Minyak Sawit Lestari dalam Usaha Pengawalan Perubahan Iklim

Persidangan Perubahan Iklim Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu 2021 (United Nations Climate Change Conference 2021), atau lebih dikenali dengan COP26 (Conference of Parties 26) telah berlangsung dari 31 Oktober sehingga 13 November 2021. Persidangan ini diadakan di Glasgow, United Kingdom dan telah dihadiri ribuan wakil delegasi daripada pelbagai latar belakang termasuk badan kerajaan dan pentadbiran, organisasi bebas dan bukan kerajaan, syarikat perniagaan, serta kumpulan belia dari sekurang-kurangnya 200 buah negara. Acara tahunan tersebut yang bermula pada 1992 bertujuan untuk mengurangkan dan menstabilkan pengeluaran gas rumah hijau dalam lapisan atmosfera. Persidangan pada tahun 2015 telah menyaksikan sebuah perjanjian rasmi khusus, dikenali sebagai Perjanjian Paris 2015 (Paris Agreement 2015), ditandatangani sebagai jaminan untuk membentuk suatu usaha sama dalam mengawal impak perubahan iklim secara berhemah dan mapan. Perjanjian Paris 2015 berjaya menerima sokongan daripada 196 perwakilan yang berikrar untuk mengawal peningkatan suhu purata sedunia pada kadar 1.5 darjah Celsius berbanding zaman sebelum Revolusi Perindustrian.

COP26 merupakan kesinambungan daripada Perjanjian Paris 2015. Persidangan COP26 bertujuan menyemak kadar yang telah ditetapkan dan dipersetujui wakil-wakil kerajaan ketika Perjanjian Paris 2015. Di antara jaminan lain yang dipersetujui dan disemak termasuklah pengurangan kadar pengeluaran sisa gas yang mampu merosakkan iklim, serta kerjasama pelbagai pihak dalam memacu inovasi dan penggunaan tenaga mesra alam sekitar. Semasa COP26, wakil tuan rumah mengutarakan kepentingan ikrar tersebut seiring dengan dapatan kajian penyelidikan terkini yang menunjukkan kesan sampingan berbahaya sekiranya peningkatan suhu tidak dikawal. Risiko peningkatan suhu ini mempunyai kesan sampingan secara keterlaluan termasuklah gelombang haba (heatwaves) yang membawa maut, kekurangan bekalan air, kehilangan bekalan tanaman makanan, dan keruntuhan sesuatu ekosistem habitat.

Pelepasan sisa di Malaysia

Berdasarkan data tahun 2020, Malaysia menyumbang kepada 0.78% daripada keseluruhan pelepasan sisa sedunia. Pelepasan CO2 (CO2 emissions) per kapita meningkat sebanyak purata 3.87% secara tahunan sejak 1971 (1.33 tan per kapita) sehingga 2020 (7.98 tan per kapita). Perusahaan yang terlibat dalam pelepasan sisa di Malaysia ialah perusahaan tenaga, sisa buangan, industri berat, pertanian, pengangkutan, serta penggunaan tanah, perubahan guna tanah, dan perhutanan (land use, land-use change, and forestry (LULUCF)).

Malaysia terlibat dalam kedua-dua Perjanjian Paris 2015 dan COP26. Malaysia telah mula mengorak langkah untuk mengurangkan pelepasan sisa karbon sejak lebih sedekad lalu melalui polisi dan pelan strategik dalam menggerakkan negara menuju masa depan bebas karbon. Di antara langkah yang telah diambil ialah melalui Akta Industri Biobahan Api Kebangsaan (National Biofuel Industry Act) 2007 yang mempromosikan biodiesel berasaskan kelapa sawit, serta penubuhan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Sustainable Energy Development Authority (SEDA)) untuk mempromosikan penggunaan tenaga boleh diperbaharui (renewable energy).

Selain itu, Tabung Amanah Konservasi Sumber Asli Nasional (Natural Resources Conservation Trust Fund) telah ditubuhkan pada 2013 yang bermatlamat untuk melaksanakan pelan pengurusan dan pemuliharaan hutan secara jangka panjang, menjalankan proses penanaman semula kawasan hutan di samping meningkatkan usaha untuk membanteras pembalakan haram.

