Baca Bahagian 1 di sini.
JWST berjaya merekodkan kehadiran air dan bukti kewujudan awan dan jerebu (clouds and haze) di dalam atmosfera yang mengelilingi sebuah planet yang mengelilingi sebuah bintang di suatu sistem yang jauh. Pencerapan tersebut menunjukkan kehadiran zarah-zarah gas spesifik yang berbeza bergantung kepada perubahan kecil pada gelombang cahaya. Dalam erti kata lain, JWST mampu mencerap maklumat yang lebih mendalam dan terperinci berkenaan zarah gas di dalam atmosfera sesuatu eksoplanet tanpa mengira jaraknya. Ini merupakan suatu pencapaian yang memberangsangkan dan mampu membantu proses pencirian eksoplanet-eksoplanet yang mempunyai potensi untuk menampung hidupan di atasnya.
Bintang yang kelihatan di tengah-tengah imej ini telah pun menghasilkan cecincin gas dan debu selama ribuan tahun dalam setiap arah. Buat pertama kalinya, JWST memaparkan imej bintang ini diliputi debu angkasa. Dua kamera JWST menangkap gambar nebula planet ini – direkodkan sebagai NGC 3132 – yang dikenali sebagai Nebula Cincin Selatan (Southern Ring Nebula). Ia dianggarkan berada pada jarak 2500 tahun cahaya. Nebula berplanet – kepulan awan gas dan debu dilepaskan bintang yang mati – yang lain selain daripada di dalam gambar ini akan dicerap JWST dan dijangka memberi maklumat berkenaan ciri-ciri zarah yang wujud pada sesuatu nebula, sekali gus memberi data baru untuk meningkatkan pemahaman objek-objek angkasa yang terlibat.
Kuintet Stephan (Stephan’s Quintet) merujuk kepada sekumpulan lima galaksi yang dipopularkan di media Hollywood melalui filem klasik “It’s a Wonderful Life”. Kuintet ini dipaparkan melalui imej yang lebih baru dan terperinci, yang turut merupakan imej terbesar oleh JWST iaitu merangkumi hampir satu per lima daripada diameter Bulan. Ia mengandungi lebih 150 juta piksel dan dibina daripada hampir 1000 fail imej yang berbeza. Maklumat daripada JWST merupakan maklumat baru berkenaan interaksi di antara objek-objek angkasa yang membentuk sesuatu galaksi. Pencerapan inframerah membolehkan perincian dikesan daripada kuintet ini, contohnya kilauan kluster-kluster bintang serta kawasan-kawasan yang menjadi tempat kelahiran bintang baharu (clusters of young stars and starburst regions) yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Selain itu, JWST merekodkan gelombang kejutan (shock wave) yang lebih jelas kerana perlanggaran salah satu galaksi, NGC 7318B, yang berada di tengah-tengah kluster terbabit.
Gambar yang seolah-olah memaparkan landskap ‘pergunungan’ dipenuhi bintang-bintang ini adalah sebenarnya gambar hujung kawasan NGC 3324 di dalam Nebula Carina. Kawasan ini merupakan kawasan yang menjadi tempat kelahiran dan pembentukan bintang baharu. Digelar Cenuram Kosmik (Cosmic Cliffs), JWST memaparkan gambar yang menunjukkan perspektif tiga matra seolah-olah merangkumi kawasan pergunungan berlatarbelakangkan bintang-bintang di langit. Sebenarnya, gambar ini merupakan kawasan penghujung NGC 3324 yang terdiri daripada rongga-rongga bergas. ‘Puncak’ tertinggi dalam gambar ini berada pada kira-kira 7 tahun cahaya jaraknya. Kawasan berlekuk pada ‘pergunungan’ ini terbentuk daripada sinaran ultralembayung dan zarah-zarah terhasil daripada bintang-bintang baharu yang besar dan sangat panas, yang terletak pada kawasan di atas ‘pergunungan’ tersebut.
Gambar-gambar awal ini menunjukkan kemampuan teleskop yang bukan sahaja mempamerkan kualiti, malah kuantiti berkenaan objek angkasa yang mampu dicerap oleh JWST. Ini merupakan pemangkin kepada kejayaan dan penemuan yang lebih menarik pada masa hadapan, sekali gus memberi pengharapan baru dalam kajian angkasa lepas. Mungkinkah dengan melihat jauh di atas sana dapat memberi ilham kepada kita sebagai umat manusia untuk menghadapi cabaran di atas Bumi seperti perubahan iklim dan keselamatan makanan? Hanya masa dan usaha yang akan menentukannya.
Nota pengarang
Artikel ini merupakan terjemahan bagi artikel asal https://webb.nasa.gov/content/webbLaunch/deploymentExplorer.html#43
Rujukan
- https://webb.nasa.gov/content/science/
- https://webb.nasa.gov/content/webbLaunch/deploymentExplorer.html#43
- https://spaceplace.nasa.gov/james-webb-space-telescope/en/
- https://www.bbc.com/news/science-environment-62140044
Disunting oleh Adib Yusof
MENGENAI PENGARANG
Shakir memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains (Biologi) daripada Durham University, UK. Pernah berkhidmat sebagai penyelidik sambilan di Fakulti Sains & Teknologi, UKM membantu dalam aspek pencirian bahan elastin dari poltri. Kini merupakan seorang pembantu penyelidik siswazah di INBIOSIS, UKM.