Fenomena pandemik COVID-19 telah menjejaskan banyak pihak termasuklah pentadbiran negara, pengurusan tempat kerja dan rumah tangga. Arahan sekatan pergerakan penuh (total lockdown) di Malaysia juga menyebabkan banyak institusi terpaksa ditutup bagi mengekang penularan wabak ini. Kesan penutupan institusi pendidikan sebagai contoh, menjadi faktor kaedah pembelajaran terpaksa diubah kepada dalam talian. Secara tidak langsung, para pelajar terpaksa menyesuaikan diri dengan kaedah pembelajaran jarak jauh ini tanpa interaksi fizikal dengan guru mahupun rakan sekelas. Kaedah ini memberi kelebihan dari segi pengurusan masa dan jadual harian. Namun kekangannya pula, ia menjadi satu cabaran untuk kekal fokus sepanjang kelas berlangsung terutamanya kepada para pelajar. Tidak hairanlah ramai ibu bapa yang bimbang dan berikhtiar pelbagai cara bagi membantu anak-anak mereka dalam hal ini. Justeru, artikel ini akan dikongsikan kepada ibu bapa khususnya, cara untuk membantu anak-anak dalam menyesuaikan diri dengan pembelajaran dalam talian.
Menyediakan ruang belajar yang sesuai
Selain daripada membantu dari segi pembelajaran anak-anak, ibu bapa perlu menyediakan ruang belajar yang selesa. Ruang belajar perlulah mempunyai meja dan kerusi yang bersesuaian dengan umur anak-anak. Selain itu, ruang belajar tersebut perlu dijauhkan dari sumber hiburan seperti televisyen, radio atau sebarang bunyi bising di rumah bagi mengelakkan mereka terganggu dengan keadaan sekeliling mereka. Ruang belajar yang berdekatan dengan dapur pula akan menyebabkan semangat belajar mereka berubah kepada lapar dek timbulnya keinginan untuk makan setelah terhidu bau-bauan yang enak. Aspek lain yang penting adalah mengasingkan ruang belajar dari tempat tidur agar tidak terpukau dengan pemandangan katil empuk yang umpama memanggil-manggil mereka untuk berbaring atau tidur. Semua aspek ini perlu dititikberatkan agar mereka cergas, kekal fokus dan paling penting seronok menghadiri kelas dalam talian.
Meningkatkan kualiti dan kemahiran teknologi (alat dan peranti)
Seterusnya, ibu bapa perlu celik dengan teknologi terkini kerana kecanggihannya banyak membantu memudahkan sebahagian besar tenaga pengajar untuk menjalani kelas dalam talian dan memantau perkembangan pelajar dengan lebih mudah. Isu ini dibangkitkan kerana terdapatnya kes yang mana pelajar gagal menghadiri kelas kerana berdepan dengan masalah seperti peranti kurang berkualiti dan sambungan internet lemah. Oleh sebab itu, penting untuk menaik taraf talian internet di rumah. Cukup sekadar mengelakkan talian daripada terputus semasa sesi pembelajaran berlangsung supaya mereka tidak ketinggalan maklumat penting yang disampaikan. Lebih utama lagi, maklumkan kepada pengajar sekiranya menghadapi masalah sambungan internet agar mereka cakna dan tidak memberi tanggapan negatif terhadap pelajar. Di samping itu, ibu bapa digalakkan untuk mengambil perhatian tentang kepelbagaian aplikasi yang diguna pakai dalam pembelajaran dalam talian ini. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap pengajar mempunyai keutamaan aplikasi yang berbeza untuk mencapai pembelajaran yang berinteraktif. Aplikasi Kahoot! merupakan satu contoh aplikasi yang banyak digunakan oleh para pengajar untuk menjalankan kuiz atau ujian. Masalah akan timbul sekiranya pelajar tidak dapat mengikut rentak setiap pengajar kerana tidak biasa dengan penggunaan aplikasi-aplikasi tersebut. Justeru itu, ibu bapa perlu bertindak membimbing atau sekurang-kurangnya cuba mendalami penggunaan aplikasi yang asing ini bersama anak-anak bagi memudahkan urusan mereka.
