Panduan Pengambilan Ubat yang Selamat Ketika Menyusukan Bayi

Menurut satu artikel yang diterbitkan dalam portal MyHealth, susu ibu membantu perkembangan deria, fungsi kognitif atau pemikiran, sistem imun bayi serta mengurangkan risiko penyakit saluran pernafasan seperti radang paru-paru dan selesema. Oleh sebab itu, pemberian susu ibu digalakkan sekurang-kurangnya sehingga bayi berusia dua tahun.

Kaitan antara pengambilan ubat dengan penyusuan bayi

Pada masa-masa tertentu, ibu yang menyusukan bayi mungkin perlu mengambil ubat-ubatan untuk merawat masalah kesihatan yang dihidapi. Hal ini menimbulkan kebimbangan dan persoalan tentang kemungkinan ubat yang diambil meresap masuk ke dalam susu ibu dan seterusnya dapat memberi kesan kepada bayi.

Secara umumnya, kuantiti ubat yang meresap masuk ke dalam susu dan kesan ubat tersebut kepada bayi adalah bergantung kepada umur dan tahap kesihatan bayi, jenis ubat, dos serta masa pengambilan ubat.

Sesetengah ubat boleh mengakibatkan bayi mengalami cirit-birit, muntah, mengantuk atau meragam. Sesetengah ubat yang lain pula boleh menyebabkan penghasilan susu berkurang atau lebih daripada biasa. Oleh sebab itu, pengambilan setiap ubat perlu dinilai secara berasingan.

Antara ubat yang dilaporkan selamat untuk digunakan pada dos biasa

1. Ubat tahan sakit atau ubat demam

Ubat tahan sakit atau ubat demam seperti parasetamol (paracetamol) dan ibuprofen adalah selamat digunakan oleh ibu yang menyusukan bayi. Ubat aspirin pula harus dielakkan untuk mengurangkan risiko bayi mendapat sindrom Reye (Reye’s syndrome) iaitu penyakit yang biasanya dihidapi oleh kanak-kanak, terutamanya selepas diberikan aspirin untuk merawat jangkitan virus. Antara gejala penyakit ini ialah tubuh lesu, pernafasan laju dan sawan. Jika tidak dirawat, penyakit ini boleh mengakibatkan kecacatan otak dan hati. Walau bagaimanapun, ubat aspirin pada dos yang rendah sebagai antiplatelet adalah selamat.

Gejala biasa yang dialami oleh penghidap sindrom Reye (Reye’s syndrome). Sumber: healthline.com

2. Ubat untuk selesema dan alahan

Ubat antihistamin generasi pertama seperti loratadine dan desloratadine disarankan untuk merawat selesema dan alahan. Ubat antihistamin generasi kedua seperti diphenhydramine dan chlorpheniramine boleh dijadikan alternatif hanya untuk jangka masa pendek kerana boleh menyebabkan kesan mengantuk. Ambil ubat ini pada dos paling rendah dan pada waktu malam selepas menyusukan bayi. Ubat jenis dekongestan (decongestant) seperti pseudoephedrine yang biasanya diambil dalam gabungan dengan antihistamin pula tidak disarankan kerana berpotensi mengurangkan penghasilan susu.

3. Ubat antibiotik

Secara amnya, ubat antibiotik adalah selamat digunakan namun setiap kes perlu dinilai secara individu. Walau bagaimanapun, penggunaan antibiotik boleh mengganggu flora di dalam usus bayi yang boleh menyebabkan cirit-birit atau jangkitan kulat serta ruam lampin. Antara antibiotik yang biasa digunakan ialah cephalexin, cefuroxime, amoxicillin, cloxacillin, erythromycindan azithromycin. Sekiranya ibu khuatir akan kesan yang mungkin dihadapi oleh bayi, stok simpanan susu boleh diberikan kepada bayi sepanjang tempoh rawatan.

4. Ubat untuk masalah gastrik

Masalah gastrik yang dihidapi boleh dirawat dengan menggunakan ubat seperti magnesium hidroksida, aluminium hidroksida dan simethicone.

