Sejak kebelakangan ini, banyak jenama produk kosmetik muncul dalam pasaran ekoran daripada permintaan yang meningkat daripada pengguna. Namun, terdapat beberapa jenama yang dikesan mengandungi bahan terlarang. Misalnya, pada 10 Mac 2021, Ketua Pengarah Kesihatan melalui satu kenyataan akhbar memaklumkan bahawa terdapat sejenis produk didapati dicampurkan dengan betamethasone 17-valerat (betamethasone 17-valerate) dan raksa (mercury).
Situasi ini menunjukkan kepentingan bagi orang ramai memahami mekanisme kawalan produk kosmetik di Malaysia. Kesedaran dan pengetahuan tentang perkara ini dapat membantu pengguna mengenal pasti produk kosmetik yang selamat dan berkualiti.
Fahami maksud produk kosmetik
Menurut Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik (PKDK) 1984, produk kosmetik ialah sebarang sediaan yang digunakan pada bahagian luaran tubuh manusia sahaja. Sediaan ini mempunyai tujuan utama penggunaannya yang hanya terhad kepada membersih, mewangi, mengubah penampilan, mengatasi bau badan, melindungi atau menjaga bahagian tersebut dalam keadaan baik.
Antara produk yang dikelaskan sebagai produk kosmetik termasuklah produk sanitasi tangan, pembersih dan pelembap muka, sabun mandi, syampu, gincu, minyak wangi, losyen, dan produk penjagaan gigi.

Gambar menunjukkan contoh produk kosmetik yang biasa didapati di pasaran. Sumber: PSP
Kawalan produk kosmetik di Malaysia
Semua produk kosmetik perlu bernotifikasi dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebelum boleh dikilang, diimport atau dijual di Malaysia. Perkara ini dinyatakan PKDK 1984. Notifikasi produk kosmetik ialah suatu pengisytiharan oleh syarikat pemegang notifikasi untuk patuh kepada peraturan, keperluan dan garis panduan yang ditetapkan untuk produk kosmetik. Notifikasi produk kosmetik adalah penting dalam memastikan keselamatan dan kualiti produk tersebut.
Sebelum sesuatu produk kosmetik dinotifikasi, premis yang mengilangkan produk tersebut perlu dipastikan memenuhi keperluan Amalan Perkilangan Baik (Good Manufacturing Practice, GMP) terlebih dahulu. Seterusnya, produk kosmetik tersebut akan dinilai sebelum dibenarkan untuk dinotifikasi dan diberikan nombor notifikasi. Produk kosmetik bernotifikasi juga dipantau secara berterusan melalui Program Pengawasan Mutu Produk Kosmetik Bernotifikasi.
Baca bahagian 2 di sini.
Rujukan
- Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984
- Guidelines for Control of Cosmetic Products in Malaysia 2017 (1)
- Guidelines for Control of Cosmetic Products in Malaysia 2017 (2)
- Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan; Produk Kosmetik yang Dikesan Mengandungi Racun Berjadual (10 Mac 2021)
Disunting oleh Mira Ashikin
MENGENAI PENGARANG
Beliau memiliki Sarjana Muda, Sarjana dalam Ijazah Sarjana Muda Farmasi, Ijazah Sarjana Penguatkuasaan Undang-undang. Kini, beliau berkerja sebagai Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
One thought on “Pilih Kosmetik Bernotifikasi (Bahagian 1)”