Nanas didefinisikan sebagai sejenis tumbuhan yang buahnya boleh dimakan menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat. Kulitnya yang bersegmen dan mempunyai isi berwarna putih kekuningan menyerlahkan lagi potensi yang ada pada nanas. Portal rasmi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia menyatakan nanas mempunyai pelbagai khasiat. Nanas kaya dengan vitamin C yang penting untuk kesihatan bagi membantu penyembuhan luka, selain penyerapan zat besi ke dalam saluran darah. Kandungan vitamin B, khususnya B1 (thiamin) membantu proses penghadaman di dalam usus manakala vitamin B3 (niacin) dengan kandungan karbohidratnya dapat mengawal sistem penghadaman supaya kekal sihat.
Selain itu, kandungan kalium dan natrium dalam nanas dapat mengawal keseimbangan air dalam tubuh manusia. Nanas juga mengandungi enzim yang sangat berguna dalam sektor perubatan iaitu enzim bromelain yang mana ia digunakan secara meluas dalam pembedahan untuk mengawal bengkak, jangkitan dan mencegah pembentukan darah beku.

Nanas yang kaya dengan Vitamin C dan Vitamin B yang penting untuk kesihatan seperti membantu penyembuhan luka dan proses penghadaman. Sumber: minnetonkaorchards.com
Nanas adalah antara makanan yang paling biasa dimakan oleh wanita sebagai sebahagian daripada program kehamilan kerana nanas mengandungi beta-karotena dan bromelain, kedua-duanya boleh mengurangkan keradangan dalam perut dan uterus. Bagi meningkatkan kesihatan sistem peranakan, pengambilan nanas yang diproses menjadi jus atau manisan lain adalah paling berkesan jika diambil secara berkala setiap pagi selama seminggu. Pulpa atau kulit buah nanas membantu memperbaiki dan mengekalkan gigi yang sihat, kerana kulit nanas mempunyai ciri anti-radang yang membantu melawan bakteria dalam mulut.
Bukan itu sahaja, kulit nanas juga mengandungi mangan yang meningkatkan kesihatan gusi, membantu dalam pertumbuhan, pengukuhan dan pembaikan tulang dan gigi. Seterusnya, vitamin C yang terkandung dalam kulit nanas juga memastikan gusi bersih dan sihat.
Bahkan, banyak produk boleh diperbuat daripada daun nanas. Antaranya kertas, pakaian dan barang niaga. Antara kelebihan serat daun nanas adalah ia boleh diolah menjadi tekstur yang cantik terutamanya untuk dekorasi taman, supaya tampak lebih segar. Manakala, serat daun nanas sebagai pakaian mempamerkan kelebihan seperti mudah dicuci, kain lebih lembut dan berkilat dan tidak mudah mengecut. Untuk fabrikasi kertas daripada daun nanas, kertas nanas yang lembap boleh dikeringkan dengan seterika. Seterusnya, penggunaan dakwat basah di atas kertas daun nanas tidak memberi kesan yang teruk kepada kertas tersebut. Proses penghasilan kertas daun nanas boleh dikatakan sama seperti proses kitar semula kertas. Selain dihasilkan seperti kertas biasa, kertas ini juga boleh digunakan sebagai bahan asas kepada pembuatan magnet peti ais, penanda buku dan rantai kunci.

Serat nanas membentuk bahan yang nipis dan ringan tetapi keras yang sesuai dipakai sebagai pakaian tradisional atau aksesori di negara yang beriklim subtropika. Sumber: www.dbathis.com/textiles.
Penggunaan nanas dalam penulisan sebagai pembayang juga banyak seperti serangkap pantun yang dapat dizahirkan di sini,
Nanas dijual di pasar niaga,
Ramai orang datang membeli,
Emas perak perhiasan dunia,
Budi bahasa perhiasan diri.(Sumber: Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia)
Pantun ini bertujuan memberi nasihat serta galakan kepada orang ramai agar sentiasa menjaga budi bahasa di mana jua berada kerana budi bahasa merupakan cerminan diri kita terhadap orang lain. Sekiranya kita dapat menjaga budi bahasa, orang lain juga turut menghormati serta mencontohi kita. Dalam konteks ini, walaupun pelbagai buah boleh dijadikan pembayang, nanas dilihat sebagai tarikan utama apabila seseorang berkunjung ke pasar.
Kesimpulannya, penggunaan nanas dapat dilihat dari segi khasiat, rupa, aplikasi dalam kehidupan serta dalam penulisan. Banyak yang boleh dipelajari dari sifat dan peribadi nanas. Walaupun luarnya mungkin kasar tetapi dalamnya manis sehingga tidak mampu kita menolaknya. Maka di sini dapat dikiaskan, kita tidak boleh memandang luaran tanpa mengenal isi hati seseorang. Jangan mudah menghukum dan menilai sesorang hanya berdasarkan luarannya sahaja.
Disunting oleh Fatin Irdina