Antonov An-225 Mriya: Pesawat Paling ‘Gemuk’ di Dunia

Umum mengetahui, pesawat ialah sejenis pengangkutan udara yang memudahkan urusan manusia. Tidak kira sama ada pesawat itu membawa penumpang mahupun barangan kargo, semestinya kita pasti terpegun melihat ia terbang di awan biru. Saiz dan reka bentuknya yang pelbagai menambah lagi keunikan sesebuah pesawat. Namun begitu, tahukah anda terdapat satu pesawat yang terberat dan terbesar di dunia? Adakah ia Airbus A380-800 atau Boeing 747-8? Tidak, yang kami maksudkan ialah Antonov An-225 Mriya, iaitu pesawat yang paling “gemuk” di dunia, dan hanya terdapat satu unit sahaja di dunia.

Antonov An-225 Mriya dimiliki dan direka oleh sebuah syarikat daripada Ukraine, Antonov Design Bureau (ADB) dan digunakan sendiri oleh Antonov Airlines untuk pengangkutan kargo. Dimulakan pembuatannya seawal sekitar 1980-an, An-225 Mriya akhirnya diterbangkan buat pertama kalinya pada Disember 1988. Walaupun usianya telah menjangkau 32 tahun, namun perkhidmatannya masih digunakan sehingga ke hari ini. Pelbagai jenis jentera dan mesin berat telah dibawa, antaranya helikopter, badan pesawat, gerabak keretapi serta pengangkutan ketenteraan seperti kereta kebal dan lori perisai. Sebagai rekod, pada 11 Ogos 2009, ia pernah membawa barangan kargo yang terberat di dunia, iaitu penjana kuasa gas seberat 189 tan di Armenia. Ketika pandemik Covid-19 baru-baru ini, pesawat ini telah digunakan untuk membawa peralatan perubatan daripada China ke seluruh pelusuk dunia. Dalam keadaan minyak yang penuh, ia mampu terbang sehingga 15,400 km. Satu fakta menarik: An-225 Mriya pernah mendarat beberapa kali di bumi Malaysia, iaitu pada tahun 2007, 2016 dan kali terakhir pada tahun 2018 di KLIA bagi tujuan transit dan mengisi minyak sebelum berlepas ke destinasi utama.

Pesawat Antonov An-225 Mriya mendarat di KLIA pada tahun 2018.  Sumber:  BERNAMA (2018) 

Sebuah gerabak tren sedang dibawa masuk ke dalam An-225 Mriya untuk perkhidmatan kargo.  Sumber: https://www.aerotime.aero/

Dari segi kelengkapan mendarat, ia dilengkapi dengan 16 pasang gear pendaratan berjumlah 32 tayar. Selain itu, An-225 Mriya juga dilengkapi oleh enam enjin turbofan (Progress D-18T) dengan berat berlepas maksimum (maximum takeoff weight) sebanyak 640,000 kg atau 640 tan untuk menerbangkan 285,000 kg atau 285 tan badannya yang diketahui paling berat di dunia buat masa kini. Sekiranya perbandingan dengan kereta terkenal negara, Proton X70 seberat 1700 kg atau 1.7 tan dibuat, hampir 168 buah kereta Proton X70 diperlukan bagi menyamai berat sebuah pesawat An-225 Mriya tanpa muatan kargo.

Berat An-225 Mriya hampir 168 kali lebih berat berbanding Proton X70 dan ini adalah berat  tanpa muatan kargo. 

Seterusnya, An-225 Mriya juga bukan sahaja memegang rekod sebagai pesawat terberat, tetapi juga ia memegang rekod sebagai pesawat yang mempunyai lebar sayap (wingspan) yang terlebar di dunia. Untuk pengetahuan anda, lebar sayap An-225 ialah sepanjang 88.4 meter. Justeru, lebar sayapnya hanyalah kurang 11.6 meter daripada panjang trek 100 meter di Stadium Nasional Bukit Jalil. Anda bayangkan trek 100 meter tersebut, dan bayangkan pula lebar sayap pesawat An-225 Mriya. Sungguh lebar bukan? Umpama sebuah stadium yang sedang terbang!

Antonov An-225 Mriya bersama dengan pesawat komersial yang lain. Kita boleh lihat betapa besarnya pesawat ini! Sumber:  https://images.says.com/

Tidak lupa juga, An-225 Mriya dilengkapi dengan teknologi canggih, yang mana ia mempunyai kokpit digital secara keseluruhan, sistem navigasi dan kawalan penerbangan automatik. Di dalam satu penerbangan, pesawat ini membawa enam kru penerbangan termasuk seorang juruterbang, pembantu juruterbang, operator radio, operator navigasi dan dua orang jurutera penerbangan. Selain itu juga, panjang bagi pesawat gergasi ini ialah berukuran 84 meter, iaitu hampir sama panjang dengan padang bola sepak dan memiliki ketinggian 18.1 meter, bersamaan dengan hampir tiga kali ketinggian zirafah dewasa.

Perbandingan antara ketinggian An-225 Mriya dan juga zirafah dewasa.

Begitulah sedikit sebanyak fakta menarik bagi pesawat gergasi yang unik ini. Sesungguhnya, teknologi kejuruteraan yang dimiliki oleh pesawat ini amatlah tinggi dan mampu diaplikasikan serta diteruskan untuk kegunaan pada masa akan datang. Sudah semestinya, kemahiran seperti aplikasi kejuruteraan aeroangkasa, aeronautika, elektrik, elektronik, fizik dan ilmu berkaitan sangat diperlukan dalam sesebuah penciptaan pesawat yang canggih seperti ini.

Lihat video ini: https://www.youtube.com/watch?v=Ix2thCAHi2U

Rujukan:

 

Disunting oleh Izzati Rosli

MENGENAI PENGARANG

Muhammad Safwan Zaini memperoleh ijazah sarjana dari Universiti Putra Malaysia dalam bidang nanosains dan nanoteknologi. Kini, beliau sedang melanjutkan pengajian doktor falsafah dalam bidang fizik.

Dr. Mazliana Ahmad Kamarudin merupakan pensyarah kanan di Jabatan Fizik, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia. Beliau memperoleh doktor falsafah dalam bidang fizik dari Lancaster University, United Kingdom. Lapangan bidang kajian beliau menjurus kepada bidang fizik dan nanosains.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

nineteen − two =