Alauddin Khalji: Penguasa India

Kita sering mendengar atau membaca kehebatan serta ketokohan sultan-sultan atau kerajaan-kerajaan Islam pada abad pertengahan di sekitar kawasan tanah Arab, Turki, Mesir dan Parsi. Namun tahukah kita bahawa dalam abad yang sama, Islam telah berkembang pesat di India dan turut mencapai kegemilangan yang hebat sehingga hampir menguasai seluruh benua kecil India.

India turut mempunyai kesultanan dan dinasti-dinasti yang silih berganti memerintah serta memperluaskan wilayah Islam sejak awal abad ke-8. Sepanjang sejarah kemunculan pemerintahan Islam di India, terdapat seorang individu yang terkenal dalam konteks perkembangan dan kelangsungan Islam di India iaitu Alauddin Khalji dari Dinasti Khalji di Delhi, India.

Latar belakang

Sultan Alauddin Khalji atau nama sebenarnya Ali Gurshasp merupakan anak sulung kepada Shihabuddin Mas’ud dan memiliki 3 orang adik-beradik lelaki. Pada zaman pemerintahan Sultan Jalaludin Firuz Shah, Alauddin merupakan seorang panglima tentera yang handal dan berani. Beliau juga berkhidmat sebagai gabenor di wilayah Kara setelah berjaya menghapuskan pemberontakan di daerah tersebut dan di wilayah Awadh.

Ilustrasi wajah Sultan Alauddin Khalji. Sumber: wikibio.in

Reputasi Alauddin sebagai panglima perang amat terkenal di India apabila beliau berjaya membawa ekspedisi ketenteraan menentang raja Hindu di Yadaya iaitu Ram Chandra. Selain itu, beliau berjaya menyeberangi sungai Narbada yang sebelum itu dianggap berbahaya untuk dilintasi. Beliau turut berjaya memasuki wilayah Maharastra di bahagian India Selatan yang mana pada masa itu, wilayah-wilayah di sekitar selatan India sukar untuk ditembusi oleh kuasa Islam kerana pengaruh Hindu yang kuat.

Menaiki takhta

Semasa kempen perluasan wilayah sedang berjalan, Alauddin secara senyap telah menyusun strategi untuk mendirikan kerajaannya sendiri. Setelah beliau memiliki kelengkapan secukupnya serta bala tentera yang ramai dan kuat, beliau berjaya merampas kedudukan Sultan Jalaludin semasa baginda sedang meraikan kepulangan Alauddin daripada misi ketenteraan. Peristiwa pembunuhan yang tak dijangka ini dianggap sebagai salah satu pembunuhan khianat yang besar dalam sejarah India. Selepas peristiwa rampasan takhta tersebut, Alauddin menabalkan dirinya sebagai penguasa baru dan dianugerahkan dengan gelaran Alauddunya wad Din Muhammad Shah Sultan.

Selepas menaiki takhta pada tahun 1296, Alauddin terpaksa menghadapi ancaman musuh-musuh yang sentiasa mencari peluang untuk menguasai Delhi iaitu pusat pemerintahan kerajaan Islam di India. Antara musuh yang sering mengganggu kedudukan Delhi adalah suku bangsa Turki yang iri hati dengan Alauddin, kerajaan-kerajaan Hindu seperti Rajput, Malwa, Gujarat dan juga musuh yang paling digeruni ketika itu iaitu orang Mongol. Bukan itu sahaja, Alauddin juga terpaksa menghadapi musuh dalaman iaitu golongan bangsawan yang berkomplot untuk menjatuhkannya.

Pada awal pemerintahannya Alauddin mengambil langkah untuk menghapuskan musuh-musuhnya terlebih dahulu sebelum melaksanakan kerja-kerja pentadbiran dan pembangunan. Hal ini kerana bagi beliau, kedudukan politik adalah penting dan mestilah dikukuhkan daripada ancaman musuh. Beliau telah berjaya menewaskan tentera Mongol sebanyak dua kali di bawah pimpinan panglima Zafar Khan dan kali ketiga dikalahkan oleh Alauddin sendiri.

Penguasa dunia

Alauddin mempunyai impian untuk menguasai benua kecil India. Oleh yang demikian, beliau mengarahkan agar mata wang ditempa dengan gambarnya dan ditulis “Penguasa Dunia”. Impian ini cuba dicapai oleh Alauddin apabila beliau mula membuat serangan secara besar-besaran ke kerajaan Hindu iaitu Rajput yang sejak dulu lagi sering mengancam kedudukan Kerajaan Delhi. Alauddin juga telah berjaya menembus benteng terkuat Rajput di Chittor yang mana telah membawa kepada peristiwa Jauhar (golongan wanita yang membakar diri oleh kerana tidak mahu ditawan setelah dikalahkan). Setelah itu, Alauddin meneruskan lagi penguasaannya ke Deogiri dan Hoysala sehingga Candi Mathura yang dianggap suci oleh kaum Hindu turut tertawan.

Gambaran peristiwa Jauhar oleh pelukis. Sumber: Museum of Fine Arts, Boston

Selain penguasaan wilayah, Alauddin juga tidak lupa untuk memberi perhatian kepada aspek kebudayaan dan kesenian Islam. Beliau telah mendirikan pelbagai reka bentuk bangunan yang indah. Antara seni bina yang telah didirikan semasa zaman pemerintah beliau ialah Mahligai Alai Darwaza, kubu Koshak-i-Siri yang mempunyai tujuh buah pintu gerbang, memperluaskan Masjid Qutbu dan mendirikan Qutb Minar yang kedua.

Syiling yang digunakan pada zaman Sultan Alauddin. Sumber: coinindia.com

Kematian Alauddin

Pada tahun 1316, Alauddin telah meninggal dunia kerana sakit setelah memerintah selama 20 tahun. Pemerintahan Alauddin telah membawa kegemilangan yang sangat hebat kepada Dinasti Khalji, namun ia juga membawa kepada kejatuhan dinasti itu. Hal ini berpunca daripada kurangnya perhatian Alauddin kepada pemerintahan dan pentadbiran. Malangnya, beliau telah menyerahkan urusan tersebut kepada Malik Kafur yang mempunyai muslihat untuk menjatuhkan Alauddin. Selain itu, punca lain kejatuhannya ialah kerana selepas kematiannya tiada seorang pun puteranya yang sanggup menggantikan tempat beliau. Malah, sultan yang mengambil alih tampuk pemerintahan selepas Alauddin dianggap sebagai pemerintahan yang lemah.

Rujukan

  • Azharudin Mohamd Dali (2014) Sejarah Islam di India : Abad ke-8 hingga Abad ke-20. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
  • https://wikibio.in/alauddin-khilji/
  • http://coinindia.com/galleries-khalji.html
  • http://www.mfa.org/collections/object/sultan-alau-d-din-put-to-flight-women-of-ranthambhor-commit-jauhar-148890

Disunting oleh Mira Ashikin

MENGENAI PENGARANG

Pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia | nurulaimianis@gmail.com

Aimi Anis Mohd Nasir memperolah Diploma Sejarah dan Tamadun Islam di Universiti Sultan Zainal Abidin dan kini sedang menyambung pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia bagi Ijazah Sarjana Muda Pengajian Arab dan Tamadun Islam.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

five × 1 =