Masa Depan Gentian Optik

Gentian optik adalah medium teknologi yang berkaitan dengan penularan dan penyebaran maklumat dalam bentuk cahaya (foton), yang mana foton tersebut akan merentasi sepanjang kabel kaca atau gentian. Gentian optik sering digunakan untuk rangkaian data yang memerlukan prestasi tinggi dan dalam jarak jauh. Teknologi ini popular diaplikasikan dalam jaringan internet, televisyen dan telefon. Selain itu, gentian optik juga boleh didapati penggunaannya dalam perubatan dan industri. Dalam sistem komunikasi, gentian optik mempunyai banyak kebaikan berbanding kabel tembaga yang sering digunakan selama ini. Hal ini kerana gentian optik mempunyai lebar jalur yang lebih besar dan mampu menyampaikan data dengan lebih cepat.

Terdapat banyak helaian gentian kaca di dalam sesebuah gentian optik. Bahagian gentian kaca yang dikenali sebagai teras akan dibaluti dengan pelapisan (cladding). Penimbal (buffer) pula akan membaluti atau melindungi pelapisan manakala jaket bertindak sebagai perlindungan terakhir untuk gentian optik tersebut.

Kabel gentian optik. Sumber: etherealmind.com

Gentian optik berfungsi dengan menyampaikan data dalam bentuk cahaya (foton) menerusi kabel gentian optik. Teras gentian optik dan pelapisan (cladding) masing-masing mempunyai indeks biasan yang berlainan. Ini menyebabkan foton yang melalui kabel terbias dalam sudut tertentu. Terjadinya pantulan di dalam teras dan pelapisan secara zig-zag apabila foton melalui kabel gentian optik. Fenomena ini dipanggil sebagai jumlah pantulan dalaman.

Pantulan dalam kabel gentian optik. Sumber: user.eng.umd.edu

Gentian optik digunakan secara meluas di seluruh dunia. Gentian optik boleh diaplikasikan sebagai pengesan dan digunakan dalam kapal terbang. Sifatnya yang ringan, rintang terhadap gangguan elektromagnet, kebal terhadap kakisan dan mampu berfungsi dalam suhu tinggi menyebabkan pengesan gentian optik digunakan di dalam kapal terbang. Dalam kapal terbang, pengesan gentian optik digunakan untuk mengesan keadaan enjin, memantau gear pendaratan dan mengesan tekanan minyak kapal terbang. Pengesan gentian optik akan memantau keadaan enjin dan menghantar data kepada juruterbang. Bukan sahaja keadaan enjin tetapi tekanan dan suhu kipas serta prestasi turbin juga akan dihantar kepada juruterbang.

Dalam bidang perubatan pula, gentian optik digunakan untuk melihat organ atau keadaan dalam tubuh badan tanpa perlu melakukan pembedahan. Pakar perubatan menggunakan endoskop untuk melihat keadaan dalam badan pesakit. Endoskop tersebut mempunyai dua bahagian iaitu cincin luar dan dalam. Cincin luar akan memancar cahaya manakala cincin dalam akan menyampaikan data dalam bentuk imej kepada pakar perubatan. Selain itu, endoskop juga digunakan untuk memeriksa keadaan lutut, bahu atau sendi-sendi yang lain. Terdapat juga model lain yang menggunakan gentian optik untuk menghentikan pendarahan dan membakar sel tisu berpenyakit.

Gentian optik yang digunakan dalam perubatan. Sumber: www.lightguides.com

Kesimpulannya, gentian optik adalah teknologi yang berkemampuan dalam memudahkan urusan sama ada dalam bidang telekomunikasi, perubatan dan industri. Seiring dengan pembangunan, tidak dinafikan pada masa akan datang, gentian optik akan menjadi pilihan utama dalam kaedah penghantaran maklumat.

RUJUKAN

  • Addanki, S., Amiri, I. S., & Yupapin, P. (2018). Review of optical fibers-introduction and applications in fiber lasers. Results in Physics, 10(June), 743–750. https://doi.org/10.1016/j.rinp.2018.07.028
  • Yu, H., Li, P., Zhang, L., Zhu, Y., Ahmad Al-Zahrani, F., & Ahmed, K. (2020). Application of optical fiber nanotechnology in power communication transmission. Alexandria Engineering Journal, 59(6), 5019–5030. https://doi.org/10.1016/j.aej.2020.09.025
  • Jennifer English. Search Networking. Tech Target. (2021) – 23/3/2021 https://searchnetworking.techtarget.com/definition/fiber-optics-optical-fiber

Disunting oleh Izzati Rosli

MENGENAI PENGARANG

Nur Sakinah Mahazir
Siti Amira Othman

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

10 − 1 =