Dalam kita mengenali gerakan islah atau pembaharuan yang dilakukan oleh seseorang untuk mengukuhkan syiar Islam di muka bumi ini, terdapat seorang tokoh islah di India yang telah berusaha sedaya upaya dalam membentuk masyarakat di negara India. Walaupun tokoh ini terpaksa menghadapi pelbagai cabaran namun beliau berjaya mengatasi setiap masalah dan memperoleh kejayaan bagi masyarakat di negara berkenaan.
Tahukah anda gerangan tokoh ini? Bagaimana beliau menjadi tokoh yang penting dalam melakukan reformasi dan pembaharuan dalam pendidikan di India tanpa mengenal erti penat dan lelah bagi cabaran yang dihadapi olehnya?
Maka, tokoh yang akan disajikan pada hari ini ialah ialah Sayyid Ahmad Khan. Beliau merupakan seorang tokoh Islam yang berperanan tinggi dalam pendidikan di India. Konsep gabungan ilmu yang dibawa oleh beliau ialah menggabungkan pengetahuan tradisional dengan sains moden dan ia merupakan perkara utama yang dicadangkan oleh beliau sejurus memperkembangkan syiar Islam di India bagi melahirkan masyarakat yang berkualiti tinggi.
Sebelum itu, mari kita bersama-sama mengenali serba sedikit latar belakang Sayyid Ahmad Khan. Beliau dilahirkan pada 17 Oktober 1817 di Delhi, India dan meninggal dunia pada 27 Mac 1898. Beliau memiliki tiga orang adik-beradik dan merupakan anak kedua. Ayahnya, Sayyid Muhammad Muttaqi sangat rapat dengan Maharaja Akbar II. Oleh kerana hubungannya yang rapat dengan Maharaja Akbar II, beliau menjadi seorang tokoh yang berpengaruh di istana Mughal. Ibunya, Azizun Nisa Begum, adalah anak sulung Perdana Menteri era Mughal Khwajah Fareed-ud-Din Ahmad. Kerana itu, boleh dikatakan bahawa Sayyid Ahmad Khan dilahirkan dalam keluarga bangsawan Mughal dan telah banyak menghabiskan sebahagian besar zaman kanak-kanaknya didalam istana Mughal. Malah, beliau sering bermain dengan anak-anak raja Mughal dan keperibadian Sayyid Ahmad Khan turut dikagumi oleh mereka dek kerana kebijaksanaan inteleknya yang terserlah sejak kecil dan sering bertanya soalan yang sangat serius dan sukar.
Disebabkan Sayyid Ahmad Khan merupakan seorang tokoh reformis dan modernis dalam sistem pendidikan India, beliau telah menggerakkan pelbagai usaha untuk mencapai sistem pendidikan yang strategik dan dinamik Antaranya beliau berjaya menubuhkan beberapa institusi pendidikan yang boleh mengubah sistem pendidikan di India dan dalam waktu yang sama merangkumi segala aspek yang mengetengahkan agama Islam.
Pada pandangan beliau, pendidikan yang diterima oleh masyarakat Islam India tidak mencukupi kerana ia hanya terdiri daripada mantiq, falsafah, sastera Arab dan agama manakala ilmu tentang geografi, sastera moden, ilmu sains serta sejarah terkini tentang bangsa dan negara merupakan subjek yang tertutup bagi mereka. Beliau mahu umat Islam berkembang maju seiring dengan kemajuan ilmu pengetahuan dan teknologi moden. Dengan menganalisis sejarah masa lampau, beliau merumuskan bahawa sifat tersebut juga menjadikan umat Islam mencapai kemuncak kemajuan pada masa lampau. Sayyid Ahmad Khan menumpukan seluruh tenaga dalam bidang pendidikan dan atas sebab inilah beliau telah mengorak langkah pertama dengan menubuhkan sekolah Inggeris iaitu Gulshan School yang mana ia terletak di Moradabad dan bertujuan khusus bagi mempelajari sejarah moden.
Beliau cuba menekankan konsep percantuman ilmu dengan menggabungkan ilmu agama tradisional dan sains moden yang memberi kesan positif kepada pendidikan orang India ketika itu. Keterbukaannya terhadap arus pendidikan moden dan terkini menyebabkan pemikirannya dipengaruhi oleh rasionalisme dan liberalisme Barat. Cara pemikirannya yang kontroversial ketika itu dikritik oleh pelbagai ulama, namun kritikan itu datang dari aspek negatif tindakan yang diambilnya, seperti menafsirkan semula al-Quran hingga mengetepikan aspek tertentu dari Islam itu sendiri dan lain-lain. Kajian mendapati idea beliau dipengaruhi oleh rasionalisme dan liberalisme, dan dikritik oleh sarjana Islam yang lain.
Disunting oleh Mustaqim Azman
Rujukan
- Aqil Faqihi. Sayyid Ahmad Khan Dan Integrasi Keilmuwan Di India. Kajang: Selangor.
- Ahmad Nabil. 2020. Sir Sayyid Ahmad Khan dan Gerakan Pembaharuan di Aligarh. DOI: 10.21093/el-buhuth.v2i2.2288.
- https://www.youtube.com/watch?v=y8wNZ65CWEU
MENGENAI PENGARANG
Beliau sedang melanjutkan Ijazah Sarjana Muda khusus dalam Pengajian Arab dan Tamadun Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia.