Doping – Asbab Kemudaratan kepada Atlet

Doping ialah penyalahgunaan bahan atau kaedah yang dilarang dalam acara sukan. Di Malaysia, sebanyak 138 kes atlet digantung akibat doping telah direkodkan antara tahun 2005 hingga 2017. Satu kajian yang dijalankan pada tahun 2018 di dalam kalangan 182 orang atlet sukan peringkat sekolah mendapati, kesedaran atlet doping berada pada peringkat sederhana. 12% daripada responden pernah ditawarkan untuk menggunakan bahan terlarang bagi tujuan sukan, manakala 18.1% pernah menggunakan bahan terlarang untuk meningkatkan prestasi mereka.

Terdapat beberapa faktor yang mendorong kepada penggunaan bahan terlarang dalam kalangan atlet. Antara faktor tersebut termasuk meningkatkan daya tahan, stamina dan kekuatan tenaga, serta bertujuan untuk mengawal tekanan perasaan sewaktu pertandingan.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa telah menubuhkan Agensi Anti Doping Dunia (World Anti-Doping Agency: WADA), iaitu satu badan yang mempromosi, menyelaras dan memantau aktiviti membanteras doping. Agensi ini telah menyenaraikan bahan-bahan yang dilarang daripada digunakan dalam sukan. Antara bahan-bahan tersebut adalah; steroid anabolik androgenik, hormon peptida, hormon pembesaran, ubat dalam kategori agonis beta (beta-agonist), hormon dan bahan pengolah metabolik, ubat diuretik, ubat perangsang, narkotik, ganja, glukokortikoid dan ubat dalam kategori penyekat beta (beta-blockers).

Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) merupakan agensi yang melaksanakan ujian anti-doping di semua peringkat sukan di Malaysia. Atlet yang menyertai kejohanan sukan perlu menjalani ujian doping sepanjang kejohanan. Mereka perlu lulus dua ujian doping, iaitu ujian sebelum dan selepas pertandingan berlangsung. Kegagalan ujian doping bukan sahaja boleh menyebabkan kemenangan atlet dibatalkan, malah atlet boleh digantung daripada menyertai kejohanan sukan jika mereka didapati bersalah menggunakan bahan terlarang untuk tujuan sukan.

Jaguh lumba jalan kaki Rusia yang juga juara Olimpik 2012, Elena Lashmanova digantung dua tahun kerana doping dan bakal kehilangan pingat emasnya menurut Unit Integriti Atlet Olahraga (AIU).

Penyalahgunaan bahan atau kaedah terlarang dalam sukan boleh mendatangkan mudarat kepada pelbagai pihak, terutama terhadap individu yang menyalahgunakan bahan tersebut. Hal ini juga memberi imej yang negatif kepada negara. Secara umumnya, pengambilan ubat terkawal tanpa nasihat doktor dan pengambilan ubat tidak berdaftar boleh memudaratkan.

Oleh yang demikian, individu atau atlet yang menyalahgunakan bahan atau kaedah terlarang untuk tujuan sukan adalah berisiko menghadapi kesan sampingan yang tidak diingini. Berikut adalah antara bahan yang dilarang dalam sukan serta kesan sampingan penggunaan bahan tersebut:

  • Steroid anabolik androgenik boleh menyebabkan kemandulan, peningkatan kolesterol, tekanan perasaan dan keracunan hati (hepatotoxicity).
  • Analog peptida dan hormon glikoprotin yang digunakan untuk meningkatkan saiz dan kekuatan otot boleh menyebabkan penyakit diabetes, tekanan darah tinggi dan akromegali iaitu pembesaran tangan, kaki dan muka.
  • Ubat perangsang seperti amfetamin dan pseudoephedrin boleh menyebabkan tekanan darah meningkat, strok, insomnia, psikosis, kerunsingan dan mudah panik.
  • Ubat narkotik seperti kodein dan morfin yang digunakan untuk menahan sakit daripada latihan intensif boleh menyebabkan ketagihan dan mengurangkan daya tumpuan.
  • Ganja atau kanabis boleh menyebabkan kurang daya tumpuan dan psikosis. Ubat dalam kategori beta-agonist yang sering didapati pada ubat-ubatan asma boleh menyebabkan ritma jantung menjadi tidak normal, jantung berdebar dan menaikkan paras gula dalam darah.
  • Diuretik seperti frusemide boleh menyebabkan ketidakseimbangan elektrolit tubuh.
  • Glukokortikoid seperti prednisolone dan dexamethasone boleh menyebabkan tekanan darah meningkat, diabetes, tekanan, psikosis, peningkatan berat badan dan tulang menjadi rapuh (osteoporosis). Glukokortikoid yang dilarang penggunaannya adalah berbentuk oral, supositori dan suntikan.

Penyalahgunaan bahan atau kaedah terlarang dalam sukan membawa mudarat kepada ramai pihak, terutamanya terhadap atlet itu sendiri.

Dari sudut perkembangan sukan, perbuatan doping akan menyebabkan berlakunya penipuan dan persaingan yang tidak adil terhadap atlet yang jujur, berkebolehan, dan benar-benar layak dalam sesuatu bidang sukan.

Justeru, penyalahgunaan bahan atau kaedah terlarang dalam sukan membawa mudarat kepada ramai pihak, terutamanya terhadap atlet itu sendiri. Setiap atlet, jurulatih dan kumpulan perubatan yang menyelia kesihatan atlet perlu peka berkaitan perkara ini dan tidak sepatutnya terlibat dengan penyalahgunaan bahan terlarang dalam sukan. Bersukan harus dilakukan dengan penuh semangat kesukanan, dan bukannya dengan menggunakan jalan pintas yang memudaratkan dan menjejaskan integriti sukan.

Atlet disarankan untuk mendapatkan khidmat nasihat pengamal perubatan sukan bertauliah seandainya mereka memerlukan pertolongan berkenaan sebarang masalah kesihatan. Sekiranya terdapat keraguan berkenaan ubat-ubatan terlarang dalam sukan atau suplemen anda boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre; NPCC) di talian bebas tol 1800-88-6722.

 

Disunting oleh Mustaqim Azman

MENGENAI PENGARANG

Pegawai Farmasi di Kementerian Kesihatan Malaysia | pharmkn@gmail.com

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Farmasi dan kini bertugas sebagai Pegawai Farmasi.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

three × 1 =