Pelbagai usaha dan kerjasama terutamanya dalam bidang pertanian mampu dilaksanakan untuk mengoptimumkan pengeluaran tanpa meningkatkan pelepasan sisa. Rentetan itu, skim pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (Malaysia Sustainable Palm Oil (MSPO)) telah dilancarkan pada 2015 sebagai salah satu cara untuk memastikan perladangan kelapa sawit negara mematuhi etika kelestarian alam sekitar.

Penanaman pokok kelapa sawit secara lestari mampu memberi manfaat kepada semua pihak terlibat dalam masa yang sama melindungi alam sekitar secara mapan. Sumber: pixabay.com

Peranan dan tujuan MSPO

Pensijilan MSPO adalah berdasarkan beberapa prinsip utama yang mementingkan kelestarian alam sekitar. Secara amnya, ladang dan kilang penapisan minyak kelapa sawit mesti memenuhi kriteria-kriteria di bawah prinsip-prinsip tersebut untuk mendapat pengiktirafan sijil MSPO. Di antara tumpuan utama prinsip kelestarian ialah kesan pada alam sekitar, sumber alam, kepelbagaian hayat (biodiversity), khidmat ekosistem, pengurangan pencemaran dan pengeluaran sisa, serta tiada lagi amalan pembakaran.

Proses pensijilan dan pengiktirafan ini merupakan faktor penting untuk mengurangkan sisa dalam sektor minyak sawit. Dr Maria Vincenza Chiriaco, seorang penyelidik daripada Pusat Euro-Mediterranean mengenai Perubahan Iklim (Euro-Mediterranean Centre on Climate Change (CMCC)), membentangkan dapatan kajian berkenaan kadar pengeluaran sisa dalam minyak tumbuhan. Minyak sawit lestari secara puratanya mempunyai kadar pengeluaran sisa purata sebanyak 0.45 metrik tan karbon dioksida per tan, berbanding dengan 2.89 untuk soya, 2.47 untuk biji sesawi (rapeseed), dan 1.18 untuk bunga matahari.

Perusahaan minyak kelapa sawit mampu mengurangkan pengeluaran sisa melalui langkah-langkah seperti berikut:

  • Melaksanakan proses penangkapan biogas untuk mengurangkan kadar karbon dioksida, nitrus oksida, dan metana dalam aktiviti hiliran.
  • Menggunakan biojisim (biomass) dan biogas sebagai sumber bahan api untuk penghasilan tenaga.
  • Mengurangkan pembasmian hutan (deforestation) dan penguraian kawasan tanah gambut (peatlands degradation)

Potensi minyak yang dihasilkan daripada kelapa sawit perlu diterokai dan dimanfaatkan sepenuhnya tanpa merosakkan alam sekitar dan kepentingan sejagat. Sumber: pixabay.com

Menuju masa depan

Pasca COP26, Malaysia berada pada kedudukan terbaik untuk menuju ke arah menjadi sebuah negara bebas karbon seawal tahun 2050. Selain itu, negara juga berpotensi mengurangkan kadar pengeluaran gas rumah hijau dalam sektor ekonomi sebanyak 45% bersandarkan pada GDP menjelang tahun 2030.

Pencapaian sebanyak 100% pengiktirafan dan pensijilan MSPO untuk semua ladang dan kilang penapisan minyak sawit mampu membantu negara memenuhi ikrar Perjanjian Paris dan COP26. Perusahaan sawit yang bebas daripada pengeluaran sisa mampu menjadi contoh utama dalam bidang pertanian yang mengangkat pembangunan ekonomi pada masa yang sama memastikan kelestarian alam sekitar terpelihara dengan mapan.

Rujukan

Nota Pengarang

Artikel diterjemahkan dan diolah daripada Sustainable Palm Oil an Important Example of Climate Change Mitigation oleh Malaysian Palm Oil Certification Council (MPOCC).

Disunting oleh Izzati Rosli

MENGENAI PENGARANG

shakir.yusop@gmail.com + ARTIKEL TERDAHULU

Shakir memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains (Biologi) daripada Durham University, UK. Pernah berkhidmat sebagai penyelidik sambilan di Fakulti Sains & Teknologi, UKM membantu dalam aspek pencirian bahan elastin dari poltri. Kini merupakan seorang pembantu penyelidik siswazah di INBIOSIS, UKM.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

six + eighteen =