Ubat Bawah Lidah untuk Sakit Jantung

Glyceryl trinitrate (GTN) atau disebut juga sebagai nitrogliserin merupakan ubat yang tergolong dalam kumpulan nitrat. GTN bertindak dengan mengembangkan salur darah bagi membolehkan aliran darah yang membawa oksigen menjadi lebih lancar. GTN wujud dalam beberapa bentuk dos seperti suntikan, tablet sublingual, semburan dan tampalan (patch). Tablet sublingual GTN biasanya digunakan untuk melegakan sakit dada akibat angina.

Angina ialah keadaan sakit dada atau ketidakselesaan yang biasanya terjadi apabila otot jantung mengalami kekurangan oksigen akibat pengaliran darah yang terganggu pada jantung (myocardiac infarcation). Sumber: www.news.mit.edu

Cara menggunakan tablet sublingual GTN

Tablet subligual GTN perlu diletakkan di bawah lidah kerana terdapat banyak saluran darah di kawasan tersebut yang dapat mempercepat penyerapan ubat. GTN akan ditukar kepada nitrik oksida selepas diserap masuk ke dalam saluran darah. Nitrik oksida menghasilkan kesan pengembangan salur darah. Peredaran darah menjadi lebih lancar dan oksigen dapat dibekalkan kepada otot jantung. Dengan ini, jantung lebih mudah mengepam darah ke sekeliling badan.

Penggunaan ubat sublingual (bawah lidah) GTN. Sumber: www.twitter.com/UbatOhUbat

Apabila mengalami serangan angina, pesakit hendaklah duduk dan kekal tenang selain berhenti daripada melakukan sebarang aktiviti. Letakkan sebiji tablet sublingual di bawah lidah dan biarkannya larut. Tablet sublingual GTN tidak seharusnya ditelan, dihisap atau dikunyah.

Dos tablet sublingual GTN boleh diulang setiap lima minit dengan maksimum dos tiga sublingual tablet sehari. Jika sakit dada masih ada atau menjadi lebih teruk, pesakit hendaklah terus mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat.

Ubat GTN digunakan untuk rawatan sakit dada akibat serangan jantung atau kegagalan fungsi jantung. Sumber: www.knowyourmedicine.gov.my

Selain melegakan sakit dada semasa serangan angina, tablet sublingual GTN boleh juga digunakan untuk mencegah serangan angina. Pencegahan ini penting terutamanya bagi pesakit yang perlu melakukan aktiviti seperti bersenam, berkebun atau menaiki tangga dengan kerap. Pesakit boleh menggunakan sebiji tablet sublingual GTN sebelum melakukan aktiviti-aktiviti tersebut sebagai langkah pencegahan.

Kesan sampingan tablet sublingual GTN

Antara kesan sampingan yang biasa dialami selepas penggunaan tablet sublingual GTN ialah pening dan rasa sakit kepala. Pesakit dinasihatkan agar kekal duduk selepas menggunakan tablet sublingual GTN atau jika perlu, mereka hendaklah bangun secara perlahan-lahan bagi mengurangkan risiko kesan sampingan ini. Pesakit juga tidak dibenarkan memandu selepas menggunakan tablet sublingual GTN.

Selain itu, kesan sampingan lain ubat ini termasuklah muka atau kulit menjadi kemerah-merahan, rasa loya atau muntah, jantung berdebar-debar, penglihatan menjadi kabur dan bibir menjadi kering.

Tidak semua pesakit yang menggunakan ubat ini akan mengalami kesan sampingan. Kesan sampingan kebiasaannya bersifat sementara dan akan pulih tanpa rawatan. Sekiranya tablet sublingual GTN menyebabkan ketidakselesaan atau kesan sampingan yang berpanjangan, pesakit perlu mendapatkan pemeriksaan lanjut.

Nasihat untuk pesakit

Beberapa jenis ubat berkemungkinan bertindak balas dengan dengan tablet sublingual GTN. Sebagai contoh, pengambilan ubat antihipertensi bersama-sama tablet sublingual GTN boleh menyebabkan tekanan darah menjadi terlalu rendah. Pesakit dinasihatkan agar berbincang dengan doktor atau ahli farmasi sekiranya perlu mengambil tablet sublingual GTN dengan ubat-ubat yang lain

Keberkesanan tablet sublingual GTN dapat dipengaruhi oleh cara penyimpanan. Pesakit hendaklah memastikan ubat ini sentiasa disimpan di dalam botol kaca legap, pada suhu bilik dan jauh daripada capaian kanak-kanak. Selain itu, disebabkan bahan aktif GTN boleh meruap daripada sublingual tablet dan menjadikannya kurang berkesan, ubat ini hendaklah digunakan dalam dalam tempoh lapan minggu selepas dibuka. Pesakit digalakkan menulis tarikh kali pertama botol tablet sublingual GTN dibuka sebagai panduan bagi mengelakkan pesakit menggunakan ubat yang tidak lagi berkesan. Pesakit dinasihatkan agar sentiasa membawa tablet sublingual GTN, terutamanya ketika bekerja atau melakukan rutin harian di luar.

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum).

Rujukan

Disunting oleh Adib Yusof

MENGENAI PENGARANG

Pegawai Farmasi UF41 di Hospital Keningau, Sabah. | ahmadmuizmstf@gmail.com

Pengarang memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Farmasi. Kini beliau sedang berkhidmat sebagai Pegawai Farmasi di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia yang bertempat di Hospital Keningau, Sabah.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

17 − sixteen =