Kehidupan di Angkasa Lepas: Munasabah atau Mehnah?

“Gemuruh jiwa semangat membara,
Dari puncak ingin ke angkasa~”

Lagu Gemuruh nyanyian Faizal Tahir terngiang-ngiang di telinga penulis apabila perkataan angkasa disebut. Sempena Minggu Angkasa Sedunia yang berlangsung dari 4 Oktober 2020 sehingga 10 Oktober 2020, penulis terpanggil untuk menelaah serba sedikit tentang ciptaan Tuhan yang sangat hebat ini. Kajian tentang angkasa lepas telah bermula sejak tahun 1957 [1] (ya, tahun kemerdekaan Malaysia tercinta 😊).

Pada tahun tersebut, Kesatuan Republik Sosialis Soviet (Union of Soviet Socialist Republic) telah melancarkan satelit pertama ke angkasa lepas, iaitu Sputnik 1 [1]. Tidak lama kemudian, Leftenan Yuri Gagarin yang berasal dari Rusia, menjadi manusia pertama mengelilingi bumi dalam Vostok 1, pada 12 April 1961 [1]. Perjalanan beliau mengambil masa selama 1 jam 48 minit, dan Gagarin telah mencapai altitud setinggi 327 kilometer [1]. Hal ini mencetuskan persoalan, bagaimanakah badan manusia bertindak balas di angkasa?

Pihak Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika, atau singkatan bahasa Inggerisnya NASA, telah membahagikan jenis-jenis risiko yang dihadapi seorang angkasawan kepada lima bahagian. Setiap bahagian mempunyai kaitan dengan pemboleh ubah yang dilihat mampu memberi kesan kepada tahap kesihatan fizikal dan mental seseorang individu, iaitu medan graviti, pengurungan atau pengasingan diri, persekitaran tertutup, sinaran angkasa dan jarak dari Bumi.

Nikmat yang Dilupakan

Terdapat tiga medan graviti yang akan anda lalui dalam sesebuah misi ke planet Marikh. Dalam perjalanan menuju ke Marikh yang memakan masa selama enam bulan, berat badan anda akan menjadi 0 Newton berikutan tiada daya tarikan graviti di angkasa lepas. Pada masa inilah, anda tidak perlu berasa sedih apabila makan terlalu banyak kerana anda ibarat tiada berat badan yang perlu dirisaukan 😁. Di atas permukaan Marikh, anda akan melakukan aktiviti harian dalam graviti yang bernilai sepertiga daripada graviti di Bumi, dan apabila anda kembali ke Bumi, anda perlu menyesuaikan diri dengan graviti Bumi, nikmat penting yang jarang kita syukuri dan pandang sebelah mata terhadap kewujudannya.

3 daya graviti yang berlaku dalam misi ke planet Marikh. Sumber: Hak milik penulis.

Meskipun hidup di tanah Marikh dilihat sebagai satu potensi tempat tinggal yang menarik untuk penduduk Bumi, mendarat di planet misteri ini membawa banyak risiko yang perlu diteliti. Secara realitinya, penyesuaian diri terhadap tarikan graviti yang berbeza sebenarnya amat rumit. Adaptasi tersebut akan memberi kesan terhadap koordinasi antara anggota tubuh, homeostasis dan pergerakan tubuh badan.

Jika anda tidak makan dan bersenam dengan kaedah yang betul, anda akan kehilangan kekuatan otot, daya tahan tubuh badan berkurang dan anda akan mengalami kemerosotan fungsi kardiovaskular  (cardiovascular deconditioning). Selain itu, keupayaan jantung anda menjadi semakin lemah, kerana organ di dalam tubuh badan anda tidak perlu menggunakan tenaga untuk terapung apabila anda berada di angkasa. Cecair di dalam tubuh badan juga akan bergerak ke arah kepala lalu menghasilkan tekanan pada mata dan menyebabkan masalah penglihatan.

Kesepian yang  Tiada Bertepi

Berdasarkan kajian, pihak NASA mengambil maklum bahawa masalah pergaulan sesama manusia yang tinggal beramai-ramai di ruang yang kecil dalam waktu yang lama tidak dapat dielakkan. Antara masalah yang mungkin dihadapi akibat daripada pengasingan diri ialah tekanan perasaan, daya fikir menjadi semakin lemah serta kepincangan dalam hubungan sesama manusia. Bukan itu sahaja, anda juga berisiko mengalami kecelaruan corak tidur kerana planet Marikh memiliki lebihan 38 minit setiap hari berbanding Bumi, dan tubuh badan anda perlu menyesuaikan diri dengan waktu di Marikh.

