Bencana ribut tropika Greg yang membadai barat laut Sabah pada tahun 1996 masih menjadi satu igauan ngeri kepada rakyat Malaysia disebabkan hampir keseluruhan negeri tersebut telah terjejas. Banyak nyawa telah terkorban dan mengakibatkan kemusnahan harta benda yang sangat teruk. Meskipun fenomena ini dilihat sangat jarang berlaku, tetapi rakyat Malaysia masih berhati-hati dan terus cakna dengan perubahan cuaca dan keadaan di negara sekeliling.
Malaysia dikatakan agak beruntung kerana kedudukannya yang agak selamat berbanding negara Asia yang lain seperti Jepun, Korea, Filipina, Vietnam, China dan juga Taiwan yang mana Malaysia tidak berada di lingkungan garisan Zon Penumpuan Antara Tropika, ITCZ (Inter Tropical Convergence Zone) yang turut dipercayai adalah kawasan laluan siklon tropika.

Gambaran kedudukan ITCZ daripada imej satelit NASA. Sumber: NASA
Garisan ITCZ yang turut dikenali sebagai doldrum oleh pelaut merupakan lokasi zon angin tenang yang berhampiran dengan khatulistiwa. Lokasi ini adalah hasil pertemuan angin pasat (trade wind) hemisfera utara dan hemisfera selatan. Lokasi garisan ini turut berpotensi untuk terhasilnya cuaca aktif dan atmosfera yang lembap. Garisan ITCZ boleh berubah mengikut kekuatan dan kedudukan.

Ilustrasi perolakan angin yang lemah sekaligus menggambarkan keadaan atmosfera yang kurang lembap. Sumber: sullenderlab.com

Ilustrasi perolakan yang kuat hasil daripada angin penumpuan daripada Hemisfera Utara dan Hemisfera Selatan. Sumber: sullenderlab.com
Perolakan yang kuat turut mempengaruhi keadaan atmosfera yang lembap dan tidak stabil. Angin pasat yang sebelum ni bergerak dari arah timur ke barat (easterlies) diganggu oleh daya Koriolis yang sentiasa bergerak ke kanan di hemisfera utara menyebabkan angin tersebut berpusing lalu bergerak dari arah barat ke timur (westerlies).
Kebanyakan siklon tropika dihasilkan di dalam garisan ITCZ. Secara amnya, garis palung (trough) mempengaruhi corak angin yang menghasilkan cuaca aktif di negara kita seperti ribut petir dan hujan lebat. Kebanyakan angin yang menumpu di sesebuah kawasan menggalakkan pertambahan peratusan udara lembap sekaligus menjadi faktor kepada kewujudan cuaca.
Siklon tropika merupakan sebuah fenomena cuaca yang mana terbentuknya satu pusaran ribut ganas dan mempunyai diameter beberapa ratus kilometer di kawasan perairan tropika. Keadaan yang seolah-olah seperti sistem gegelung yang kuat dan ketat dengan kelompok awan yang melingkar ke luar amat signifikan dengan bentuknya yang terdiri daripada mata, dinding mata dan jalur hujan.

Struktur fizikal siklon tropika. Sumber: astroawani.com
Keadaan pusat tekanan udara yang rendah di kedudukan mata menyebabkan udara panas berputar dengan laju di sekelilingnya dan menghasilkan angin kencang. Lazimnya, angin lebih kencang didapati di kedudukan jalur hujan berbanding kedudukan mata yang tenang. Sekiranyanya siklon itu terkena mana-mana negara waima sekadar ‘ekornya’, impak kerosakan bencana tersebut amat menggusarkan.
Pengelasan siklon tropika adalah mengikut kelajuan angin yang mana sistem yang mencapai kelajuan sehingga 61 kmsj atau kurang, dikenali sebagai lekukan tropika manakala sistem ribut petir yang kuat dan mencapai kelajuan angin sehingga 62-117 kmsj dikenali sebagai ribut tropika. Sistem cuaca tropika yang kuat dan jelas berputar serta mencapai kelajuan maksimum 118 kmsj atau lebih, dikenali sebagai taufan.

Gambaran satelit taufan. Sumber : NASA
Siklon tropika yang turut dirujuk sebagai hurikan, siklon dan taufan diklasifikasikan mengikut tempat asal ribut terbentuk. Kebiasaannya, taufan mula muncul pada awal bulan Mei dan mencapai bilangan maksimum sekitar bulan September.
Rujukan
- Met Malaysia
- https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=doldrum
- https://earthobservatory.nasa.gov/images/703/the-intertropical-convergence-zone
- TROPICAL CYCLONES – Technical Hazard Sheet – Natural Disaster Profiles
- https://meetingorganizer.copernicus.org/EGU2017/EGU2017-16196.pdf
- https://sullenderlab.com/why-it-rains-in-the-itcz/
Disunting oleh Mira Ashikin
One thought on “Siklon Tropika: Gergasi Membadai Dunia”