Metafizik: Kewujudan Tuhan

Kewujudan Tuhan menjadi satu isu kepada mereka yang agnostik, bahkan dalam kalangan orang Islam sendiri ada yang tertanya-tanya tentang keberadaan Tuhan. Maka muncul golongan ahli falsafah Islam, Kristian dan sebagainya bagi mengukuhkan keyakinan penganut agama masing-masing tentang kewujudan Tuhan. Persoalan-persoalan tentang perkara tersebut memberi banyak idea kepada mereka, jadi pendekatan metafizik digunakan oleh ahli falsafah sebagai kaedah utama dalam membahaskan soal ketuhanan kerana falsafah metafizik menggunakan taakulan secara rasional untuk membuktikan kejadian alam atau sesuatu kewujudan. Antara persoalan yang timbul adalah apakah Tuhan itu wujud?

Imej alam semesta yang boleh dicerap setakat ini. Sumber: ajar.com

Pembuktian yang logik diperlukan bagi menjawab persoalan ini. Menurut falsafah metafizik, cara pembuktian Tuhan adalah dengan melihat kejadian alam semesta itu sendiri. Dalam bab kosmologi, alam ini disusun dengan sangat sistematik dan tidak bercelaru. Pastinya penggerak kepada alam semesta yang bergerak secara tersusun ini adalah Tuhan seperti analogi kereta api mempunyai banyak gerabak, akan tetapi yang bergerak hanyalah kepala kereta api. Tanpa kepala kereta api maka gerabak lain tidak akan bergerak. Begitulah juga alam semesta ini, tanpa pencipta yang Maha Berkuasa maka tidak akan wujud dan bergeraklah ia.  Selain itu, jika dilihat pada perbahasan teleologi yang menyatakan sesuatu perkara itu dinilai mengikut tujuan akhir, maka pasti ada tujuan disebalik penciptaan alam semesta yang begitu sistematik ini. Bagi agama Islam pula, tujuan Tuhan menciptakan makhluk adalah supaya kita menyembah-Nya serta mungkin juga ada tujuan lain yang hanya diketahui Tuhan.

Mustahil juga sekiranya alam semesta ini tidak ada kuasa besar yang menciptakannya kerana secara logiknya kita mengetahui bahawa setiap benda yang dicipta pasti akan ada penciptanya. Sebagaimana pandangan Rene Descartes dalam penulisan beliau yang menyatakan bahawa “….yang mana kewujudan saya dan makhluk yang lain telah dicipta dan dihasilkan”. Rene Descartes memberikan satu idea berkenaan dengan kewujudan Tuhan yang mana beliau menyatakan bahawa kewujudan Tuhan ini adalah idea semula jadi yang wujud dalam minda manusia secara fitrah yang mana idea ini bukanlah dicipta, tetapi telah wujud sejak awal. Idea ini juga merupakan satu idea yang benar seperti konsep matematik sebagai contoh nombor 1, 2 dan seterusnya. Nombor-nombor ini bukan sesuatu yang direka dan ia adalah satu idea yang diterima oleh semua orang dan kebenaran yang tidak boleh ditolak.

Ilustrasi idea sejadi. Sumber: Slideshare

Disebabkan manusia mempunyai idea tentang Tuhan ini secara semula jadi, maka idea ini mestilah telah dimasukkan oleh Tuhan ke dalam pemikiran manusia itu sendiri. Dalam perbahasan ontologi, Tuhan merupakan satu entiti yang agung dan sempurna dan manusia itu tidak sempurna jadi manusia tidak akan mampu memikirkan kewujudan-Nya melainkan Dia sendiri yang memasukkan ke dalam minda manusia.

Kesimpulannya, perbahasan metafizik tentang kewujudan Tuhan menimbulkan banyak buah fikiran dalam kalangan ahli falsafah, Sesetengah manusia tidak mempercayai wahyu, mereka mahukan alasan yang logik yang memerlukan pembuktian akal dan pancaindera. Perbahasan metafizik ini memberikan keyakinan terhadap ketuhanan dan menunjukkan kehebatan penciptaan alam yang begitu luas dan tanpa sempadan ini.

Rujukan:

  • https://www.academia.edu/43224912/Buku_Pengantar_Falsafah_SKPD
  • https://yale.learningu.org/download/041e9642-df02-4eed-a895-70e472df2ca4/H2665_Descartes%27%20Meditations.pdf

Disunting oleh Mira Ashikin

MENGENAI PENGARANG

Pelajar di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) | mikotonikoto@gmail.com

Beliau merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Dakwah dan Pengurusan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Falsafah adalah bidang yang beliau minati.

One thought on “Metafizik: Kewujudan Tuhan”

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

5 × 1 =