Apakah itu batuk?
Batuk adalah tindak balas semula jadi badan untuk menyingkirkan kuman atau bendasing daripada memasuki rongga mulut yang boleh mengakibatkan jangkitan pada saluran pernafasan. Batuk bertindak dengan mengeluarkan kuman atau bendasing daripada memasuki paru-paru bagi menghalang salur pernafasan daripada terkena sebarang jangkitan yang boleh menyebabkan penyakit serius seperti radang paru-paru (pneumonia).
Tindak balas ini juga boleh menghasilkan lendir atau kahak. Terdapat dua jenis batuk iaitu batuk dengan kahak (productive cough) dan batuk kering (non-productive cough). Kebiasaannya, batuk hanyalah gejala ringan dan boleh dirawat dengan ubat batuk yang sesuai. Namun, batuk yang berlarutan melebihi dua minggu dan diselangi dengan gejala lain (seperti sakit dada dan demam) perlu rawatan lanjut daripada doktor.

Sumber: Google
Sebab-sebab batuk
Lazimnya, batuk disebabkan oleh jangkitan virus pada saluran pernafasan. Selain daripada itu, batuk juga disebabkan oleh:
- Alahan yang berpunca daripada bulu haiwan, asap, habuk, minyak wangi, bahan kimia, atau debunga
- Tabiat merokok
- Penyakit paru-paru seperti asma dan chronic obstructive pulmonary disease (COPD)
- Pedih ulu hati
- Hingus atau cecair dari hidung yang masuk ke dalam tekak (post-nasal drip)
- Tekanan atau perubahan cuaca yang melampau
- Ubat darah tinggi dari kumpulan perencat ACE (seperti enalapril dan perindopril)
- Jangkitan bakteria pada paru-paru seperti pneumonia atau tuberculosis (batuk kering)
Rawatan untuk batuk
Secara amnya, batuk tidak memerlukan rawatan khusus kerana sistem imuniti badan akan melawan dan membasmi jangkitan virus. Dengan hanya berehat secukupnya dan minum air kosong dapat mengurangkan penghasilan kahak dan seterusnya gejala batuk.
Lazimnya, ubat batuk di pasaran berfungsi dengan memberi kelegaan dari gejala batuk. Namun, pemilihan jenis ubat batuk adalah bergantung kepada jenis batuk yang dialami pesakit. Oleh itu, adalah penting untuk mengenal pasti jenis batuk supaya ubat yang bersesuaian dapat diberikan. Contoh ubat batuk yang terdapat dalam pasaran adalah seperti berikut:
Expectorants bertindak dengan mengurangkan kelikatan kahak supaya kahak senang dikeluarkan semasa batuk. Contoh ubat jenis expectorants adalah seperti guaifenesin. Antihistamina (antihistamines) bertindak dengan mengurangkan rembesan kahak dan seterusnya mengurangkan gejala batuk. Contoh ubat jenis antihistamina adalah chlorpheniramine, diphenhydramine dan promethazine.
Pembantut (suppressants) atau antitusif (antitussive) dapat melegakan batuk terutamanya jenis batuk kering dengan menahan rangsangan atau tindak balas batuk. Contoh ubat jenis pembantut atau antitusif adalah dextromethorphan. Mengantuk, pening, penglihatan kabur, loya, muntah dan sakit kepala adalah kesan sampingan biasa ubat batuk dan gejala ini hanya sementara. Oleh itu, pengguna dinasihatkan supaya tidak memandu atau mengendalikan mesin berat selepas pengambilan ubat batuk.
Namun, jika kesan sampingan ini berterusan atau bertambah teruk, atau mengalami kesan sampingan serius seperti reaksi alahan, dengupan jantung cepat atau tidak teratur selepas pengambilan ubat batuk, sila dapatkan bantuan perubatan dengan kadar segera.
Pengambilan ubat batuk
Pengguna digalakkan untuk mengamalkan Konsep 5B setiap kali semasa mengambil sebarang ubat-ubatan. Amalan konsep 5B memastikan pengguna yang BETUL, mengambil ubat yang BETUL, pada dos yang BETUL, menggunakan cara yang BETUL dan pada masa yang BETUL.

Sumber: knowyourmedicine.gov.my
Pengguna dinasihatkan untuk membaca label pada bungkusan ubat sebelum mengambil sebarang ubat-ubatan. Kebanyakan ubat batuk di pasaran mengandungi bahan aktif yang sama (sama ada sebagai produk tunggal atau kombinasi) walaupun nama jenamanya berbeza. Penggunaan dos berganda atau polypharmacy akan meningkatkan risiko kesan sampingan seperti masalah sistem pernafasan dan kesan mengantuk.
Selain itu, kombinasi ubat batuk dan selesema yang mengandungi dekongestan (decongestants) seperti pseudoephedrine jika diambil pada dos yang berlebihan boleh menyebabkan tekanan darah meningkat, sawan, kekeliruan, dan masalah jantung.
Di Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mewajibkan amaran keselamatan yang jelas pada label dan sisipan bungkusan untuk semua produk rawatan batuk dan selesema yang mengandungi antihistamina, antitusif dan dekongestan mulai tahun 2009. Amaran tersebut menyatakan bahawa ubat batuk dan selesema jenis ini tidak sesuai untuk kanak-kanak yang berumur di bawah 2 tahun kerana mereka berisiko untuk mendapat kesan sampingan yang serius dan boleh menyebabkan kematian.
Penyalahgunaan ubat batuk
Ubat batuk yang mengandung kodein dan dextromethorphan sering disalah guna oleh penagih ubat batuk. Jika ubat batuk jenis ini digunakan secara berterusan dan berlebihan boleh menyebabkan ketagihan. Pengambilan ubat pada dos dan kekerapan yang betul seperti saranan doktor atau ahli farmasi tidak akan menyebabkan ketagihan.
Ubat batuk yang mengandungi kodein dan dextromethorphan juga telah disenaraikan dalam Akta Racun 1952 sebagai salah satu ubat yang hanya boleh dibeli daripada ahli farmasi berlesen dengan preskripsi doktor bagi mengawal penyalahgunaan ubat batuk dalam kalangan pengguna.
Untuk maklumat lanjut, sila rujuk kepada ahli farmasi jika terdapat sebarang kemusykilan atau pertanyaan berkaitan penggunaan ubat-ubatan, atau boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre-NPCC) di talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat jam 8.00 pagi – 5.00 petang)
Rujukan
- Laman web knowyourmedicine
- Laman web myhealth
- Laman web medscape
- Dr Harding M. Cough Medicines. 2018 Feb 20.
- Laman web npra
- Briars LA. The Latest Update on Over-the-Counter Cough and Cold Product Use in Children. J Pediatr Pharmacol Ther. 2009;14(3):127-131. doi:10.5863/1551-6776-14.3.127
Disunting oleh Fatin Irdina
MENGENAI PENGARANG
Beliau mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Farmasi. Kini bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah di Cawangan Amalan dan Perkembangan Farmasi, Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan KL & Putrajaya.