5. Ubat perancang keluarga

Pil yang mengandungi hanya progestin seperti norethisterone dan levonorgestrel, ubat jenis suntikan setiap tiga bulan dan implan yang mengandungi etonogestrel lebih disarankan untuk tujuan kontraseptif. Pil kontraseptif yang mengandungi gabungan antara estrogen dan progestin tidak digalakkan ketika menyusukan bayi di bawah enam minggu kerana ubat ini dapat mengurangkan penghasilan susu.

Berbincang dengan doktor sebelum mengamalkan sebarang pil perancang keluarga. Sumber: theldown.com

6. Ubat untuk penyakit tekanan darah tinggi (hipertensi)

Ubat untuk rawatan darah tinggi iaitu captopril, enalapril, metoprolol, propranolol, verapamil, nifedipine, diltiazem, dan methyldopa didapati hanya meresap ke dalam susu pada kepekatan rendah dan kurang berisiko memberikan kesan kepada bayi. Ubat daripada kumpulan diuretik seperti frusemide dan hydrochlorothiazide juga adalah selamat untuk diambil. Ubat ini perlu diambil dalam dos yang rendah kerana boleh mengurangkan penghasilan susu.

7. Ubat untuk penyakit diabetes

Insulin adalah selamat untuk diambil kerana molekul insulin yang besar tidak dapat meresap ke dalam susu ibu. Ubat oral seperti metformin dan glibenclamide juga selamat untuk diambil oleh ibu yang menyusukan bayi kerana tidak meresap ke dalam susu.

Suntikan insulin adalah selamat untuk ibu yang menyusukan bayi. Sumber: https: healthline.com

Panduan pengambilan ubat yang selamat ketika menyusukan bayi

Para ibu yang menyusukan bayi hendaklah sentiasa menyemak kesesuaian ubat yang hendak diambil dengan ahli profesional kesihatan. Pastikan ubat diambil mengikut arahan doktor atau ahli farmasi, iaitu ambil ubat-ubatan hanya apabila perlu, dalam dos yang betul dan untuk jangka masa yang bersesuaian.

Pengamal perubatan perlu dimaklumkan sekiranya ibu sedang menyusukan bayi dan mengambil ubat untuk penyakit kronik. Perkara ini penting kerana terdapat sesetengah ubat yang mungkin perlu ditukar kepada bentuk dos yang lebih sesuai atau kepada ubat lain yang lebih selamat.

Ubat yang perlu diambil sekali sehari disarankan diambil sejurus selepas anda menyusukan bayi. Contohnya pada waktu malam iaitu apabila bayi tidak menyusu dalam tempoh yang lama. Ibu juga perlu peka terhadap sebarang perubahan kepada bayi seperti lebih kerap tidur, mengalami kerengsaan dan kesan-kesan lain yang dijangka daripada ubat yang diambil. Lebih perhatian perlu diberikan kepada bayi pramatang memandangkan sistem organ mereka yang mungkin tidak berfungsi secara optimum.

Selain itu, ubat dengan formulasi khusus seperti ubat pelepasan terlanjut (extended-release) hendaklah dielakkan kerana ubat ini berada lebih lama dalam badan.

Sebagai kesimpulan, ibu yang menyusukan bayi dinasihatkan untuk sentiasa mendapatkan pandangan profesional daripada doktor atau ahli farmasi sebelum mengambil sebarang ubat. Ahli profesional kesihatan boleh membantu memilih ubat yang paling selamat di samping memberikan nasihat tentang cara pengambilan ubat sepanjang tempoh penyusuan.

Sebarang pertanyaan lanjut tentang ubat-ubatan boleh dibuat ke Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) di talian  1800-88-6722, setiap Isnin hingga Jumaat, dari 8 pagi hingga 5 petang (kecuali cuti umum).

Rujukan

Disunting oleh Fatin Irdina

MENGENAI PENGARANG

Pegawai Farmasi di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. | misszanariah@gmail.com

Pengarang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Farmasi (2008) dan Ijazah Sarjana dalam bidang Amalan Farmasi (2015) di Universiti Teknologi Mara. Beliau sekarang berkhidmat sebagai Pegawai Farmasi di Pusat Sumber dan Maklumat Farmasi, Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

One thought on “Panduan Pengambilan Ubat yang Selamat Ketika Menyusukan Bayi”

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

2 × two =