Mengenali Budaya Kebangsaan Malaysia

Budaya kebangsaan wujud di dalam sesebuah negara yang mempunyai batasan kebangsaan berkaitan dengan adab berfikir dan bertindak. Pada dasarnya, budaya kebangsaan merujuk kepada kewujudan nilai dan tingkah laku yang diamalkan oleh sekelompok masyarakat dalam sesebuah negara walaupun terdapat banyak perbezaan subkultur atau budaya etnik. Budaya kebangsaan merangkumi norma, tingkah laku, kepercayaan, adat istiadat, dan nilai-nilai yang dikongsi oleh penduduk negara tertentu misalnya budaya Malaysia, budaya Cina atau budaya kebangsaan Kanada. Ia merujuk kepada ciri-ciri tertentu seperti bahasa, agama, identiti etnik dan kaum, sejarah budaya dan tradisi orang yang tergolong dalam bangsa tertentu.

Mengapa penting bagi kita untuk memahami budaya kebangsaan? Kajian menunjukkan bahawa sistem budaya kebangsaan benar-benar mempengaruhi budaya korporat dan organisasi serta sistem organisasi dengan banyak cara. Contohnya budaya kebangsaan mempengaruhi cara majikan membuat keputusan, gaya kepimpinan seseorang pemimpin, serta amalan pengurusan melibatkan sumber manusia. Bahkan budaya kebangsaan juga mempengaruhi peranan majikan dalam aspek komunikasi, motivasi dan reka bentuk organisasi.

Model Budaya Kebangsaan 6 Dimensi Hofstede

Salah satu model budaya kebangsaan yang paling berpengaruh adalah Model Budaya Kebangsaan 6 Dimensi Hofstede. Ia adalah salah satu model budaya yang akan digunakan dalam menganalisis budaya di Malaysia.

Model Budaya Kebangsaan 6 Dimensi Hofstede bagi negara Malaysia. Sumber: www.hofstede-insights.com

1. Jurang Kuasa (Power Distance)
Dimensi ini menyatakan sejauh mana anggota masyarakat yang kurang berkuasa menerima dan mengharapkan bahawa kuasa diagihkan secara tidak sama rata. Merujuk kepada gambar rajah, Malaysia mempunyai jarak kuasa yang tinggi iaitu 100.  Masyarakat yang menunjukkan jarak kuasa yang tinggi lazimnya akan menerima susunan hierarki dalam setiap pentadbiran dan organisasi. Setiap orang mempunyai tempat dan mereka tahu tempat mereka serta tidak memerlukan justifikasi. Ciri-ciri pentadbiran dalam jarak kuasa tinggi ialah ia sangat berpusat, susunan hierarikal yang tinggi dalam organisasi yang mana terdapat tahap pengurus dan bawahan yang jelas. Pengurus juga bergantung pada peraturan formal untuk mengurus dan mereka biasanya akan menguruskan dengan gaya pengurusan dan membuat keputusan dengan cara yang lebih berwibawa. Orang bawahan akan mengharapkan arahan atau secara asasnya mereka mengharapkan apa yang harus dilakukan.

2. Keakuan lwn. Kekitaan (Individualism vs. collectivism)
Keakuan boleh didefinisikan sebagai pilihan dalam struktur sosial yang mana individu diharapkan hanya menjaga diri mereka sendiri dan keluarga terdekat manakala kekitaan adalah sebaliknya. Malaysia menunjukkan nilai yang rendah dalam keakuan iaitu 26. Hal ini bermaksud, masyarakat Malaysia lebih kepada sifat kekitaan yang mana mereka adalah sebahagian daripada kumpulan yang besar, termasuklah keluarga, pasukan, dan kelas sosial. Beberapa ciri dalam masyarakat kekitaan adalah pekerja yang selalu bertindak demi kepentingan kumpulan dalam organisasi atau dalam masyarakat. Pengambilan kerja dan kenaikan pangkat turut mengambil kira persetujuan kumpulan. Mereka juga percaya dalam membuat keputusan secara bersama-sama dan menjaga hubungan peribadi perniagaan adalah merupakan aspek yang sangat penting.

