Gen Z dan Alfa: Gamifikasi dalam PdPc Matematik

Penularan pandemik Covid-19 telah memberi impak ke atas sistem pendidikan Malaysia. Hampir setahun lebih pengoperasian pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), guru dan murid dilihat telah dapat menyesuaikan diri dengan norma baharu ini.

Namun, pengoperasian PdPR tetap menghadapi isu dalam pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) dalam subjek Matematik. Murid-murid hari ini adalah generasi Z (Gen Z) dan Alfa (Alpha) yang membesar dalam era digital. Generasi ini mahir dengan teknologi serta lebih suka berinteraksi dalam talian jika berbanding dengan bersemuka. Kaedah pembelajaran dan pengajaran yang konvensional tidak begitu sesuai dengan gaya pembelajaran murid zaman kini dan juga kurang dapat membangkitkan minat belajar.

Kebiasaannya, guru menggunakan kaedah konvensional dalam sesi PdPc khususnya menjelaskan khususnya konsep Matematik dan latihan tubi Matematik.  Namun, kita perlu mentakrif semula kaedah ini kerana kurang menarik minat murid Gen Z dan Alfa menunjukkan ianya kurang berkesan. Dalam tempoh PdPR, murid juga tidak terkecuali mengalami tekanan dan cabaran kerana memerlukan motivasi dan disiplin yang tinggi serta proaktif melalui pembelajaran kendiri. Walau bagaimanapun, tidak semua pelajar mempunyai kemahiran belajar kendiri menyebabkan mereka sukar untuk terus bermotivasi dalam mengikuti pembelajaran secara talian. Bukan itu sahaja, ramai murid juga bersikap negatif dan kekurangan minat serta berasa bosan untuk menyiapkan kerja rumah atau latihan Matematik yang diberi oleh guru.

Dengan ini, guru perlu melakukan anjakan paradigma dalam proses penyampaian ilmu mengikut kecenderungan perubahan generasi. Guru perlu seiring dengan perkembangan teknologi dan mengaplikasikannya dalam PdPc di mana murid-murid kini digelar sebagai warga jati digital (digital native). Guru perlu mahir mengoptimumkan pelbagai aplikasi daripada laman sesawang sebagai salah satu strategi yang digunakan ketika proses PdPc. Hal ini kerana, Gen Z dan Alfa sentiasa aktif untuk mencuba sesuatu yang baru, suka belajar secara kreatif, interaktif, menyeronokkan serta berfikir di luar kotak selari dengan perkembangan teknologi.

Ilustrasi menunjukkan contoh gamifikasi dalam pendidikan. Sumber: racoongang.com

Pendekatan yang bersesuaian dengan ciri pembelajaran pada abad ke-21 adalah kaedah gamifikasi yang ditakrifkan sebagai penggunaan permainan yang mempunyai unsur-unsur reka bentuk dalam konteks bukan permainan. Kaedah permainan dalam proses PdPc akan menjadikan proses PdPc lebih menarik serta interaktif. Hal ini bukan sahaja dapat meningkatkan keberkesanan PdPc dan juga boleh meningkatkan minat murid untuk belajar, yang mana mereka lebih tertarik dengan benda dan kaedah yang interaktif. Dengan penggunaan kaedah yang sesuai dengan gaya pembelajaran murid, secara tidak langsung mereka tidak akan menganggap Matematik sebagai subjek yang susah lagi.

Kaedah gamifikasi adalah salah satu modus operandi yang dapat menyelesaikan isu murid kekurangan motivasi untuk menyiapkan kerja rumah. Kerja rumah yang berbentuk permainan dapat menarik minat dan perhatian murid serta membangkitkan perasaan keinginan belajar murid Gen Z dan Alpha. Bukan itu sahaja, murid-murid juga boleh mengoptimumkan penggunaan platform berasaskan permainan untuk kegunaan pembelajaran kendiri. Kaedah ini bukan sahaja mengukuhkan pengetahuan mereka, malah juga dapat belajar kemahiran penyelesaian masalah, bekerjasama dan komunikasi. Guru mahupun murid boleh mencuba pelbagai jenis platform yang tersedia ada berdasarkan kesesuaian seperti Booklet, Padlet, Quizlet, Kahoot, Quizizz, ZipGrade, Wordwall, Oodlu, Quizalize, QuizWhizzer dan lain-lain.

Kesimpulannya, PdPc seharusnya melangkah seiring dengan perkembangan teknologi masa kini. Aplikasi kaedah gamifikasi dalam pendidikan memberikan nafas baru yang boleh digunakan secara bermanfaat antara pendidik dan pelajar. Pada masa yang sama, guru yang berdedikasi akan mempersiapkan diri berdepan dengan cabaran teknologi dan telekomunikasi moden ini untuk memastikan kualiti pendidikan yang sempurna.

Disunting oleh Mustaqim Azman

MENGENAI PENGARANG

Pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia

Beliau merupakan pelajar Sarjana Muda Matematik khusus dalam bidang Pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

4 × two =