Idea Ekonomi Islam Zaman Emas

Islam menganjurkan penganutnya untuk sentiasa memerhatikan dunia dan mendalami ilmu bagi memajukan kehidupan manusia seluruhnya [1]. Sejarah telah mencatat kewujudan pemikir-pemikir ekonomi dalam kalangan umat Islam semasa era kegemilangan empayar Islam. Pemikir-pemikir ekonomi Muslim telah jauh lebih awal muncul dengan pandangan tentang pembangunan, masalah, dan teori ekonomi sebelum kemunculan teori-teori ekonomi Barat [2]. Dalam tulisan ini, saya bawakan dua contoh pemikir ekonomi Islam di zaman silam.

Al-Maqrizi

Al-Maqrizi, atau nama sebenarnya Taqiyuddin Al-Abbas Ahmad bin Ali dilahirkan di Kaherah, Mesir pada 1364 Masihi [3]. Keluarga beliau berasal dari Maqarizah, Ba’labak, Mesir. Dari usia kecil, al-Maqrizi tinggal bersama bapa saudaranya, Hanafi ibnu Sa’ih yang merupakan seorang ulama mazhab Hanafi. Pada usia mudanya, beliau merupakan pengikut dan pengamal mazhab fiqah Imam Hanafi. Selepas kematian bapa saudaranya, al-Maqrizi mengamalkan mazhab fiqah Imam Shafie [4].

Al-Maqrizi merupakan seorang pakar dalam ilmu al-Qur’an, al-Hadis dan fiqah Islam serta mahir dalam pengurusan dunia. Beliau sangat dipengaruhi oleh idea kemasyarakatan dan ekonomi Ibnu Khaldun. Al-Maqrizi pernah memegang jawatan sebagai Qadhi al-Qudhah atau hakim agung di Kaherah semasa pemerintahan Sultan Barquq. Beliau juga pernah dilantik menjadi muhtasib atau pengawas pasar di Kaherah. Al-Maqrizi memegang dua amanah itu semasa zaman Mamluk.

Dalam karya tulisannya yang berjudul al-Ighasah, beliau menyentuh persoalan politik, ekonomi, dan sosial serta menyatakan bahawa inflasi sebagai suatu fenomena sosioekonomi yang akan sentiasa wujud dan terjadi dalam sistem ekonomi. Menurut beliau, inflasi berlaku kerana dua sebab iaitu faktor semula jadi dan faktor manusia. Faktor alam seperti banjir, hujan, dan kemarau akan menghasilkan impak kepada pengeluaran produk makanan dan mempengaruhi harga barang dalam pasaran. Faktor sifat manusia seperti bakhil dan boros dalam berbelanja juga mempengaruhi penawaran dan harga barangan [5].

Bencana alam merupakan antara faktor penyumbang kepada inflasi. Sumber: blogs.egu.eu.

Ibnu Khaldun

Ibnu Khaldun atau nama sebenarnya Abd al-Rahman bin Muhammad bin Khaldun al-Hadrawi dilahirkan pada 1332 Masihi di Tunis, Tunisia [6]. Keluarga beliau berasal dari Seville, Andalus dan berpindah ke Tunisia selepas kejatuhan kerajaan Islam Andalus di tangan golongan penganut Kristian. Ibnu Khaldun bermazhab Maliki dan merupakan pakar al-Qur’an, Hadis, Usul Fiqh, dan sastera Arab. Ibnu Khaldun pernah menggalas tanggungjawab sebagai Qadhi Negara di Mesir.

Lakaran wajah Ibnu Khaldun, seorang tokoh yang arif dalam pelbagai disiplin ilmu. Sumber: www.iluminasi.com

Ibnu Khaldun telah berjaya menguasai disiplin-disiplin ilmu Islam tersebut pada usia muda. Beliau merupakan faqih dalam Usul Fiqh dan fiqah Mazhab Hanafi. Selain daripada menguasai disiplin-disiplin ilmu Islam, Ibnu Khaldun juga mempunyai minat yang mendalam terhadap politik, sejarah, ekonomi, dan geografi. Ibnu Khaldun telah mencadangkan teori-teori berkaitan pentadbiran Islam, geografi dunia Islam pada zamannya dan teori-teori ekonomi, kewangan dan muamalat dalam karyanya, al-Muqaddimah [7].

