Produk kosmetik meliputi rangkaian sediaan yang digunakan untuk tujuan kecantikan dan penjagaan diri seperti alat solek, sabun, pewangi dan ubat gigi. Sebaliknya, produk suntikan, minuman atau makanan bagi tujuan kecantikan tidak dikelaskan sebagai produk kosmetik. Produk kosmetik hanya digunakan secara luaran.
Prosedur Notifikasi Kosmetik
Sejak 1 Januari 2008, semua negara anggota ASEAN telah melaksanakan kawalan produk kosmetik melalui prosedur notifikasi. Kaedah ini dilaksanakan untuk mengurangkan halangan perdagangan serantau dan memudahkan akses pengguna kepada produk dalam pasaran tanpa mengenepikan keperluan terhadap kualiti dan keselamatan produk tersebut. Penekanan turut diberikan ke atas pemantauan kualiti dan keselamatan produk sebenar di pasaran.
Sebelum sesuatu kosmetik dipasarkan, pihak syarikat (dirujuk sebagai pemegang notifikasi) perlu mengemukakan notifikasi kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (National Pharmaceutical Regulatory Agency, NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Notifikasi merupakan satu bentuk pengisytiharan bahawa produk yang dipasarkan telah mematuhi garis panduan dan peraturan yang ditetapkan oleh KKM.
Tanggungjawab Pemegang Notifikasi Kosmetik
Pemegang notifikasi kosmetik bertanggungjawab untuk memastikan:
- Produk yang dinotifikasi mematuhi takrifan produk kosmetik dan mengandungi bahan-bahan yang dibenarkan sahaja.
- Produk dikilangkan di premis yang mematuhi keperluan Amalan Pengilangan Baik (APB) produk kosmetik.
- Penilaian keselamatan telah dijalankan ke atas bahan-bahan dan produk siap.
- Tuntutan produk adalah dalam skop yang dibenarkan dan dapat disokong oleh dokumen sokongan yang relevan.
- Label yang mematuhi keperluan pelabelan kosmetik.
- Iklan yang disiarkan mematuhi kod pengiklanan kosmetik, termasuk iklan produk di media sosial.
- Memantau kualiti produk dalam pasaran dan melaporkan kesan advers kepada NPRA.
- Fail maklumat produk tersedia untuk diaudit dan dikemas kini dari semasa ke semasa.
Pemantauan Produk dalam Pasaran
NPRA dan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi akan memantau tahap pematuhan produk dalam pasaran menerusi program pengawasan mutu produk. Antara ketidakpatuhan yang dilaporkan termasuklah:
- Produk dicampur dengan bahan terlarang
- Tuntutan produk di luar skop kosmetik seperti untuk rawatan pelbagai penyakit kulit
- Tuntutan tidak dapat disokong oleh bukti yang mencukupi
- Label yang tidak lengkap
- Notifikasi bagi produk yang tidak dikelaskan sebagai produk kosmetik seperti minyak angin, produk perangsang dan produk pelangsingan.
- Dokumen penilaian keselamatan yang tidak lengkap.
- Pemalsuan dokumen dan maklumat pengilang.
- Penjualan/penggunaan produk kosmetik tidak bernotifikasi.
Pengguna boleh menyemak senarai produk yang dikesan mengandungi bahan terlarang melalui laman sesawang rasmi NPRA iaitu www.npra.gov.my.
Saranan Kepada Pengguna
Pengguna yang ingin membeli atau menggunakan produk kosmetik perlu mengambil langkah proaktif, iaitu:
- Semak status notifikasi produk kosmetik menerusi laman web NPRA atau melalui aplikasi NPRA Product Status yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store dan Apple Apps Store
- Dapatkan produk kosmetik daripada sumber yang boleh dipercayai.
- Elakkan penggunaan produk yang menjanjikan kesan pemutihan atau kulit bebas cela dalam tempoh yang singkat.
- Dapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan yang bertauliah untuk masalah yang dialami terutamanya yang melibatkan masalah kulit dan rambut.
Sekiranya pengguna mengalami alahan atau kesan advers terhadap produk kosmetik, pengguna disarankan untuk berjumpa doktor bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut. Pengguna juga digalakkan membuat laporan dengan melengkapkan Borang Aduan Produk Kosmetik Bernotifikasi yang boleh didapatkan daripada laman web NPRA.
Sekiranya terdapat pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan dan produk kosmetik, pengguna boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang).
Disediakan oleh:
Nik Shamsiah binti Nik Salleh,
Ketua Penolong Pengarah Kanan (UF54),
Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA)
nik@npra.gov.my
Disemak dan diakreditasikan oleh:
Rosilawati binti Ahmad,
Timbalan Pengarah,
Pusat Penilaian Produk & Kosmetik,
Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA)
rosilawati.a@npra.gov.my
Rujukan
- Control of Drugs and Cosmetics Regulations 1984
- Guidelines for Control of Cosmetic Products in Malaysia
- ASEAN Cosmetic Directive
- ASEAN Consumer Information Handbook on Cosmetic Product
Disunting oleh Adib Yusof
MENGENAI PENGARANG
Pengarang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Farmasi di Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2001 dan Sarjana Sains Kimia Analisis dan Analisis Beralatan di Universiti Malaya pada tahun 2011. Beliau pernah menjadi Ketua Seksyen Kosmetik dari 2019 hingga 2020 dan Ketua Unit Notifikasi dan Keselamatan Kosmetik selama hampir 10 tahun (2008 – 2018). Kini beliau berkhidmat sebagai Ketua Penolong Pengarah Kanan di Pusat Penilaian Produk & Kosmetik, Bahagian Regulatori Farmasi Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia.