Kesihatan merupakan salah satu aspek utama dalam kemajuan dan kemakmuran negara. Berdasarkan Badan Kesihatan Sedunia (WHO), kesihatan ialah satu tahap atau keadaan di mana seseorang individu itu mempunyai kesejahteraan yang sempurna dari segi fizikal, mental dan sosial dan bukan hanya semata-mata bebas daripada penyakit atau tidak berdaya. Masyarakat mengamalkan gaya hidup yang tidak sihat sehingga mengabaikan pelbagai aspek penjagaan kesihatan. Antara contoh gaya hidup yang tidak sihat ialah kesibukan harian sehingga tidak cukup masa rehat dan tidur, tabiat merokok, tidak bersarapan, penyalahgunaan dadah dan ketagihan alkohol. Namun, mutakhir ini isu kesihatan kian menjadi kerisauan masyarakat negara kita dan pelbagai cara dilakukan bagi menangani masalah ini seperti bersenam, menjaga pemakanan dan pengambilan makanan tambahan. Kesedaran dalam penjagaan kesihatan semakin meningkat dikalangan rakyat Malaysia susulan daripada penularan COVID-19. Saban tahun kadar pesakit di Malaysia kian meningkat seperti penyakit pneumonia, darah tinggi, kencing manis, kanser dan penyakit jantung kekal menjadi penyebab utama kematian di Malaysia. Kesan daripada penyakit ini memberi kesan negatif terhadap kualiti hidup, kos penjagaan kesihatan yang membebankan ekonomi individu malah mengurangkan produktiviti negara. Pelbagai usaha dilakukan oleh pesakit untuk merawat penyakit yang dihidapi termasuklah pengambilan ubatan moden.
Kajian mendapati 39% daripada orang dewasa berusia 65 tahun atau lebih mengambil lima ubat atau lebih untuk penyakit yang dihidapi. Sementara itu, 59% daripada orang dewasa berusia 65 tahun atau lebih mengambil ubat yang tidak perlu. Harga ubatan yang semakin meningkat saban tahun memberikan bebanan kepada masyarakat khususnya kepada golongan yang kurang berkemampuan. Selain itu, negara kita terpaksa menampung kos yang tinggi untuk mengimport ubat-ubatan dari luar negara bagi menampung keperluan yang kian meningkat setiap tahun. Sebagai contoh pada tahun 2017, kos tahunan bagi pengurusan penyakit diabetes atau kencing manis dianggarkan sekitar RM 2.04 bilion dan sebanyak RM 1.40 bilion terpaksa ditanggung kerajaan. Perbelanjaan kos perubatan pada masa hadapan pula akan meningkat atas faktor pertambahan penduduk yang semakin berusia, paten baharu ubat pada harga monopoli, anjakan kepada penyakit kronik dan peningkatan permintaan penjagaan kesihatan.

Pokok tongkat ali digunakan di dalam perubatan tradisional. Sumber: https://bionutriciaextract.com
Pesakit kronik kebiasaannya perlu mengambil ubat-ubatan dengan kadar yang banyak dan berterusan. Kebergantungan pesakit kepada ubatan moden dalam tempoh yang panjang memberi kesan negatif kepada pesakit kerana kesan bahan kimia yang terdapat di dalam ubat tersebut. Sebagai contoh ubat untuk merawat kencing manis jenis 2 iaitu Metformin dilaporkan memberi kesan sampingan terhadap sistem penghadaman yang menyebabkan loya, muntah, cirit-birit dan kekejangan. Pengambilan Amylinomimetic iaitu ubat kencing manis jenis 1 menyebabkan pesakit muntah, sakit kepala dan kurang gula dalam darah (hypoglycemia). Manakala kesan pengambilan ubat jantung (Digoxin) menyebabkan pesakit muntah dan denyutan jantung tidak seragam. Sebagai alternatif pesakit mencari sumber lain yang lebih selamat, jimat dan semula jadi untuk merawat penyakit seperti ubatan berasaskan herba.
Malaysia yang mempunyai hutan hujan tropika kaya dengan khazanah alam semula jadi yang terdiri dari flora dan fauna. Herba adalah salah satu khazanah yang banyak memberi manfaat kepada manusia sejak dahulu lagi. Terdapat 15,000 spesis tumbuhan di Malaysia dan 2,000 daripadanya adalah herba yang dilaporkan berpotensi untuk diterokai dan dibangunkan menjadi ubatan alternatif menggantikan ubatan moden yang lebih selamat, berkualiti dan berkesan. Merujuk kepada kamus dewan edisi keempat herba bermaksud sejenis tumbuhan yang batangnya tidak berkayu, daunnya dapat dibuat makanan, ubat dan pewangi. Menurut WHO, dianggarkan sebanyak 80% atau empat bilion penduduk dunia menggunakan ubatan berasaskan herba. Negara China dan India adalah antara negara yang terawal menggunakan perubatan tradisional berasaskan herba. Selain itu, industri herba Malaysia sedang pesat membangun dan turut diketengahkan dalam sektor pertanian Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) malah menjadi cabang utama kepada Dasar Agromakanan Negara. Herba dijadikan Projek Permulaan Pertama (EPP1) bagi NKEA pertanian negara. Pada mulanya projek ini tertumpu kepada lima jenis herba iaitu tongkat ali, kacip fatimah, misai kucing, hempedu bumi dan dukung anak. Kemudian enam spesis herba lagi disenaraikan iaitu mengkudu, rosel, halia, mas cotek, belalai gajah dan pegaga. Matlamatnya adalah untuk menghasilkan produk bernilai tinggi untuk meningkatkan pendapatan kasar negara. Oleh hal yang demikian, kajian saintifik ke atas herba ini perlu dijalankan untuk dijadikan sumber penting dalam industri herba seterusnya dapat mengurangkan kos pengimportan ubatan dari luar.