Memantau aktiviti anak-anak
Ibu bapa perlu memantau anak-anak dalam apa jua aktiviti dalam talian, terutamanya bagi yang bersekolah rendah atau tadika. Kanak-kanak memerlukan bimbingan dari aspek teknikal kerana pengetahuan mereka terhadap penggunaan alat dan peranti termaju masih terbatas. Tanpa pantauan ibu bapa, maka berlakulah masalah kelas terganggu dengan bunyian bising kerana pelajar tidak tahu mematikan mikrofon ketika kelas berlangsung atau pelajar tidak hadir kerana tidak tahu cara untuk menyertai kelas dan sebagainya. Begitu juga bagi anak-anak yang bersekolah menengah, walaupun ada kalanya mereka lebih berpengetahuan daripada ibu bapa, namun itu bukan alasan untuk ibu bapa lepas tangan dan memberi kepercayaan sepenuhnya kepada mereka. Ada kalanya, anak-anak ini cuba mengambil kesempatan untuk tidak menghadiri kelas dengan sengaja apabila bangun lewat, malas atau gagal menyiapkan tugasan. Perlu diketahui pada peringkat remaja, anak-anak sedang berada di fasa mencari identiti diri. Justeru itu, penting untuk membimbing mereka menjadi lebih berdisiplin, terutamanya dalam hal pengurusan masa yang betul. Masalah masa kini, ramai ibu bapa beranggapan anak-anak remaja sudah cukup dewasa untuk mengendalikan diri sendiri termasuklah dalam urusan pembelajaran. Lebih teruk lagi, mereka ditinggalkan di rumah bersama adik-beradik yang lain demi mencari rezeki lebih untuk mencukupkan keperluan keluarga. Kesannya, anak-anak remaja ini terabai dan mereka mengambil penyelesaian dengan membuat ‘akal sendiri’. Tidak dinafikan dengan masalah ekonomi yang tidak stabil susulan pandemik, ramai ibu bapa terpaksa mengambil tindakan ini untuk bertahan. Oleh yang demikian, ibu bapa perlu mengorbankan masa dan tenaga yang tersisa untuk memantau perkembangan dan pembelajaran anak-anak. Selain itu, ibu bapa juga boleh mengambil inisiatif mengupah tutor peribadi untuk anak-anak di rumah. Perkara ini akan diterangkan dengan lebih lanjut dalam panduan yang seterusnya.
Mengupah tutor peribadi atau persendirian
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, ibu bapa yang terlalu sibuk dengan kerja sehingga tidak mampu memantau pembelajaran anak-anak akan memberikan impak negatif kepada diri mereka sendiri. Kegagalan pembahagian masa antara kerja dan anak-anak akan membuatkan para ibu bapa terbeban dengan tanggungjawab ini, lebih-lebih lagi apabila timbul masalah yang berkaitan dengan kelas dalam talian. Jika ini berlaku, ibu bapa disarankan untuk mencari bantuan luar seperti mengupah tutor peribadi atau persendirian bagi membantu memberikan bimbingan kepada anak-anak. Kelebihan tutor peribadi adalah mereka sedia untuk dirujuk dan mempunyai jadual yang fleksibel untuk menyelesaikan masalah anak-anak berkaitan tugasan sekolah pada bila-bila masa. Anak-anak juga akan memperoleh bimbingan terperinci yang pastinya memberi kesan positif dalam meningkatkan pemahaman mereka. Bukan itu sahaja, anak-anak lebih yakin untuk bertanyakan soalan berikutan sesi pembelajaran yang lebih peribadi. Jika dibandingkan dengan kelas dalam talian, ada kalanya anak-anak kurang berkeyakinan untuk bertanya kerana faktor malu dengan rakan atau takut kepada guru yang garang.
Menyertai kelas tambahan
Akhir sekali, ibu bapa boleh mendaftarkan kelas tambahan kepada anak-anak untuk subjek yang mereka kurang mahir. Menghadiri kelas tambahan dapat meningkatkan pemahaman anak-anak kerana sesi pembelajaran di kelas tambahan lebih tertumpu kepada topik atau bahagian yang sukar. Tenaga pengajar di kelas tambahan juga mengamalkan sesi pembelajaran yang lebih progresif dan interaktif bergantung pada keselesaan pelajar. Oleh sebab itu, menghadiri kelas tambahan bukan sahaja dapat membantu pelajar dalam mata pelajaran yang mereka lemah, malahan juga meningkatkan prestasi ulang kaji. Berbanding dengan kelas dalam talian, pelajar lebih mudah terganggu dan rasa terpinggir apabila tidak memahami sesi pembelajaran tersebut. Dengan adanya kelas tambahan, pelajar akan mendapat perhatian yang cukup dan tidak akan ketinggalan dengan pelajaran yang telah dipelajari di sekolah. Hal ini penting terutamanya sebagai dorongan tambahan dan persediaan menghadapi ujian atau peperiksaan.
Terdapat satu aplikasi yang dibina khusus untuk ibu bapa bagi memudahkan urusan mencari tutor peribadi atau kelas tambahan untuk anak-anak iaitu TutorXcess. Aplikasi ini juga mudah digunakan oleh semua peringkat umur. TutorXcess adalah aplikasi yang berfungsi sebagai Pasaran Tutor yang menghubungkan ibu bapa atau pelajar dengan lebih seribu tutor di Malaysia. Aplikasi ini bukan sahaja membantu tutor mempromosikan diri mereka untuk khidmat mengajar, malah membantu ibu bapa dalam mencari tutor yang sesuai untuk anak-anak mereka. Ibu bapa hanya perlu memuat turun aplikasi ini di Gedung Play (Play Store) atau Gedung App (App Store) secara percuma dan mendaftar diri sebagai pelanggan sebelum memasukkan anak-anak ke dalam sebanyak mana kelas yang mereka mahu untuk sesi tutor peribadi atau sesi pembelajaran berkumpulan.
Disunting oleh Izzati Rosli
MENGENAI PENGARANG
Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam Penyenggaraan Pesawat Terbang. Kini beliau bekerja sebagai Ketua Pegawai Strategi (CSO) di syarikat Stalwart Educational And Technologies Sdn Bhd.