3. Kejantanan lwn. Kewanitaan (Masculinity vs. Femininity)
Dimensi ini bukan mengenai bagaimana dominasi lelaki atau wanita di negara tertentu, tetapi ia berkaitan dengan sifat kejantanan dan kewanitaan masyarakat di sesebuah negara. Berdasarkan gambar rajah, Malaysia mempunyai skor pertengahan iaitu 50. Oleh itu, pilihan untuk dimensi ini tidak dapat ditentukan. Walau bagaimanapun, dimensi kejantanan merujuk kepada pilihan bahawa masyarakat akan didorong oleh persaingan, pencapaian dan kejayaan,  yang mana kejayaan ditentukan misalnya melalui pengiktirafan pekerja terbaik di tempat kerja atau menjadi yang terbaik dalam sesuatu aspek. Kebiasaannya, negara yang mempunya sikap kejantanan sangat mengutamakan kerja berbanding aspek kehidupan lain seperti keluarga atau masa lapang. Sebaliknya, lawan bagi kejantanan adalah kewanitaan, yang mana masyarakat lebih memilih untuk bekerjasama, menjaga yang lemah dan memelihara kualiti hidup. Masyarakat pada tahap ini lebih berorientasikan kata sepakat dan menjadikan kualiti hidup sebagai tanda kejayaan mereka.

4. Penghindaran daripada Ketaktentuan (Uncertainty Avoidance)
Malaysia mendapat skor 36 pada dimensi ini, menjadikan negara kita mempunyai pilihan yang rendah untuk mengelak ketaktentuan. Hal ini dizahirkan melalui masyarakat yang mengekalkan sikap lebih santai dan menjadikan sifat praktikal sebagai sesuatu yang lebih penting daripada pemeliharaan prinsip. Tambahan lagi, masyarakat yang mempunyai penghindaran ketaktentuan yang rendah lebih selesa untuk mengambil risiko, melakukan perubahan, dan melakukan sesuatu yang tidak dapat diramalkan. Selain itu, mereka kebanyakannya kurang setia kepada organisasi serta mempunyai tempoh pekerjaan yang lebih pendek. Namun, mereka lebih inovatif kerana lebih selesa dengan risiko dan perubahan, selain lebih bertolak ansur dalam kerja serta prosedur struktur organisasi.

5. Orientasi Jangka Panjang (Long-Term Orientation)
Dimensi ini melihat kepada cara masyarakat melihat masa kini, masa lalu, dan masa depan. Skor rendah 41 dalam dimensi ini bermaksud bahawa Malaysia mempunyai orientasi jangka pendek serta mempunyai budaya normatif. Budaya orientasi jangka pendek lebih menumpukan pada masa lalu dan masa kini berbanding masa depan. Mereka mempunyai rasa hormat yang tinggi dalam tradisi dan lebih fokus dalam mencapai hasil yang pantas. Mereka juga lebih mengambil berat terhadap kepuasan segera berbanding kepuasan jangka panjang.

6. Kepuasan Diri (Indulgence)
Dimensi ini merujuk kepada tingkah laku masyarakat dalam memenuhi kehendaknya. Malaysia mempunyai skor yang tinggi iaitu 57 dalam dimensi ini yang menunjukkan bahawa budaya masyarakat Malaysia ialah mementingkan kepuasan diri. Ciri ini boleh dilihat melalui masyarakat yang mempunyai kesungguhan dalam memenuhi kehendaknya dan diberikan kebebasan untuk mewujudkan keinginan mereka berkaitan dengan menikmati hidup mereka dengan baik dan menyeronokkan. Mereka menghargai optimisme dan kepentingan kebebasan bersuara serta menekankan kebahagiaan peribadi.

Rujukan

  • https://www.hofstede-insights.com/country-comparison/malaysia/

Disunting oleh Adib Yusof

MENGENAI PENGARANG

sitiamira@uthm.edu.my + ARTIKEL TERDAHULU

Pensyarah di Jabatan Fizik dan Kimia, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

15 − six =