Kepentingan Mengasah Kemahiran Insaniah dalam Kalangan Mahasiswa Universiti

Umum mengetahui bahawa institusi pengajian tinggi merupakan sebuah tempat untuk mahasiswa menimba ilmu serta mempersiapkan diri mereka dengan kemahiran yang perlu dikuasai sebelum melangkah ke alam pekerjaan. Namun demikian, terdapat sebilangan mahasiswa hanya menumpukan perhatian untuk mendapatkan gred yang baik semata-mata dan kurang mangambil bahagian dalam apa-apa program yang boleh membantu mereka dalam mengasah kemahiran insaniah mereka.

Sumber: ainisyafina.blogspot.com

Tidak dinafikan kelayakan akademik adalah salah satu elemen yang penting dalam usaha untuk mendapatkan pekerjaan. Namun, ia juga perlu diseimbangkan dengan kemahiran insaniah untuk membolehkan mereka bersaing dengan calon-calon yang lain yang bukan sahaja merupakan graduan dari pelbagai institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara bahkan terdapat juga calon yang telah mempunyai pengalaman bekerja yang turut sama bersaing untuk mendapatkan pekerjaan yang sama terutamanya pada waktu pasca COVID-19 yang mana mereka juga turut terkesan kerana terpaksa dibuang kerja oleh majikan mereka sebelum ini.  Sekiranya para mahasiswa kurang berkemahiran dalam mempamerkan sifat kebolehpasaran,  ia tidak akan membuatkan para majikan tertarik untuk mengambil mereka bekerja walaupun mempunyai keputusan akademik yang baik.

Oleh itu, mahasiswa tidak harus leka malah perlu bijak menerokai peluang untuk mengasah kemahiran insaniah semasa mereka masih berada dalam pengajian lantaran menjadi graduan yang berkualiti di mata para majikan. Berdasarkan data daripada Future of Jobs Report 2020, World Economic Forum, kebolehan untuk berfikir secara kreatif, kebolehan untuk menyelesaikan masalah, kemahiran dalam penggunaan teknologi, berinovasi dan mempunyai sifat kepimpinan adalah merupakan antara kemahiran penting (top skill) yang amat diperlukan sehingga ke tahun 2025 yang akan datang.

Sumber: https://www.ywcasaskatoon.com/

Salah satu garis haluan yang baik untuk mereka mengasah kemahiran insaniah mereka adalah dengan mengikuti aktiviti kokurikulum seperti aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh kelab dan persatuan universiti, berani dalam menyahut cabaran untuk menjadi pemimpin dalam sesebuah organisasi, dan mengambil peluang untuk mangambil bahagian dalam apa-apa jua pertandingan yang dianjurkan di dalam dan luar universiti. Oleh itu, disamping menumpukan perhatian dalam pelajaran, dengan adanya penglibatan mahasiswa dalam aktiviti-aktiviti seperti ini, ia akan memberikan impak yang baik terhadap diri seseorang pelajar. Pada akhirnya dapat membentuk pelajar untuk menjadi graduan yang berkualiti, seterusnya mempunyai akses terhadap pelbagai peluang walau di mana pun mereka berada.

Rujukan

  • Whiting, K. (2020, October 21). What are the top 10 job skills for the future? World Economic Forum. https://www.weforum.org/agenda/2020/10/top-10-work-skills-of-tomorrow-how-long-it-takes-to-learn-them/

Disunting oleh Ismatul Nisak

MENGENAI PENGARANG

Pensyarah di UiTM, Kampus Kota Kinabalu, Sabah | bibianahthomas@yahoo.com | + ARTIKEL TERDAHULU

Pengarang memiliki Ijazah Sarjana dalam bidang Pentadbiran Korporat. Beliau sedang berkhidmat sebagai Pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara, Kampus Kota Kinabalu, Sabah.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

3 × 5 =