Sel: Permulaan Suatu Perjalanan

Semua organisma di Bumi terdiri daripada sel. Dalam hierarki organisasi biologi, sel merupakan unit terkecil bagi hidupan. Sel boleh membiak, makan dan memberi reaksi kepada persekitaran; sama seperti sesuatu hidupan. Kebanyakan sel mempunyai diameter antara 1 sehingga 100 mikrometer dan mampu dilihat menggunakan mikroskop cahaya. Organisma yang ringkas seperti ameba dan paramesium tergolong dalam organisma unisel (organisma yang mempunyai satu sel sahaja), manakala, organisma yang lebih besar dan lebih kompleks seperti manusia tergolong dalam organisma multisel (organisma yang terdiri daripada gabungan banyak jenis sel).

Ilustrasi menunjukkan hierarki organisasi biologi. Sumber: simply.science

Setiap sel mempunyai 5 komponen asas iaitu membran plasma, sitosol, sitoplasma, ribosom dan maklumat genetik dalam bentuk DNA atau RNA. Jadi, huraian ringkas bagi 5 komponen asas sel adalah seperti berikut:

  1. Membran plasma: Lapisan paling luar sel. Bertindak mengawal pergerakan keluar masuk bahan ke dalam sel dan memisahkan bahagian dalam sel dengan persekitaran luar.
  1. Sitosol: Cecair yang terdapat dalam sel. Medium seperti jeli ini mengandungi bahan organik (protein, lipid dan karbohidrat) serta bahan bukan organik seperti ion. Ia juga bertindak sebagai medium bagi tindakbalas biokimia.
  1. Sitoplasma: Sitosol beserta komponen sel yang lain kecuali nukleus.
  1. Ribosom: Pusat penghasilan protein dalam sel. Ribosom terdapat di jalinan endoplasma kasar atau bebas di sitoplasma.
  1. DNA atau RNA: DNA atau asid deoksiribonukleik terdiri daripada dua rantai polinukleotida yang berpilin antara satu sama lain membentuk struktur heliks berganda. Manakala, RNA atau asid ribonukleik terdiri daripada satu struktur polinukleotida. DNA dan RNA mengandungi maklumat genetik sesuatu sel. Maklumat genetik ini digunakan oleh sel untuk tujuan pembiakan dan tumbesaran sel.

Gambar menunjukkan perbezaan struktur DNA dan RNA. Sumber: BioNinja

Lima komponen sahaja tidak mencukupi bagi suatu sel menjalankan tugasnya dengan baik. Komponen lain seperti mitokondria dan kloroplas yang terdapat dalam sesetengah sel memberikan keupayaan kepada sel untuk menjalankan tugas dengan efisien. Komponen ini berbeza bagi sel haiwan dan sel tumbuhan.

Rujukan

Disunting oleh Mira Ashikin

MENGENAI PENGARANG

Beliau memiliki sijil diploma dalam pendidikan sains dan kini sedang mengikuti pengajian ijazah sarjana muda.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

14 + fifteen =