Apa itu Dasar Pendidikan Kebangsaan? Dasar Pendidikan Kebangsaan adalah satu dasar yang telah diperkenalkan melalui Akta Pelajaran 1961, yang mana dasar ini merupakan dasar ke arah mewujudkan masyarakat yang harmoni, dan juga bertujuan melahirkan satu masyarakat yang bersatu padu, berdisiplin serta memenuhi keperluan tenaga rakyat yang terlatih, agar pembangunan negara dapat dicapai. Terdapat beberapa strategi pelaksanaan telah digubal untuk mencapai matlamat Dasar Pendidikan. Antaranya adalah dengan menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama.
Strategi pertama ini jelas dapat dibuktikan melalui sistem pendidikan negara kita, yang mana medium bahasa yang digunakan oleh pendidik kita di sekolah aliran kebangsaan ialah Bahasa Melayu. Kesannya, semua rakyat dan etnik di Malaysia mampu berkomunikasi dan memahami Bahasa Melayu. Terdapat beberapa lagi strategi pelaksanaan yang lain seperti mewujudkan sistem peperiksaan yang sama bagi semua, melicinkan tatacara pengurusan pendidikan, dan mengadakan peluang pendidikan asas selama 9 tahun. Namun begitu, apa yang saya ingin ketengahkan di sini adalah, strategi pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang ke-12, iaitu dengan menjadikan Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran yang wajib diajar di sekolah-sekolah, dan memberi peluang yang seumpama bagi pembelajaran bahasa-bahasa lain seperti Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil.
Persoalannya, mengapa perlunya kerajaan meletakkan syarat agar Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil turut dimasukkan dalam sistem pembelajaran di Malaysia? Kawan-kawan sekalian, kita sebagai rakyat Malaysia sejak kecil lagi dibesarkan dengan etnik yang majmuk. Malah kita semua sudah sedia maklum bahawa majoriti etnik di negara kita ialah etnik Melayu, Cina dan India. Hal ini bermaksud wujudnya Bahasa Melayu, Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil di negara kita. Jadi bagaimana kita ingin saling mengasihi antara etnik, jika kita tidak mengenali bahasa mereka? Bak kata orang, tak kenal maka tak cinta.
Tambahan pula dengan kedatangan penjajah barat ke negara kita yang membawa pelbagai etika, etos dan etiket, telah mengajar masyarakat kita untuk berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris juga. Jadi bukankah lebih baik jika kita dapat melahirkan generasi yang boleh berkomunikasi fasih dalam bahasa tambahan yang lain seperti Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil? Maka secara tidak langsung, perpaduan dan hubungan antara etnik di Malaysia dapat diperkuatkan lagi, dengan medium bahasa sebagai pemangkin utama.
Terdapat banyak kebaikan apabila murid-murid sekolah kebangsaan dapat mempelajari subjek tambahan Bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah kebangsaan, meskipun mereka tidak berada dalam persekitaran sekolah cina dan sekolah tamil. Kita semua sedia maklum bahawa murid-murid di sekolah kebangsaan tidak hanya spesifik kepada murid etnik Melayu sahaja, malah ada juga etnik lain seperti etnik India, etnik Iban dan Kadazandusun. Antara kebaikannya adalah mereka dapat belajar berkomunikasi dalam bahasa tambahan baru, mampu membuka mata mereka untuk mengenali dunia baru, dapat menimba pengetahuan tambahan yang baru tentang bahasa, budaya dan adat mereka.
Seterusnya, perkara yang paling penting, murid-murid di sekolah aliran kebangsaan yang terdiri daripada pelbagai jenis etnik dapat menambah lebih ramai kenalan daripada etnik Cina dan India. Maka secara tidak langsung, jaringan hubungan generasi Z akan menjadi lebih luas kerana mereka mempunyai pengetahuan untuk berkomunikasi dalam bahasa yang berbeza. Langkah ini sangat signifikan dan berkesan, dan cara ini mampu merealisasikan hasrat negara agar melahirkan rakyat yang saling memahami dan mengasihi antara satu sama lain, serta tidak menimbulkan konflik.
Saya memiliki pengalaman 9 tahun bersahabat dengan etnik Cina dan India. Malah rakan-rakan saya yang berbangsa India turut fasih berkomunikasi menggunakan Bahasa Mandarin. Kami menggunakan medium Bahasa Mandarin sebagai bahasa komunikasi. Alhamdullilah, membesar sebagai individu yang mampu berkomunikasi pelbagai bahasa tambahan ini, menjadikan saya lebih yakin dan teruja terutamanya dalam aspek integrasi komuniti. Salah seorang guru berbangsa Cina pernah berkata,
“Masyarakat Melayu dan India yang fasih berbahasa Mandarin sangat menjadi tarikan di kalangan kami. Mereka lebih kami gemari dan kami sangat mengalu-alukan kehadiran mereka sebagai kenalan dan rakan perniagaan,”.
Sepanjang pengalaman saya berkenalan dengan etnik Cina dan India, tidak ada satu pun peristiwa penindasan antara kami meskipun latar belakang kami berbeza. Rakan-rakan saya sangat menghormati kami yang beretnik Melayu ini, malah mereka seronok untuk berkongsi apa-apa sahaja dengan kami. Persahabatan kami sangat rapat bagai isi dengan kuku, meskipun kami sudah hampir 7 tahun meninggalkan sekolah.
Tidak dapat disangkalkan lagi bahawa hubungan antara entik di Malaysia dapat dieratkan dengan kemudahan jaringan komunikasi iaitu bahasa sebagai aspek utama. Dalam khidmat integrasi komuniti, kerja sukarelawan yang tertumpu di kawasan pedalaman mampu dijalankan dengan lebih mudah apabila terdapat kesefahaman dan interaksi yang baik antara pihak sukarelawan dengan penduduk. Maka dengan ini, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) komuniti dapat dijalankan dengan lebih besar dan meluas, dengan menyasarkan bantuan kepada penduduk yang memerlukan bantuan, tidak kira apa jua bangsa dan etnik mereka.
Sebagai rakyat yang hidup di negara yang majmuk dengan pelbagai suku etnik, kita seharusnya menerapkan sifat saling mengasihi antara satu sama lain dan sikap hormat-menghormati sesama kita. Meskipun kita berbeza etnik dan agama, kita tetap perlu menanamkan kefahaman yang baik terhadap yang lain. Oleh yang demikian, di sini dapat disimpulkan bahawa strategi pelaksanaan Dasar Pendidikan Negara yang ke-12 ini membuahkan impak yang positif dan produktif kerana mampu untuk merapatkan ukhwah antara etnik serta membina masyarakat yang lebih adil dari segi struktur sosial dan ekonomi. Maka, dapatlah kita mewujudkan hubungan etnik ke arah masyarakat berintegrasi.
Rujukan
- https://www.pmo.gov.my/dokumenattached/Dasar/09DASAR_PENDIDIKAN_KEBANGSAAN.pdf
- https://ismaweb.net/2020/08/25/kerajaan-takkan-mansuh-sekolah-vernakular/
Disunting oleh Mustaqim Azman
MENGENAI PENGARANG
Dalili Goh merupakan seorang bekas pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Serdang Baru 2. Beliau kini sedang menuntut Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan sains dan teknologi di USIM. Beliau fasih berkomunikasi menggunakan Bahasa Mandarin, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab.
One thought on “Strategi Kerajaan ke Arah Integrasi Perpaduan Melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan”