Baca Bahagian 1 dan Bahagian 2 di sini.
Tokoh Tafsir di Negeri Kedah
Di negeri Kedah, tokoh tafsir yang awal dapat dikesan ialah Tuan Haji Muhammad Sa’id bin Omar Khatib bin Aminuddin bin Abdul Karim. Beliau lahir pada tahun 1275 Hijrah bersamaan 1854 Masihi di Kampung Kuar, Jerlun Kedah. Setelah pengarang selesai mengarang karya Tafsir Nurul Ihsan, beliau menamakan dirinya sebagai Sa’id bin Umar al-Qadahi baladan al-Syafi’i mazhaban, al-Naqsyabandi al-Ahmadi Tariqan al-Qadi Syar’iyyan. Pengenalan tersebut menjelaskan bahawa pengarang adalah anak kelahiran negeri Kedah Darul Aman, bermazhab Imam al-Syafi’i, pengamal tariqat al-Naqsyabandi al-Ahmadi dan juga merupakan seorang Pegawai Agama di Daerah Jitra, Kedah.
Beliau pernah belajar di Pondok Patani dan di Mekah. Beliau berguru dengan Tok Bendang Daya Pertama, Tok Bendang Daya Kedua dan Tok Wan Din serta guru-gurunya di Mekah. Beliau pernah diberi beberapa gelaran semasa hidupnya dan gelaran yang paling masyhur ialah Haji Sa’id Mufti. Gelaran ini diberi setelah beliau dilantik menjadi mufti (qadhi) daerah Jitra, disamping mendapat gelaran Guru Diraja kerana berkhidmat sebagai guru yang mengajar kerabat Diraja Kedah. Selain itu, Lebai Sa’id juga pernah menjadi gelarannya yang diberikan masyarakat kerana ketekunan dan kesungguhan beliau dalam menuntut ilmu pengetahuan.

Kitab Tafsir Nur al-Ihsan merupakan sebuah terjemahan serta tafsir al-Quran dalam bahasa Melayu yang ditulis oleh al-Qadhi Haji Muhammad Sa’id bin Umar bin Aminuddin bin Abdul Karim (1275H/1857M – 1350H/ 1932M). Sumber: ilhambooks.com
Penduduk tempatan memanggil beliau dengan pelbagai gelaran. Antaranya Ulama, Tok Lebai, Penulis dan Guru Tafsir al-Quran dan panggilan yang tepat sekali untuk beliau ialah Guru Tafsir kerana merujuk sumbangan besar yang telah dilakukan iaitu dengan wujudnya Tafsir Nurul Ihsan lengkap 30 juzu’. Karya yang ditulis dalam bahasa Melayu ini telah tersebar luas ke pelosok dunia seperti Thailand dan Mesir di samping digunakan sebagai rujukan dalam memahami ayat-ayat al-Quran sehingga sekarang.
Pendekatan dalam tafsir beliau ialah ditafsir secara ringkas, menjelaskan makna-makna yang perlu diberi penjelasan dengan tidak membincangkan perbezaan pendapat terutama dalam perkara hukum dan dibuat tajuk-tajuk mengenai ayat-ayat hukum bagi memudahkan pembaca mencarinya.
Tokoh Tafsir di Negeri Perak
Di negeri Perak terdapat tokoh tafsir yang terkenal terutama di Perak dan negeri-negeri utara, kerana kitab tafsirnya telah dicetak beberapa kali untuk bacaan orang ramai iaitu Mustafa Abdul Rahman yang lahir pada tahun 1918 Masihi dan meninggal dunia pada tahun 1967 Masihi. Menurut catatan, beliau memulakan pendidikannya di Pondok al-Rahmaniah yang telah diasaskan oleh bapanya Haji Abdul Rahman Mahmud. Setelah itu, beliau meneruskan pengajiannya di Sekolah Melayu, Semanggol hingga ke darjah 5 iaitu kelas yang tertinggi pada masa itu. Kemudian beliau melanjutkan pembelajaran peringkat menengah di Madrasah Idrisiah, Kuala Kangsar selama 6 tahun dan sempat berguru dengan Syeikh Abdullah Fahim yang merupakan antara tokoh ulama yang terkenal pada masa itu. Setelah itu beliau menyambung pengajian ke Ma’had Ihya’ al-Syarif yang diketuai oleh Ustaz Abu Bakar al-Baqir. Setelah tamat pengajian di sana, beliau bersiap untuk menyambung pengajian ke Mesir. Namun begitu, beliau terpaksa membatalkan hasratnya apabila bapanya meninggal dunia. Oleh kerana beliau merupakan anak sulung, maka beliau mengambil tanggungjawab untuk menjaga dan menguruskan ibu dan adik-beradiknya.
Antara gurunya ialah ayah beliau sendiri, Haji Abdul Rahman Mahmud, Syeikh Abdullah Fahim, Syeikh Mustafa Ramadhan yang berasal dari Yugoslavia yang mengajar di Ma’had Ihya’ al-Sharif. Selain itu, beliau turut berguru dengan Syeikh Hassan Yamani dan Syeikh Abu Mas’ud yang berasal dari Tanah Arab dan Mekah. Beliau menuntut ilmu dalam bidang tafsir al-Quran daripada Syeikh Abdullah Fahim yang lama menetap di Mekah. Sebagai seorang guru yang mengajar Mustafa Abdul Rahman, Syeikh Abdullah Fahim banyak membantu beliau dalam menyiapkan Tafsir al-Quran al-Hakim. Syeikh Abdullah Fahim juga telah membantu menulis muqaddimah di dalam kitab tafsir ini. Walau bagaimanapun, kitab ini sempat disiapkan sebanyak 27 juzu’ al-Quran.
Dalam tafsirnya pengarang memberikan penekanan kepada kefahaman ayat-ayat dengan memberi ulasan yang ringkas dan sederhana dengan merujuk kepada pendapat ahli-ahli tafsir yang lain dalam masalah hukum, aqidah dan tauhid.
Rujukan
- Muhammad Sa’id bin Umar Khatib. Tafsir Nurul Ihsan Berserta Tahqiq dan Ta’liq Jilid Pertama. Kuala Lumpur: Akademi Jawi Malaysia. 2020.
- Ismail Yusoff. “Perkembangan Penulisan dan Terjemahan Kitab-kitab Tafsir di Malaysia”.
- Muhammad Fadlly bin Ismail, Nor Hafizi bin Yusof & Wan Ruswani binti Wan Abdullah. “Metodologi Dan Pemikiran Syaykh Mustafa Abdul Rahman: Kajian Terhadap Karya Tafsir al-Quran al-Hakim Juzu’ Satu”. Journal of Ma’alim al-Quran wa al-Sunnah, Vol 12, No.13. 2017.
Disunting oleh Fatin Irdina
MENGENAI PENGARANG
Ashaari Bin Selamat merupakan lepasan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis. Beliau meneruskan pencarian ilmu dengan Sijil Usuluddin UMCCED (2017) dan memperolehi Diploma Tasawwur Islam (DTI) Institut Latihan Kepemimpinan dan Perkaderan Dakwah Islamiyah (ILHAM) 2019. Kini, beliau merupakan pelajar separuh masa Diploma Eksekutif Usuluddin UMCCED di Universiti Malaya sejak tahun 2020.
One thought on “Sejarah Khazanah Tafsir Di Alam Melayu : Suatu Sorotan (Bahagian 3)”