Ijtihad Kontemporari Dalam Siyasah Malaysia (Bahagian 1)

إذا حكم الحاكم فاجتهد فأصاب فله أجران وإذا حكم فاجتهد ثم أخطأ فله أجر

Apabila seorang hakim membuat keputusan lalu dia berijtihad dan (ijtihadnya) benar maka baginya dua pahala, dan apabila dia salah (dalam berijtihad) maka baginya satu pahala. (HR Bukhari dan Muslim)

Ijtihad dari segi bahasa bermakna pengerahan segala keupayaan untuk mendapatkan sesuatu yang sulit. Dari segi istilah pula ijtihad bermaksud penelitian dan pemikiran untuk mendapatkan sesuatu yang hampir dengan syariat berdasarkan al-Quran, al-Sunnah serta prinsip dan kaedah syariat dalam berhadapan dengan situasi baru untuk mencapai maslahat insan [1]. Ijtihad bertujuan mencari hukum syarak yang berbentuk praktikal dengan melakukan proses istinbat [2].

Sepanjang sejarah tamadun Islam, ulama dan sarjana Islam melakukan ijtihad melalui empat jalan. Pertama, memahami kandungan al-Quran dan al-Sunnah bagi dipraktikkan dalam kehidupan. Kedua, memahami dan membangun tasawwur Islam yang diterapkan dalam kehidupan dan kegiatan ilmu. Ketiga, mengkaji unsur-unsur luar dan menyaringnya dengan tasawwur Islam untuk diadaptasikan dalam kehidupan. Keempat, menyediakan metodologi dan prinsip asas bagi tujuan penghayatan agama dan penyelesaian masalah umat Islam [3].

Al-Quran dan Sunnah menjadi panduan utama orang Islam. Sumber: EgyptToday

Al-Qaradawi menyatakan bahawa ijtihad semasa ialah usaha penyaringan semula fiqh klasik berasaskan nilai semasa atau mencari jawapan terhadap persoalan semasa yang wujud dalam kehidupan umat Islam masa kini [4]. Ijtihad diperlukan untuk mencapai pelaksanaan syariat Islam. Menurut beliau, ijtihad yang tepat dan relevan akan yang menjadikan Islam ini mekar dan mampu untuk menghadapi masalah dan krisis baru, seterusnya sesuai dipraktikkan pada setiap waktu dan lokasi [5].

Perkembangan dunia globalisasi dan kemajuan sains teknologi menimbulkan banyak isu dan persoalan hukum baharu, telah menyebabkan keperluan untuk melakukan ijtihad oleh ulama dan sarjana semasa. Ijtihad kontemporari yang kontekstual perlu dirangka untuk disesuaikan dengan tempat dan zaman. Tambahan pula wujudnya variasi bidang baharu seperti farmaseutikal, pemakanan, politik dan pentadbiran serta ekonomi, kewangan dan perbankan yang memerlukan anjakan dalam ijtihad pada hari ini [6].

Mufti Malaysia adalah antara institusi yang bertanggungjawab untuk memberi panduan ibadat dan gaya hidup Islam yang betul. Sumber: Dreamstime

Dalam kecelaruan politik dan pemerintahan negara-negara Islam pada hari ini, ramai mujtahid, sarjana, cendekiawan dan pemimpin masyarakat Muslim yang melakukan kajian, penelitian dan uji kaji dalam mencari penyelesaian kepada kemelut yang berlaku pasca kolonialisme. Tiga idea atau gagasan berkaitan pentadbiran dan politik mula menjadi perbahasan hangat dalam kalangan ulama dan akademia Islam kontemporari.

Pertama, galakan dan anjuran agar pemerintah negara dan pemimpin masyarakat serta parti politik menjadikan Maqasid al-Syariah sebagai asas dalam mengatur, mengurus dan mengarahkan kehidupan masyarakat dan negara [7]. Abu Zahrah mentakrifkan Maqasid al- Syariah dalam politik dan pentadbiran sebagai ijtihad dengan menggunakan fikiran melalui penelitian untuk mengetahui dasar atau tindakan yang menepati kehendak al-Quran dan al-Sunnah. Caranya ialah sama ada dengan merujuk kepada nas tertentu, iaitu yang dikenali sebagai al-Qiyas, atau pun dengan merujuk kepada objektif umum Syariah iaitu Maṣlaḥah [8].

Baca bahagian 2 di sini.

Rujukan 

  • [1] Abd Wafi Has, Ijtihad Sebagai Alat Pemecahan Masalah Umat Islam, Sekolah Tinggi KeIslaman Al-Hidayah, Jakarta, 2013, hal:91.
  • [2] Muhammad Ikhlas Rosele, Mohd Farhan Md Ariffin, Mohd Anuar Ramli dan Mohamad Zaim Isamail, Pendekatan Ijtihad Kontemporari Dalam Isu Semasa di Malaysia, Jurnal Islam dan Masyarakat Kontemporari, 2016, hal: 55.
  • [3] Prof. Dr Badlihisyam Mohd Nasir, Penyelidikan Dalam Pengajian Islam Era Kontemporari : Harapan & Hala Tuju, Universiti Teknologi Malaysia, Johor Bahru, tanpa tahun, hal: 2.
  • [4] Mahmood Zuhdi Haji Abd Majid, Aplikasi Fiqh Kontemporari Dalam Menangani Persoalan Hukum Baru Kefatwaan, International Institute of Advanced Islamic Studies, Kuala Lumpur, 2016, hal: 1
  • [5] Nasrul Hisyam Nor Muhamad, Pandangan Yusuf al-Qaradawi Terhadap Fiqh Semasa, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 2004, hal: 72.
  • [6] Muhammad Ikhlas Rosele, Mohd Farhan Md Ariffin, Mohd Anuar Ramli dan Mohamad Zaim Ismail, Pendekatan Ijtihad Kontemporari Dalam Isu Semasa di Malaysia, Jurnal Islam dan Masyarakat Kontemporari, 2016, hal: 53.
  • [7] Jasser Auda, Negara Madani Dalam Kerangka Maqasid Syari’ah, Maqasid Institute Malaysia, 2017, hal:17.
  • [8] Mahmood Zuhdi Abdul Majid, Maqasid Al-Shariah: Satu Pengenalan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, 2012, hal: 39.

Disunting oleh Mira Ashikin

MENGENAI PENGARANG

Sijil Pegawai Syariah di Hong Leong Islamic Bank | + ARTIKEL TERDAHULU

Umar Izzat Basir mempunyai kelulusan Diploma Pengajian Islam (Syariah) di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan juga Ijazah Sarjana Muda Muamalat di Universiti Teknologi Mara (UiTM). Kini, beliau bekerja sebagai Pegawai Syariah di Hong Leong Islamic Bank.

One thought on “Ijtihad Kontemporari Dalam Siyasah Malaysia (Bahagian 1)”

  1. Pingback: Ijtihad Kontemporari Dalam Siyasah Malaysia (Bahagian 2) – Angkasfera
  2. Trackback: Ijtihad Kontemporari Dalam Siyasah Malaysia (Bahagian 2) – Angkasfera

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

2 × 2 =