: manfaat atau mudarat? Dicapai pada 6 April 2021, daripada https://news.ump.edu.my
  • Abd Rahman, R. & Chee, B. J. (2015). Prosiding persidangan industri herba 2015: Memperkasa jalinan industry herba kearah transformasi ekonomi, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia.
  • Abdul Malek, A. (27 Febuari 2019). Usaha Memanfaatkan Herba Kita. Dicapai pada 5 April 2021, daripada http://fomca.org.my.
  • Alias, A. (18 Oktober 2018). Pelan industri herba akan diperkenal. Dicapai pada 14 April 2021, daripada https://www.bharian.com.my/
  • Penyakit jantung iskemik kekal pembunuh nombor satu di Malaysia. (26 November 2020).Dicapai pada 5 April 2021, daripada https://www.bharian.com.my/
  • Che Mat Kamel, N. S. E. (30 Jun 2019). USM peminherb bantu usahawan hasilkan minyak pati semulajadi. Dicapai pada 14 April 2021, daripada https://www.kk.usm.my.
  • Herba ubatan masih berperanan penting dalam penjagaan kesihatan. (4 Febuari 2014). Dicapai pada 6 April 2021, daripada Utusan Borneo Online.
  • Ismail, S., & Mohd Mokhtar, S. S. (2017). Corak pembelian produk berasaskan herba di Malaysia. International Journal of Molecular Sciences, 24(1),91-118.
  • Mohd Said, S. (22 Januari 2021). Ubat, gaya hidup sihat penting bagi mengurus penyakit kronik. Dicapai pada 14 April 2021, daripada https://hpupm.upm.edu.my.
  • Mohd Zaidan, M. W. A., & Othman, S. M. (2016). Potensi herba dalam merawat, mengawal dan mengurangkan penyakit diabetes. Buletin Teknologi MARDI, 10, 67 – 74.
  • Osman, C. P. (20 Mei 2019). Ubatan moden dari tumbuhan. Dicapai pada 14 April 2021, daripada http://www.drcheputeh.com.
  • Pin, C. H. (2013). Produk makanan berasaskan herba dan keperluan jaminan. Buletin Teknologi MARDI, 3, 79-86.
  • Potensi dan nilai ekonomi pasaran herba. (3 Januari 2014). Dicapai pada 14 April 2021, daripada Blog rasmi MARDI.
  • Rozano, L., Abdullah Zawawi, M. R., & Jaganath, I. B. (2016). Daripada tumbuhan kepada ubatan: aplikasi kemoinformatik dalam mengeksploitasi potensi tumbuhan bagi rawatan penyakit. Buletin Teknologi MARDI,9,21 – 29.
  • Rusli, N. N., Kiat, C. J., & Ismail, I. (2017). Penjanaan kultur akar adventitius daripada Andrographis paniculata serta analisis profil metabolit. Undergraduate Research Journal for Biomolecular Sciences and Biotechnology, 1, 190-199.
  • Samsudin, N. L. (27 Januari 2019). Bijak pilih ubat tradisional. Dicapai pada 14 April 2021, daripada https://www.hmetro.com.my/
  • Sulaiman, N. A. Jumlah pesakit diabetes meningkat ketara. Dicapai pada 14 April 2021, daripada https://www.bharian.com.my/
  • Zainal Abidin, Z., Mohamad, W. N. & Samadi, M. (2016). Pengoptimuman proses pengekstrakan klorofil daripada Gynura procumbens. Malaysian Journal of Analytical Sciences, 20 (6), 1421 – 1428.

Disunting oleh Mira Ashikin

MENGENAI PENGARANG

Pegawai Latihan Vokasional di Universiti Malaysia Perlis | syarifahrokiah@unimap.edu.my | + ARTIKEL TERDAHULU

Beliau memperoleh Ijazah Sarjana dalam bidang Kejuruteraan Bioteknologi. Kini berkhidmat sebagai Pegawai Latihan Vokasional di Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP).

One thought on “Potensi Herba Sebagai Rawatan Alternatif (Bahagian 2)”

  1. Pingback: Potensi Herba Sebagai Rawatan Alternatif (Bahagian 1) – Angkasfera
  2. Trackback: Potensi Herba Sebagai Rawatan Alternatif (Bahagian 1) – Angkasfera

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

two × 3 =