Glukosamina ialah sebatian biokimia yang terjadi secara semula jadi dalam tubuh manusia dan dalam organisma lain seperti tumbuhan dan makanan laut seperti kerang. Bahan ini juga merupakan sejenis gula amino yang bergabung menjadi rantai kanji ringkas yang berperanan dalam pembentukan pelbagai struktur seperti tulang rawan, ligamen, tendon dan cecair sinovial. Cecair sinovial merupakan cecair tebal yang terdapat di sekitar sendi. Fungsi utama cecair sinovial adalah untuk mengurangkan geseran antara tulang rawan dan sendi semasa pergerakan.
Peranan ini menjadikan glukosamina sebagai salah satu makanan tambahan yang paling kerap diambil oleh pesakit osteoartritis (OA) untuk melegakan kesakitan.
Glukosamina membantu meningkatkan fungsi pergerakan anggota badan dan membantu mengurangkan bengkak pada sendi. Kebanyakan produk glukosamina dalam pasaran adalah hasil daripada proses hidrolisis polisakarida bercengkerang hidup. Terdapat juga beberapa produk glukosamina terhasil daripada penapaian bijirin.
Glukosamina kebiasaannya dipasarkan sebagai glukosamina sulfat dan glukosamina hidroklorida. Menurut beberapa kajian, glukosamina sulfat menunjukkan kesan yang lebih efektif untuk pesakit OA berbanding glukosamina yang lain. Walaupun produk glukosamina digunakan secara meluas, keberkesanannya masih dipersoalkan. Kajian yang menguji kesan positif glukosamina menunjukkan hasil yang berbeza.
Beberapa kajian saintifik telah menunjukkan bahawa glukosamina berkesan dalam merawat OA dengan melegakan sakit sendi. Glukosamina juga membantu pembentukan tulang rawan baharu dan menghalang degradasi rawan yang semakin meningkat seiring usia.
Kajian lain menunjukkan bahawa glukosamina boleh membantu menghalang perkembangan OA. Glukosamina juga digunakan sebagai alternatif yang baik untuk pesakit yang mengalami kesan sampingan pada saluran gastrousus selepas mengambil ubat penahan sakit daripada kumpulan ubat antiradang bukan steroid (non-steroidal antiinflammatory drugs, NSAIDs).
Namun begitu, terdapat kajian yang menunjukkan keputusan sebaliknya. Beberapa kajian pada pesakit arthritis yang diberi dos rawak glukosamina dan plasebo mendapati tiada perbezaan ketara dalam pengurangan sakit sendi pada pesakit yang mengambil glukosamina.
Para saintis tidak dapat menjelaskan secara terperinci bagaimana mekanisme glukosamina membaiki rawan pada pesakit OA. Terdapat juga perdebatan tentang jenis suplemen glukosamina yang paling berkesan dalam merawat pesakit OA.
Pakar percaya bahawa suntikan terus glukosamina ke kawasan sendi yang mengalami radang adalah bermanfaat untuk pesakit, namun, produk suntikan glukosamina masih belum tersedia secara meluas di pasaran global. Tablet atau kapsul adalah bentuk produk glukcosamina yang paling biasa dipasarkan berbanding bentuk yang lain.
Kesan sampingan glukosamina biasanya ringan termasuk loya, pedih ulu hati, cirit-birit dan sembelit. Kesan sampingan yang lebih serius termasuklah mengantuk, tindak balas kulit, dan sakit kepala adalah jarang berlaku. Pengambilan suplemen glukosamina bersama-sama makanan dapat membantu untuk mengurangkan kesan sampingan.
Bagi individu yang mempunyai masalah kesihatan tertentu, termasuk asma, diabetes, glaukoma, kolesterol tinggi dan tekanan darah tinggi, pengambilan suplemen glukosamina tanpa mendapatkan nasihat daripada doktor yang merawat adalah tidak digalakkan. Individu yang mempunyai alahan kepada kerang-kerangan pula, dinasihatkan untuk menyemak label pada pembungkusan suplemen kerana terdapat banyak suplemen dalam pasaran yang diperbuat daripada cengkerang, udang galah, udang atau ketam.
Wanita mengandung atau menyusukan bayi tidak boleh mengambil glukosamina kerana tiada kajian yang mencukupi untuk menyokong penggunaannya. Pengambilan glukosamina perlu dihentikan sekurang-kurangnya dua minggu sebelum pembedahan kerana glukosamina boleh menjejaskan keupayaan tubuh untuk mengawal gula dalam darah.
Suplemen glukosamina juga tidak boleh diambil bersama-sama ubat mencairkan darah seperti warfarin kerana ia boleh meningkatkan kesan ubat dan mengakibatkan risiko lebam serta pendarahan yang serius.
Suplemen ini biasanya dijual di premis kesihatan dalam bentuk tablet dan kapsul dan selalunya diambil bersama-sama suplemen lain untuk mengurangkan kesakitan pada sendi. Pengambilan oral glukosamina yang disyorkan untuk pesakit OA adalah sebanyak 1,500 mg sehari, diambil sama ada sekali gus, dalam dua dos 750 mg, atau dalam tiga dos 500 mg.
Glukosamina mungkin boleh memberi manfaat kepada pesakit osteoarthritis. Jika anda mempertimbang penggunaan glukosamina untuk sebarang rawatan, bincang terlebih dahulu dengan doktor atau ahli farmasi sebelum memulakan pengambilan suplemen. Sebarang pertanyaan lanjut mengenai ubat-ubatan boleh dibuat ke Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre: NPCC) di talian 1800-88-67-22, setiap Isnin hingga Jumaat, dari 8 pagi hingga 5 petang (kecuali cuti umum).
Disunting oleh Izzati Rosli
Rujukan
- https://www.nccih.nih.gov/health/glucosamina-and-chondroitin-for-osteoarthritis
- https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3456914/
- https://www.nps.org.au/australian-prescriber/articles/glucosamina-for-osteoarthritis-of-the-knee-1
- https://www.frontiersin.org/articles/10.3389/fphar.2022.820971/full
- http://www.myhealth.gov.my/en/glucosamina/
MENGENAI PENGARANG
Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Farmasi. Kini bertugas sebagai Pegawai Farmasi di Hospital Ampang.