Bagi Ibnu Khaldun, suatu negara yang sempurna tertegak berdasarkan nilai Islam secara umum untuk mencapai kemakmuran dan keharmonian tanpa mengabaikan perhatian terhadap keperluan tertentu agar negara dapat berkembang secara progresif dan mandiri tanpa kebergantungan kepada kuasa asing. Kebijaksanaan pemerintah negara dalam merancang, menyusun dan menjalankan kegiatan ekonomi sangat signifikan sebagai mekanisme kekuasaan bagi mengatur kehidupan masyarakat Islam yang ekonominya membangun dan terkehadapan [8].

Dalam al-Muqaddimah, antara lain, Ibnu Khaldun telah mencadangkan teori nilai mata wang. Beliau telah menjangkakan bahawa emas dan perak yang akan berevolusi menjadi medium pertukaran dan penyukat nilai barang, alat perhubungan, dan alat simpanan di pusat penyimpanan harta. Jangkaan Ibnu Khaldun terbukti kebenarannya apabila dengan peredaran zaman, emas dan perak berubah bentuk menjadi mata wang dinar dan dirham dan kemudian menjadi mata wang berbeza di setiap negara pada hari ini. Mata wang menjadi medium jual beli dan simpanan masa hadapan yang dipelihara di bank [9].

Syiling dinar emas zaman Umayyad yang jarang ditemui ini dilelong pada nilai £1.4 hingga 1.6 juta. Sumber: www.antiquestradegazette.com

Kesemua khazanah ilmu karya penulisan tokoh cendekiawan Muslim seperti al- Maqrizi dan Ibnu Khaldun telah hilang daripada sisi umat Islam selepas keruntuhan Baghdad di tangan Mongol [10] dan kekalahan Andalus di tangan golongan penganut Kristian [11]. Pada hari ini, sarjana ekonomi Islam harus melakukan banyak kajian dan penyelidikan untuk mengaplikasikan prinsip dan asas ekonomi Islam dalam amalan kegiatan ekonomi semasa.

Rujukan

  1. Nor Sahida Mohamad dan Sanep Ahmad, Pembangunan Menurut Perspektif Islam: Satu Analisis Awalan, Universiti Kebangsaan Malaysia, 2013.
  2. Aan Jaelani, Muslim Scholars Contribution for European Civilization: The Roots of History and Economic Development Tracing, Universitas Muhammadiyah Cirebon, 2015.
  3. Ambok Pangiuk, Inflasi pada Fenomena Sosial Ekonomi: Menurut Al-Maqrizi, Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Sulthan Thaha Saifuddin Jambi, 1991.
  4. Nasser Rabbat, Who Was al-Maqrizi? A Biographical Sketch, Massachusets Istitute of Technology, 2003.
  5. Ambok Pangiuk, Inflasi pada Fenomena Sosial Ekonomi: Menurut Al-Maqrizi, Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Sulthan Thaha Saifuddin Jambi, 1991.
  6. Ibrahim Oweiss, Ibn Khaldun the Father of Economics, Georgetown University, tanpa tahun.
  7. Choirul Huda, Pemikiran Ekonomi Bapak Ekonomi Islam: Ibnu Khaldun, IAIN Walisongo Semarang, 2013.
  8. Mohammad Mushoffa, Konsep Ibnu Khaldun Dalam Politik Ekonomi, UIN Sunan Kalijaga, Jogjakarta, 2015.
  9. Choirul Huda, Pemikiran Ekonomi Bapak Ekonomi Islam: Ibnu Khaldun, IAIN Walisongo Semarang, 2013.
  10. Nursyad, Serbuan Bangsa Mongol Ke Kota Baghdad Dan Dampaknya Terhadap Keruntuhan Dinasti Abasiyah, UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta, 2014.
  11. Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor, Sejarah Perkembangan Dan Kejatuhan Pemerintahan Islam Di Andalusia: Teladan Dan Sempadan, Universiti Malaya, 2011.

Disunting oleh Adib Yusof

MENGENAI PENGARANG

Sijil Pegawai Syariah di Hong Leong Islamic Bank | + ARTIKEL TERDAHULU

Umar Izzat Basir mempunyai kelulusan Diploma Pengajian Islam (Syariah) di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan juga Ijazah Sarjana Muda Muamalat di Universiti Teknologi Mara (UiTM). Kini, beliau bekerja sebagai Pegawai Syariah di Hong Leong Islamic Bank.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

five × 1 =