Pembelajaran Maya: Cabaran Buat Ibu Bapa (Bahagian 1)

Sejak akhir-akhir ini, kaedah PdPR (Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah) secara maya telah menjadi suatu keperluan kepada pelajar dan guru di Malaysia terutamanya ketika waktu Malaysia sedang menghadapi pandemik COVID-19. Tanpa disedari, kaedah ini telah mempengaruhi banyak pihak terutamanya ibu bapa. Hal ini kerana ibu bapa secara tidak langsung terpaksa mengambil alih peranan guru untuk mengajar anak-anak mereka di rumah. Justeru, ia telah memberi impak terhadap pembelajaran anak-anak.

Bermula pada Mac 2020, kita telah digemparkan dengan berita pelaksanaan PdPR (Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Menurut KPM, PdPR membawa makna pengajaran dan pembelajaran (PdPR) yang dilaksanakan di rumah, pusat komuniti atau di mana-mana lokasi atau tempat yang bersesuaian dengan keadaan. PdPR boleh dilaksanakan sama ada dalam bentuk talian, luar talian atau di kawasan luar rumah dengan lebih berstruktur dan terancang seperti taman dan perpustakaan.

Berita ini telah memberi tamparan yang besar kepada semua pihak terutamanya ibu bapa yang perlu mengadaptasi situasi ini tanpa diberikan latihan khas oleh pihak berkuasa melainkan manual bertulis. Berbeza pula dengan guru, walaupun mereka juga tertekan dengan hal ini, pihak kementerian pendidikan telah menyediakan garis panduan khas kepada mereka untuk berhadapan dengan keadaan ini misalnya mengadakan mesyuarat dan sebagainya. Tanpa kita sedari, ramai ibu bapa yang terkesan dengan PdPR atas talian ini. Sebagai rakyat yang prihatin, kita perlu mengambil berat dan mengamalkan sikap empati tentang golongan ibu bapa yang telah banyak berkorban untuk anak-anak. Hal ini kerana mereka juga merupakan manusia yang mempunyai keterbatasan sendiri.

Kaedah PdPR atas talian telah banyak memberi kesan dan mempengaruhi semua golongan di Malaysia terutamanya golongan ibu bapa. Kebanyakan ibu bapa di Malaysia merupakan golongan B40. Sebagaimana yang dipaparkan di kaca televisyen, ramai di antara mereka yang terjejas dari segi ekonomi ekoran pandemik, antaranya seperti dibuang kerja jualan merosot para penjaja dan pelbagai lagi. Hal ini justeru telah menyebabkan ibu bapa yang terdiri golongan B40 berdepan dengan masalah untuk menyediakan kemudahan yang cukup seperti telefon bimbit dan komputer riba yang menjadi peranti utama dalam kaedah PdPR atas talian. Bukan sahaja kemudahan yang tidak mencukupi kepada golongan B40 di bandar, malah golongan B40 luar bandar terutamanya menghadapi masalah untuk menyediakan data internet dan kredit telefon bimbit yang cukup selain daripada masalah kelajuan internet.

Seperti yang diketahui umum, medium yang digunakan dalam kaedah PdPR atas talian seperti Zoom, Google Classroom, Microsoft Teams dan sebagainya memerlukan data internet yang banyak dan ini secara tidak langsung memerlukan kos yang tinggi untuk membiayainya. Kesannya, terdapat ramai golongan ibu bapa yang mengeluh kerana mereka tidak mampu untuk membiayainya hampir setiap hari. Sebagaimana yang telah diterbitkan dalam artikel Shakira Buang dan Annabelle Lee pada  14 April 2020 di malaysiakini.com, terdapat keluhan daripada suri rumah yang bernama Jumiati Ilyas, 42 tahun yang menceritakan nasib beliau dan keluarga sepanjang PdPR atas talian bermula. Beliau yang sebelum ini merupakan ibu yang hanya memfokuskan keperluan asas anak-anak dan penjimatan, sekarang perlu berusaha berlipat kali ganda bagi memenuhi kedua-dua keperluan keluarga dan pendidikan anak-anak yang mana mereka tidak mampu. Pada waktu yang sama, kaedah PdPR atas talian ini memerlukan perhatian dan fokus yang lebih daripada ibu bapa dalam memastikan anak-anak konsisten menghadiri kelas tanpa sebarang isu.

Sehubungan dengan itu, terdapat segelintir ibu bapa yang perlu mengorbankan waktu bekerja mereka dari rumah. Sebagai contoh, golongan suri rumah tidak mempunyai masa untuk diri sendiri demi anak mereka. Ada juga ibu bapa yang terpaksa menganjak mesyuarat yang telah ditetapkan ke tarikh yang lain. Tidak cukup dengan itu, fikirkan pula bagaimana dengan ibu bapa yang daripada golongan petugas hadapan seperti jururawat, doktor, polis dan lain-lain? Sebagaimana Nadirah, R, 36 tahun dalam artikel Shakira Buang & Annabelle Lee, 2020 di malaysiakini.com menyatakan bahawa beliau terpaksa membahagikan tugasnya antara kerja rumah, kerja pejabat dan pada waktu yang sama membantu anak-anaknya dalam kerja sekolah mereka. Beliau juga menyatakan bahawa mustahil baginya untuk membuat pembahagian masa apabila semua tugasnya bertembung pada waktu yang sama.

Baca bahagian 2 di sini.

Rujukan

Disunting oleh Izzati Rosli

 

MENGENAI PENGARANG

rohani_law@raudah.usim.edu.my + ARTIKEL TERDAHULU

Rohani Law Binti Abdullah merupakan pelajar sarjana muda perubatan di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan di Universiti Sains Islam Malaysia.

One thought on “Pembelajaran Maya: Cabaran Buat Ibu Bapa (Bahagian 1)”

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

9 − 6 =