Baca Bahagian 2 di sini.
Rujukan
- Abd Aziz, S. F. & Yunos, Y. (2019). Khasiat herba dalam kitab tib melayu. Akademika, 89, 151-162.
- Abd Hamid, H. (17 Febuari 2021). Penggunaan ubatan herba sebagai rawatan penyakit: manfaat atau mudarat? Dicapai pada 6 April 2021, daripada https://news.ump.edu.my
- Abd Rahman, R. & Chee, B. J. (2015). Prosiding persidangan industri herba 2015: Memperkasa jalinan industry herba kearah transformasi ekonomi, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia.
- Abdul Malek, A. (27 Febuari 2019). Usaha Memanfaatkan Herba Kita. Dicapai pada 5 April 2021, daripada http://fomca.org.my.
- Alias, A. (18 Oktober 2018). Pelan industri herba akan diperkenal. Dicapai pada 14 April 2021, daripada https://www.bharian.com.my/
- Penyakit jantung iskemik kekal pembunuh nombor satu di Malaysia. (26 November 2020).Dicapai pada 5 April 2021, daripada https://www.bharian.com.my.
- Che Mat Kamel, N. S. E. (30 Jun 2019). USM peminherb bantu usahawan hasilkan minyak pati semulajadi. Dicapai pada 14 April 2021, daripada https://www.kk.usm.my.
- Herba ubatan masih berperanan penting dalam penjagaan kesihatan. (4 Febuari 2014). Dicapai pada 6 April 2021, daripada Utusan Borneo Online.
- Ismail, S., & Mohd Mokhtar, S. S. (2017). Corak pembelian produk berasaskan herba di Malaysia. International Journal of Molecular Sciences, 24(1),91-118.
- Mohd Said, S. (22 Januari 2021). Ubat, gaya hidup sihat penting bagi mengurus penyakit kronik. Dicapai pada 14 April 2021, daripada https://hpupm.upm.edu.my.
- Mohd Zaidan, M. W. A., & Othman, S. M. (2016). Potensi herba dalam merawat, mengawal dan mengurangkan penyakit diabetes. Buletin Teknologi MARDI, 10, 67 – 74.
- Osman, C. P. (20 Mei 2019). Ubatan moden dari tumbuhan. Dicapai pada 14 April 2021, daripada http://www.drcheputeh.com.
- Pin, C. H. (2013). Produk makanan berasaskan herba dan keperluan jaminan. Buletin Teknologi MARDI, 3, 79-86.
- Potensi dan nilai ekonomi pasaran herba. (3 Januari 2014). Dicapai pada 14 April 2021, daripada Blog rasmi MARDI.
- Rozano, L., Abdullah Zawawi, M. R., & Jaganath, I. B. (2016). Daripada tumbuhan kepada ubatan: aplikasi kemoinformatik dalam mengeksploitasi potensi tumbuhan bagi rawatan penyakit. Buletin Teknologi MARDI,9,21 – 29.
- Rusli, N. N., Kiat, C. J., & Ismail, I. (2017). Penjanaan kultur akar adventitius daripada Andrographis paniculata serta analisis profil metabolit. Undergraduate Research Journal for Biomolecular Sciences and Biotechnology, 1, 190-199.
- Samsudin, N. L. (27 Januari 2019). Bijak pilih ubat tradisional. Dicapai pada 14 April 2021, daripada https://www.hmetro.com.my/
- Sulaiman, N. A. Jumlah pesakit diabetes meningkat ketara. Dicapai pada 14 April 2021, daripada https://www.bharian.com.my/
- Zainal Abidin, Z., Mohamad, W. N. & Samadi, M. (2016). Pengoptimuman proses pengekstrakan klorofil daripada Gynura procumbens. Malaysian Journal of Analytical Sciences, 20 (6), 1421 – 1428.
Disunting oleh Mustaqim Azman
MENGENAI PENGARANG
Beliau memperoleh Ijazah Sarjana dalam bidang Kejuruteraan Bioteknologi. Kini berkhidmat sebagai Pegawai Latihan Vokasional di Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP).
4 thoughts on “Potensi Herba Sebagai Rawatan Alternatif (Bahagian 1)”