Ijtihad Kontemporari Dalam Siyasah Malaysia (Bahagian 2)

Baca bahagian 1 di sini.

Maqasid al-Syari’ah menggalakkan kajian serius dijalankan dan penetapan dasar yang holistik mencakupi pelbagai sudut kehidupan. Tidak mungkin isu perubatan berbangkit tanpa dibahas isu ekonomi, politik, alam sekitar, sosial, pendidikan. Sepertimana isu kesenian terkait dengan ekonomi, politik, alam sekitar, sosial, budaya dan seterusnya. Jangkauan Maqasid al-Syariah adalah tidak terhad, skop perbincangannya sangat meluas, malah mempunyai hubung kait antara kesemua aspek yang dilihat sebagai maslahah dan nilai positif dalam masyarakat [1].

Kedua, saranan oleh ulama’ dan sarjana Islam agar Siyasah Syar’iyyah dilaksanakan dalam pentadbiran di Malaysia. Siyāsah Syar‘iyyah merupakan kaedah pentadbiran dan pemerintahan negara menurut perspektif Islam [2]. Fuqaha’ menamakan politik Islam sebagai Siyasah Syar’iyyah. Siyasah Syar’iyyah membahaskan sistem, peraturan dan undang-undang dalam urusan negara yang bertepatan dengan Islam dan dapat merealisasikan kemaslahatan dan menjaga kepentingan seluruh manusia [3] berpandukan kepada al-Qur’an, al-Sunnah atau ijtihad [4].

Al-Quran dan hadis. Sumber: https://muslimobsession.com/ijtihad-bukti-islam-menghargai-perbedaan/

Al-Qaradawi mendefinisikan Siyasah Syar’iyyah sebagai sistem politik yang menjadikan syariat sebagai teras, kembali dan bersandar kepadanya, mengaplikasikannya di muka bumi, melaksanakan ajaran-ajaran dan prinsipnya di tengah masyarakat, sekali gus sebagai matlamat dan sasaran sistem dan tatacaranya. Beliau mencadangkan agar amalan mengadu domba, berdusta, menebar fitnah, pembunuhan karakter, menganiaya, mengancam, dan pembunuhan ahli politik atau pemimpin masyarakat dikurangkan dan akhirnya hilang [5].

Ketiga, praktis Tahalluf Siyasi oleh parti politik Islam dengan parti politik bukan Islam. Tahalluf siyasi secara umum adalah diplomasi politik, kompromi politik, kerjasama politik, gabungan politik, pakatan politik dan integrasi politik. Gabungan itu berbentuk kesatuan sementara di antara dua pihak atau lebih dalam parti-parti politik bagi membina kekuatan dengan isu-isu yang mempunyai kepentingan yang dikongsi. Ia adalah sebuah strategi politik dengan cara bekerjasama dengan kumpulan lain untuk mencapai matlamat yang sama [6].

Menurut al-Qaradawi, struktur politik Islam mestilah dibina berasaskan prinsip keseimbangan iaitu Fiqh at-Tawazun di mana undang-undang dan sistem pemerintahan berdiri di atas persetujuan bersama atau konsensus di antara rakyat Muslim dan bukan Muslim dalam negara. Tahalluf siyasi dibenarkan oleh Syarak dan undang-undang untuk menetapkan kepimpinan Islam yang mampu memberikan gerak balas positif dalam menghadapi situasi sukar untuk menjaga kepentingan semua pihak dalam negara [7].

Kepelbagaian agama di Malaysia. Sumber: shutterstock.com

Ijtihad kontemporari telah menjadi satu keperluan yang darurat dalam kehidupan serba moden masyarakat Muslim dan dunia pada hari ini. Kepesatan pembangunan, perubahan dan perkembangan tamadun manusia dalam segenap bidang kehidupan memerlukan kepada pandangan yang relevan dan tepat daripada para mujtahid dalam memberikan hukum berkaitan perbuatan amalan dan pelbagai perkara baru dewasa ini.

Golongan ahli akademik yang khusus dalam bidang pengajian Islam adalah terbeban dengan tanggungjawab dan kewajipan untuk menguasai Usul Fiqh dan al-Qawaid Fiqhiyyah. Seterusnya, kita perlulah bijak dan matang dalam memadukan ilmu Islam dengan ilmu sains teknologi perubatan dan sebagainya dalam mengeluarkan hukum asas dan garis panduan praktis kehidupan yang patuh Syari’ah kepada masyarakat Muslim.

Rujukan

  •  [1] Jasser Auda, Negara Madani Dalam Kerangka Maqasid Syari’ah, Maqasid Institute Malaysia, 2017, hal:17.
  • [2] Bharudin Che Pa, Siti Arni Basir dan Shukeri Mohamed, Perlaksanaan Siyāsah Syar‘iyyah Dalam Pentadbiran Di Malaysia, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 2009, hal:60.
  • [3] Abd Jalil Borham, Konsep Siyasah Syar`iyyah dan Pelaksanaannya Dalam Konteks Malaysia, Universiti Malaysia Pahang, 2013, hal: 2.
  • [4] Bharudin Che Pa, Siti Arni Basir dan Shukeri Mohamed, Perlaksanaan Siyāsah Syar‘iyyah Dalam Pentadbiran Di Malaysia, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 2009, hal:60.
  • [5] Abd Jalil Borham, Konsep Siyasah Syar`iyyah dan Pelaksanaannya Dalam Konteks Malaysia, Universiti Malaysia Pahang, 2013, hal: 5.
  • [6] Muhammad Faiz Mukmin Abdul Mutalib dan Wan Fariza Alyati Wan Zakaria, Pasca-Islamisme dalam PAS: Analisis Terhadap Kesan Tahalluf Siyasi, International Journal of Islamic Thought, 2015, hal: 54.
  • [7] Lukman Thaib, Political Power-Sharing from Islamic Perspective (Tahaluf al-Siyasi Fi al-Islam): Muslim’s Experience in Malaysia, Journal of Islamic Studies and Culture, 2014, hal: 25.

Disunting oleh Izzati Rosli

MENGENAI PENGARANG

Umar Izzat Basir

One thought on “Ijtihad Kontemporari Dalam Siyasah Malaysia (Bahagian 2)”

  1. Pingback: Ijtihad Kontemporari Dalam Siyasah Malaysia (Bahagian 1) – Angkasfera
  2. Trackback: Ijtihad Kontemporari Dalam Siyasah Malaysia (Bahagian 1) – Angkasfera

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

17 − ten =