Gambar menunjukkan seorang angkasawan yang keseorangan di ruang angkasa. Sumber: www.bbc.com

Selain itu, kuman boleh bertukar ciri-ciri di angkasa, dan kuman yang tinggal dalam badan anda lebih senang merebak dalam kalangan individu yang tinggal di dalam tempat yang tertutup seperti kapal angkasa. Paras hormon tekanan anda juga akan meningkat dan hal ini menyebabkan penurunan daya tahan sistem imun anda terhadap pelbagai penyakit dan alahan.

Cahaya Pembawa Duka

Di kapal angkasa, angkasawan terdedah kepada sinaran yang kuantitinya sepuluh kali lebih banyak daripada sinaran semulajadi di planet Bumi. Atmosfera yang mengelilingi Bumi mampu melindungi kita daripada bahaya  sinaran angkasa. Namun begitu, tanpa kewujudan atmosfera tersebut di angkasa lepas, kita lebih terdedah kepada sinaran yang mampu meningkatkan risiko kanser. Sinaran angkasa juga boleh merosakkan sistem saraf dan menyebabkan fungsi daya fikir yang terencat, daya pergerakan yang terbatas dan perubahan tingkah laku. Selain itu, individu di angkasa lepas berisiko mengalami loya, muntah-muntah dan kepenatan melampau.

Sinaran di angkasa. Sumber: www.nasa.gov

Jauh dari Kampung Halaman

Secara purata, jarak antara Bumi dan planet Marikh ialah sejauh 140 juta batu. Dengan kelewatan kadar komunikasi antara Bumi dan Marikh selama 20 minit sehala dan kebarangkalian kegagalan alatan untuk berfungsi amatlah tinggi, anda perlu panjang akal dan berdikari bagi menyelesaikan misi dengan jayanya. NASA masih mengkaji kemahiran, tatacara, peralatan dan ubat-ubatan yang diperlukan dalam misi ke Marikh. Sebagai contoh, cecair intravena (Intravenous, IV solution) boleh dihasilkan dengan mencampurkan air suling dan kristal garam untuk menghasilkan air garam biasa (normal saline) yang digunakan untuk tujuan perubatan.

Selain itu, para angkasawan dilatih untuk melakukan imbasan ultrabunyi  bagi mengawal kesihatan tulang dan organ lain. Ramuan makanan juga diubahsuai agar makanan tahan lebih lama dan selamat dimakan di angkasa. Bayangkan anda akan pergi ke sesuatu tempat tanpa ada kemudahan asas selama beberapa tahun, tentunya anda perlu melakukan persiapan yang sangat rapi bagi menghadapi cabaran yang mungkin datang. Begitulah pihak NASA yang sedang melakukan kajian terperinci bagi memastikan keselamatan umat manusia terjamin sekiranya perlu berpindah ke planet Marikh.

Sumber: drparsoncarson.wordpress.com

Kesimpulan

Kesimpulannya, terdapat banyak risiko yang perlu dihadapi dalam isu pemindahan marhaen Bumi ke planet lain di angkasa lepas. Timbang tara yang teliti perlu dilakukan untuk memastikan penghijrahan tersebut membawa kebaikan kepada semua pihak tanpa mendatangkan sebarang mudarat. Para saintis dalam bidang sains angkasa di seluruh dunia sedang berusaha keras untuk merealisasikan gagasan ini. Walaupun kita masih belum ke angkasa, jangan pernah jemu untuk memasang impian hidup setinggi angkasa dan berusahalah dengan gigih untuk mendapatkannya.

Selamat menyambut Hari Angkasa Sedunia dan Selamat Maju Jaya! 😊

Nota pengarang

Artikel ini ialah rumusan ringkas daripada bacaan penulis di laman  Human Body in Space.

Rujukan

Disunting oleh Ismatul Nisak

MENGENAI PENGARANG

aishahamirah119@gmail.com + ARTIKEL TERDAHULU

Pelajar Sarjana Biologi Kanser dan Onkologi di Universiti Putra Malaysia. Bercita-cita menjadi penyelidik berjiwa masyarakat.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

five − 3 =