Dasawarsa ini, seiring dengan fasa pandemik yang melanda seluruh dunia, pengurusan emosi yang baik merupakan suatu perkara yang sering dititikberatkan dalam memastikan kesejahteraan mental masyarakat secara umumnya. Menurut Dr. Alizi Alias seorang pakar psikologi, positiviti toksik merujuk kepada anggapan bahawa kehidupan yang baik hanya berfokus kepada emosi yang positif dan menolak perkara yang mencetuskan emosi negatif. Sebelum ini, istilah positiviti toksik kurang mendapat perhatian umum kerana masyarakat menganggap positiviti ini adalah segala-galanya. Walhal tanpa kita sedari, positiviti yang melampau atau berlebihan boleh membawa mudarat kepada diri sendiri dan orang sekeliling seterusnya memberi impak kepada kesihatan mental seseorang. Justeru, apakah kesan isu ini terhadap kehidupan?
Seringkali kita dengar tentang kepentingan memupuk sifat sentiasa berfikiran positif. Namun begitu, terdapat batasan untuk sentiasa mengekalkan positiviti dalam setiap perkara yang dialami. Hal ini demikian kerana positif yang melampau boleh menyebabkan seseorang itu semakin terbeban dengan masalah yang dihadapinya. Secara fitrahnya, perasaan sedih dan kecewa bukanlah sesuatu perkara yang melawan fitrah alami dan setiap perasaan ini haruslah diuruskan dengan baik. Menguruskan sesuatu masalah dengan hanya berfikiran positif tidak memberi sebarang resolusi yang boleh memberi petunjuk ke arah pembaikan masalah. Sebagai contoh, seorang lelaki yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID19 ini dan seorang rakannya yang tidak terjejas pendapatan datang dan memberi nasihat kepadanya dengan mengatakan, “Ini perkara biasa, ramai lagi orang yang susah daripada engkau”. Berdasarkan nasihat ini, dapat dilihat bahawa nasihat rakannya itu adalah bertujuan untuk memberi suntikan positif kepadanya. Namun, tiada empati yang ditunjukkan dalam nasihat ini dan perkara ini boleh dikatakan sebagai salah satu ucapan positiviti toksik. Kadang kala, kata-kata ini adalah nasihat yang spontan yang kita ucapkan kepada rakan-rakan kita tanpa kita sedari yang membawa makna positiviti toksik. Maka, amatlah penting untuk kita memilih ayat dan susun atur perkataan yang betul dalam memberi nasihat.
Selain itu, impak positiviti toksik ini juga boleh menyebabkan seseorang itu mengambil enteng tentang perasaan orang lain. Hal ini demikian kerana apabila seseorang itu mempunyai pandangan bahawa semua perkara perlu diatasi dengan bersifat positif, ini menjadikan dia seorang yang tidak meraikan perasaan sedih yang dialami oleh orang lain. Perkara ini kelihatan seperti sesuatu yang sangat kecil jika dilihat dari sudut pandang orang yang memberi nasihat itu. Namun, jika difikirkan pula dari sudut yang lain, setiap orang yang mempunyai masalah yang sangat memerlukan sokongan dan dorongan orang yang mereka percayai dan kita sebagai seorang yang mendengar masalah ini seharusnya turut merasai dan memahami kedukaan yang dialami. Dalam erti kata yang mudah, kita akan lebih selesa apabila orang yang kita meluahkan kesedihan itu turut memahami perasaan seperti apa yang kita rasai. Bak kata pepatah, cubit paha kanan, paha kiri pun terasa juga.
Seterusnya, positiviti toksik juga akan menyebabkan seseorang itu melarikan diri daripada masalah yang dialaminya. Masalah merupakan ujian kepada setiap orang yang dilahirkan di dunia ini. Setiap orang pasti mempunyai masalah tersendiri. Maka ,melarikan diri daripada masalah bukanlah suatu tindakan yang bijak untuk menyelesaikan masalah kerana masalah yang sama akan berulang jika kita tidak mempelajari cara untuk menghadapinya. Daripada perspektif lain pula, masalah dan kesilapan yang kita lakukan merupakan guru terbaik untuk mengajar kita menjadi lebih baik. Oleh itu, positiviti seharusnya menjadikan seseorang itu berfikiran matang dalam menguruskan masalah, bukannya dengan berfikiran terlampau positif kemudian melarikan diri daripada sebarang penyelesaian. Tuntasnya, berpada-padalah dalam meletakkan diri kita dengan sifat positiviti ketika menghadapi masalah.
Positiviti toksik bukanlah suatu perkara yang boleh diambil mudah walaupun kelihatan kecil. Kesedaran masyarakat tentang prinsip sebegini haruslah ditingkatkan demi melahirkan masyarakat yang harmoni dan sihat terutamanya dari segi kesihatan mental. Cuba bayangkan, jika ada sepuluh orang yang mempunyai prinsip positif yang melampau ini dalam kumpulan kita? Nescaya kita akan terus melarikan diri daripada mereka kerana wujudnya jurang ketidakselesaan di antara kita. Intihanya, sifat positif itu boleh namun ada hadnya!
Disunting oleh Mustaqim Azman
MENGENAI PENGARANG
Nur 'Afifah binti Mohamad Asri merupakan seorang pelajar sarjana muda perubatan di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan di Universiti Sains Islam Malaysia