Umum mengetahui bahawa perubahan iklim membawa kesan pada hasil pertanian di seluruh dunia. Kadar pertumbuhan dan penghasilan pengeluaran perusahaan pertanian merupakan aspek-aspek penting yang menyokong keselamatan makanan. Peningkatan suhu secara mendadak serta perubahan cuaca tidak menentu yang semakin kerap seperti kemarau dan banjir memberi kesan yang besar kepada perusahaan ini. Perubahan yang tidak terkawal ini berpotensi memberi kesan yang amat dahsyat kepada rantaian bekalan makanan.
Apakah tekanan terkini pada perusahaan pertanian?
Kesan utama perubahan iklim yang dapat dilihat ialah ketidaktentuan pola perubahan cuaca, musim yang sering bertukar dan tidak stabil, serta keadaan cuaca ekstrim yang berleluasa. Kesemua ini merupakan cabaran terkini yang dihadapi oleh para petani yang kebanyakannya menggunakan teknik pertanian yang tidak sesuai dan tidak mampu beradaptasi untuk menghadapi cabaran-cabaran ini.
Selain daripada perubahan iklim, terdapat faktor lain yang memberi kesan kepada rantaian bekalan makanan seperti penggunaan tenaga dan air yang tidak efisien. Juga, konflik Ukraine-Russia yang masih belum menemui titik penyelesaian kini memberi kesan kepada pengurangan bekalan gandum global. Secara kasarnya, 90 peratus daripada bekalan makanan yang dihasilkan akan digunakan di dalam sesebuah negara yang menyumbang kepada bekalan tersebut. Kesan kepada penghasilan makanan di sebuah negara pengeluar mampu memberi kesan mendadak kepada negara yang mengimport bekalan makanan tersebut. Oleh itu, semakin banyak rancangan yang diketengahkan oleh pelbagai negara untuk meningkatkan penghasilan makanan tempatan. Walau bagaimanapun, peningkatan pertanian dalam setiap negara membawa cabarannya yang tersendiri yang perlu diselesaikan pihak berkuasa masing-masing.
Adakah sektor pertanian memangkin perubahan iklim?
Antara faktor yang berkemungkinan sebagai penyumbang terbesar kepada krisis iklim ini ialah perusahaan pertanian secara intensif, terutamanya apabila perusahaan ini terlibat dalam pelepasan gas metana dan nitrus oksida. Di samping itu, pengurangan biodiversiti melalui penggunaan sistem tanaman monokultur sedikit sebanyak turut menyumbang kepada permasalahan ini.
Menurut Program Alam Sekitar Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Environment Programme (UNEP)), sistem makanan dunia merupakan pemacu utama yang meningkatkan kadar pengurangan biodiversiti. Laporan yang dikeluarkan pada tahun 2021 hasil kerjasama dengan Chatham House and Compassion in World Farming menunjukkan bahawa pertanian merupakan perusahaan yang mengancam kira-kira 86 peratus spesis yang berada di ambang kepupusan. Laporan ini turut mengesahkan bahawa usaha global untuk mengurangkan kos penghasilan makanan sejak beberapa dekad yang lalu telah menyebabkan sektor pertanian terlibat dalam kira-kira 30 peratus pengeluaran buangan emisi berkaitan aktiviti manusia. Selain daripada hasil emisi yang disebabkan sektor pertanian dan perladangan haiwan, pertanian berasaskan tanaman monokultur juga memacu kepada permasalahan pengurangan habitat hidupan liar serta pengurangan biodiversiti.
Sistem monokultur terjadi apabila suatu kawasan tanah itu ditanam dengan satu spesis tanaman sahaja. Disebabkan keseragaman ini, para petani boleh memastikan keberkesanan kos dimaksimumkan terutama ketika penanaman dan penuaian hasil menggunakan mesin. Para petani dan pengusaha tanaman monokultur dilihat mampu menambah produktiviti dan melipatgandakan keuntungan mereka. Sokongan pihak berkuasa seperti pemberian subsidi dan kemudahan pinjaman telah membuatkan teknik monokultur ini sebagai sistem yang lumayan di serata dunia. Meskipun teknik ini mampu menghasilkan pengeluaran dengan banyak, kebergantungan kepada racun serangga dan baja kimia membuatkan teknik ini sering dilanda kontroversi. Selain daripada itu, teknik monokultur ini turut mengurangkan kadar nutrien dalam tanah dengan cepat di samping meningkatkan kadar hakisan tanah.
