Polis Robot

Singapura telah melakukan proses cubaan menggunakan polis robot yang diberi nama Xavier. Robot ini diberi tugas untuk mengawasi dan mencegah perbuatan sosial yang tidak dikehendaki. Antara tugas Xavier adalah mencari mereka yang merokok bukan di tempat khas untuk merokok, meletak basikal bukan di kawasan parkir basikal dan juga mereka yang melanggar perkara-perkara yang termaktub dalam prosedur operasi piawai untuk pencegahan COVID-19 seperti berkumpul tanpa penjarakan sosial.

Ilustrasi menunjukkan pelajar sekolah mengejar Xavier ketika ia sedang menjalankan tugas di pusat beli belah. Sumber: insider.com

Dalam masa yang sama, ia turut memberikan peringatan kepada khalayak berkenaan pentingnya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Rasional yang diberikan untuk menggunakan robot dalam operasi pengawasan seperti ini adalah untuk membantu meringankan tugas pegawai yang mana keperluan bilangan pegawai melakukan pengawasan secara berjalan kaki akan berkurang seterusnya meningkatkan efisiensi operasi pengawasan.

Walaubagaimanapun, Lee Yi Ting, seorang aktivis hak asasi digital menyuarakan kebimbangan berkenaan data peribadi penduduk Singapura yang mungkin diceroboh melalui penggunaan teknologi seperti ini. Sejauh manakah manusia memerlukan pengawasan secara berterusan oleh pihak berkuasa melalui robot dan kamera litar tertutup? Sekiranya kita menelurusi teori berkaitan penerimaan dan penggunaan aplikasi teknologi untuk manusia, seperti Unified Theory of Acceptance and Use of Technology (UTAUT) yang diperkenalkan oleh Venkatesh pada 2003, kita perlu melihat kepada kepelbagaian faktor penerimaan aplikasi teknologi.

Antaranya adalah sejauh mana teknologi mampu meningkatkan prestasi seseorang setelah menggunakannya. Adakah teknologi tersebut mudah untuk digunakan dan dipelajari? Bagaimana pula pengaruh sosial mempengaruhi keinginan untuk menggunakan teknologi tersebut? Selain itu, adakah fasiliti yang ada memudahkan penggunaan teknologi tersebut? Adakah penggunaan teknologi ini turut dipengaruhi oleh jantina, umur, pengalaman dan bersifat sukarela atau ia wajib digunakan? Namun, antara faktor yang tidak disertakan dalam model UTAUT 2003 ini adalah risiko yang dirasakan ketika menggunakan teknologi tersebut.

Rajah menunjukkan peta minda bagi teori UTAUT. Sumber: Researchgate

Mengikut kajian yang dijalankan oleh Chao pada 2019, risiko tersebut mampu mempengaruhi keinginan seseorang untuk menggunakan teknologi walaupun ia mampu meningkatkan prestasi kendiri. Sekiranya seseorang merasakan menggunakan peranti berteknologi yang tertentu adalah berisiko, maka ada kemungkinan ia akan mempengaruhi keinginan individu tersebut untuk menggunakannya walaupun pada hematnya teknologi itu mampu untuk meningkatkan prestasinya berbanding sebelum menggunakannya.

Oleh itu, pihak berkuasa hendaklah melihat sejauh manakah risiko yang dirasakan oleh orang ramai menerusi penggunaan teknologi robot untuk mengawasi kehidupan mereka walaupun matlamatnya adalah untuk menjadikan mereka manusia yang lebih berdisiplin daripada sebelumnya. Penggunaan sebarang teknologi oleh pihak berkuasa hendaklah turut mendapatkan pandangan daripada orang ramai agar masyarakat yang harmoni dapat diwujudkan kerana situasi antara kepentingan pihak berkuasa dan hak sebagai rakyat adalah menang-menang.

Rujukan

  • https://www.businessinsider.com/singapore-robot-patrols-search-for-undesirable-public-behavior-2021-9
  • https://www.theguardian.com/world/2021/oct/06/dystopian-world-singapore-patrol-robots-stoke-fears-of-surveillance-state
  • https://www.frontiersin.org/articles/10.3389/fpsyg.2019.01652/full
  • https://www.researchgate.net/figure/The-research-model-UTAUT-Venkatesh-et-al-2003-The-UTAUT-model-uses-four-core_fig1_283503814

Disunting oleh Mira Ashikin

MENGENAI PENGARANG

Pelajar di Universiti Malaysia Pahang | izwan.zaimi@gmail.com

Izwan Zaimi memperoleh ijazah Sarjana Muda dalam Sains Kesihatan. Kini beliau sedang mengikuti pembelajaran Sarjana Pengurusan Perniagaan di Universiti Malaysia Pahang.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

one × 3 =