Pembelajaran Maya: Cabaran Buat Ibu Bapa (Bahagian 2)

Baca bahagian 1 di sini.

Pembahagian masa yang tidak seimbang oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka dalam pendidikan akan mempengaruhi mereka dari segi kesihatan fizikal dan mental. Perkara ini telah menimbulkan tekanan dan keletihan dalam diri ibu bapa. Sedar atau tidak, masalah ini akan memberi kesan secara tidak langsung kepada prestasi kerja mereka dan menyebabkan mereka dimarahi oleh majikan mereka atau lebih teruk, dibuang kerja.

Setiap hari ibu bapa diberi tekanan oleh guru-guru untuk memastikan anak-anak mereka mengikuti kelas PdPR dalam talian yang ditetapkan tanpa mengambil berat masalah atau isu yang dihadapi oleh ibu bapa. Kesannya, mereka berkemungkinan besar akan membuat keputusan untuk berputus asa dalam mengawasi anak-anak mereka malah membiarkan mereka bebas sama ada ingin mengikuti kelas tersebut atau tidak. Sering kita lihat pada zaman ekonomi yang pincang ini, ramai ibu bapa terutamanya yang tinggal di luar bandar menghalang anak-anak mereka untuk menceburi bidang pendidikan dan menyuruh mereka mencari pekerjaan pada waktu muda agar dapat membantu menampung kehidupan keluarga.

Sebagaimana yang telah diketahui umum, kaedah PdPR dalam talian yang bermula dari tahun 2020 telah banyak mempengaruhi ibu bapa sehingga hari ini misalnya seorang ibu dari mykmu.net menyatakan bahawa beliau sudah mencapai satu tahap keletihan yang melampau dari segi fizikal, emosi dan mental yang disebabkan oleh tekanan yang terkumpul sehinggakan beliau sudah tidak sanggup lagi untuk mengikuti perkembangan sistem pembelajaran anak beliau seperti ini.

Namun demikian, ibu bapa boleh mengatasi masalah ini dengan membuat jadual masa sendiri bagi anak-anak mereka di rumah. Pada waktu yang sama, ibu bapa juga disarankan untuk berbincang dengan guru sekiranya terdapat persoalan dari segi cara pembelajaran atau modul berkaitan yang telah disediakan oleh guru.

Jika dilihat dari sudut yang lain, kaedah PdPR dalam talian telah memberi peluang kepada ibu bapa untuk merapatkan hubungan silaturahim bersama anak-anak di rumah. Hal ini kerana, semenjak pelaksanaan kaedah PdPR dalam talian bermula, ibu bapa telah meluangkan lebih masa bersama anak-anak mereka untuk memastikan anak-anak mereka tidak ketinggalan dengan pembelajaran masing-masing.

Bukan itu sahaja, situasi ini berbeza dengan sebelum berlakunya pandemik COVID-19 yang mana kini, ibu bapa akan bersama dengan anak-anak mereka selama 24 jam. Dalam tempoh masa ini, ibu bapa dapat lebih mengenali sekaligus mengawasi tingkah laku anak-anak mereka itu.

Gambar menunjukkan contoh pelajar yang mengikuti kelas secara maya. Sumber: Berita Harian

Semasa kelas dijalankan, ibu bapa boleh berada di samping anak-anak mereka sebagai pembantu dan pembimbing. Dengan berbuat demikian, ibu bapa bukan sahaja dapat merapatkan hubungan kekeluargaan bersama anak-anak mereka malah mereka dapat melihat kaedah pengajaran yang dijalankan oleh guru-guru yang mengajar anak-anak mereka. Secara tidak langsung, ibu bapa juga dapat lebih mengenali guru-guru tersebut.

Sejak akhir-akhir ini, timbul pula isu yang mana ibu bapa merungut akan risau tentang kemampuan mereka untuk mengajar sendiri anak-anak mereka. Hal ini tercetus apabila ibu bapa tidak mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup dalam subjek pembelajaran anak-anak mereka. Sebagaimana yang kita sedia maklum, bukan semua ibu bapa mempunyai asas dan ciri-ciri sebagai seorang guru. Oleh itu, tidak peliklah sekiranya terdapat segelintir ibu bapa yang meragui kemampuan mereka untuk mendidik anak-anak mereka di rumah.

Melihat kepada situasi ini, ibu bapa sudah boleh menarik nafas lega apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memperkenalkan TV Pendidikan yang dikenali sebagai DidikTV KPM untuk menyelesaikan masalah yang timbul melalui kaedah PdPR dalam talian.

DidikTV menyediakan video pelbagai subjek yang diajar oleh guru-guru yang berpengalaman. Sumber: didik.tv

Menurut Menteri Kanan (Pendidikan), Dr. Mohd. Radzi Md Jidin dalam Utusan Malaysia menyatakan bahawa pihak Kementerian telah mewujudkan semula TV Pendidikan konvensional bagi membantu murid yang tidak mempunyai akses internet atau peranti yang sesuai untuk mengikuti kaedah PdPR dalam talian. Ekoran ini, terdapat ramai ibu bapa yang menyatakan bahawa mereka bersyukur akan wujudnya DidikTV KPM kerana dapat membantu menyelesaikan isu PdPR dalam talian terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.

Dengan ini, pelajar diharap dapat memberi fokus yang lebih tinggi terhadap pembelajaran mereka selain daripada meningkatkan kefahaman mereka. Dengan adanya TV Pendidikan seperti ini juga, semoga segala persoalan atau pembelajaran yang ketinggalan sebelum ini dapat diselesaikan oleh mereka tanpa memerlukan bantuan daripada ibu bapa.

DidikTV KPM ini tidak hanya memberi kelebihan kepada anak-anak namun ia juga dapat memberi ilmu pengetahuan tambahan kepada ibu bapa di samping dapat meluangkan masa bersama dengan menonton program tersebut. Bagi memastikan program ini lebih menarik dan tidak bosan, ibu bapa juga dapat bersama-sama melakukan aktiviti dengan anak-anak mereka seperti salah satu program dalam DidikTV misalnya aktiviti cergas bersama Intan.

Rujukan:

  • https://www.malaysiakini.com/news/520468
  • https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/02/674937/siaran-pertama-didiktv-kpm-esok

Disunting oleh Mira Ashikin

MENGENAI PENGARANG

rohani_law@raudah.usim.edu.my + ARTIKEL TERDAHULU

Rohani Law Binti Abdullah merupakan pelajar sarjana muda perubatan di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan di Universiti Sains Islam Malaysia.

One thought on “Pembelajaran Maya: Cabaran Buat Ibu Bapa (Bahagian 2)”

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

11 − two =