Selain daripada teknik monokultur, cuaca yang tidak menentu serta masalah bekalan air merupakan isu-isu yang perlu diselesaikan untuk memperkukuh keselamatan makanan. Cuaca yang tidak menentu seperti contoh kemarau yang tidak dijangka boleh memberi kesan kepada kitaran penanaman makanan. Sekiranya kitaran hidup tanaman ini terganggu, tumbesaran tanaman tidak berada pada tahap terbaik dan hasil pengeluaran akan terjejas. Bukan itu sahaja, bekalan air juga turut terjejas oleh cuaca kemarau yang tidak menentu, sekali gus memberi kesan berganda kepada perusahaan tanaman. Kesan cuaca yang tidak menentu ini dapat dirasakan oleh semua petani di serata dunia sama ada di Asia, Afrika, Eropah, serta Amerika.
Mampukah pertanian menjadi lebih mesra alam?
Sektor pertanian perlu beradaptasi untuk mengatasi masalah yang melanda dunia ketika ini. Penggunaan teknologi dan analisis data terutama berkaitan penggunaan tenaga, tanah, dan air dapat dijalankan supaya perusahaan ini dapat terus kekal berdaya saing.
Antara isu utama dalam sektor pertanian adalah penggunaan racun serangga dan tanaman yang mampu menghakis ekosistem dan habitat. Pada tahun 2019, Organisasi Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (Food and Agricultural Organisation of the UN (FAO)) melaporkan bahawa hanya sembilan spesis – termasuk gandum, beras, dan jagung – daripada 6000 spesis tanaman yang digunakan untuk tujuan penghasilan makanan, iaitu merangkumi hampir 66 peratus daripada keseluruhan tanaman di seluruh dunia. Kebergantungan yang terlalu tinggi terhadap segelintir tanaman ini bermaksud perusahaan monokultur berasaskan sembilan spesis ini sangat tinggi. Perusahaan monokultur mampu menyebabkan spesis tanaman ini lebih terdedah kepada jangkitan penyakit dan serangga, di samping mengurangkan kesuburan tanah. Ironinya, ini akan menyebabkan peningkatan penggunaan racun serangga ditambah pula penggunaan baja kimia yang semakin berleluasa untuk menjamin penghasilan makanan.
Untuk mengukuhkan sistem dan rantaian bekalan makanan kita, monokultur boleh digantikan dengan kepelbagaian tanaman spesis dan tanah-tanah yang ada perlu diuruskan dengan matlamat untuk meningkatkan kembali biodiversiti dan memberi peluang untuk ekosistem flora dan fauna untuk pulih semula. Selain daripada itu, kemajuan teknologi dan perkembangan sektor digital dilihat mempunyai potensi dalam meningkatkan pengeluaran dan kualiti barangan makanan tanpa meninggalkan kesan kritikal pada iklim dunia.
Rujukan
- Agriculture vs. climate change: Can we feed the world with a warmer planet?
- The rise and fall of monoculture farming
Nota pengarang
Artikel ini diterjemah dan diolah daripada artikel “Agriculture vs. climate change: Can we feed the world with a warmer planet? “.
Disunting oleh Ismatul Nisak
MENGENAI PENGARANG
Shakir memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains (Biologi) daripada Durham University, UK. Pernah berkhidmat sebagai penyelidik sambilan di Fakulti Sains & Teknologi, UKM membantu dalam aspek pencirian bahan elastin dari poltri. Kini merupakan seorang pembantu penyelidik siswazah di INBIOSIS, UKM.