COVID-19: Perlumbaan Vaksin (Bahagian 1)

Penyakit Koronavirus 2019 (Coronavirus Disease 2019 atau COVID-19) yang dahulunya dikenali sebagai koronavirus baharu 2019 (novel coronavirus 2019, 2019-nCov) merupakan jangkitan saluran pernafasan yang disebabkan oleh virus yang bernama Sindrom Pernafasan Akut Teruk Koronavirus 2 (Severe Acute Respiratory Syndrome Coronavirus 2, SARS-CoV-2). Keparahan COVID-19 ini mendorong Pertubuhan Kesihatan Dunia (World Health Organization, WHO) mengumumkannya sebagai pandemik pada 11 Mac 2020. Pada tanggal 3 September 2020 jam 1.00 p.m. waktu Malaysia, WHO melaporkan sejumlah 245,984 kes jangkitan terbaharu, 25,602,665 kes jangkitan sah, dan 852,758 kematian.

Peta yang merumuskan jumlah jangkitan di negara seluruh dunia pada 3 September 2020. Sumber: covid19.who.int

Kebaharuan virus ini menyebabkan agensi kesihatan seluruh dunia belum mampu untuk menyediakan penawar atau vaksin dalam masa yang terdekat. Kerajaan seluruh dunia mengambil langkah tegas melaksanakan kuarantin wajib bagi individu yang dijangkiti, dan penjarakan fizikal serta sosial pada sebarang aktiviti yang memerlukan tindak balas antara manusia agar kadar jangkitan dapat dikurangkan. Prakarsa dari pelbagai pihak seperti para penyelidik, ahli farmasi, agensi kesihatan telah mewujudkan pelbagai kumpulan dalam satu perlumbaan ke arah menjayakan vaksin bagi mencegah jangkitan COVID-19. Selanjutnya, empat pelopor utama dalam perlumbaan vaksin ini akan diperincikan.

Sputnik V (Rusia)

Nama Sputnik V dipilih sebagai penghormatan kepada kapal pertama yang dilancarkan ke angkasa lepas oleh mendiang Yuri Gagarin. Sputnik V dibangunkan oleh Institut Penyelidikan Gamaleya dengan usahasama Kementerian Pertahanan Rusia.

Vaksin Sputnik V. Sumber: www.france24.com

Vaksin ini dibangunkan berdasarkan vaksin yang lazim untuk virus selsema iaitu adenovirus. Sputnik V dijangka memberi imuniti terhadap SARS-CoV-2 sehingga dua tahun. Individu akan divaksinasi dengan dua dos Sputnik V. Setiap dos mengandungi dua serotaip (serotype) adenovirus manusia, dan setiap serotaip akan membawa antigen-S koronavirus yang akan memasuki sel tubuh manusia dan menghasilkan tindak balas sistem imun. Vaksin jenis ini digelar vaksin vektor tular (viral vector vaccine) yang bermaksud vaksin jenis ini menggunakan virus untuk membawa pengekodan DNA yang diperlukan untuk penghasilan tindak balas imun.

Pada 11 Ogos 2020, Presiden Vladimir Putin mengumumkan Rusia menjadi negara pertama yang memberikan kelulusan peraturan untuk vaksin COVID-19 ini. Namun begitu, Sputnik V masih lagi menjalani percubaan fasa ketiga yang melibatkan ujian vaksin kepada beribu sampel atau individu dalam skala yang besar. WHO juga belum mengkaji hasil ujian klinikal Sputnik V. Perkara ini walau bagaimanapun tidak menghalang negara seperti India dan Brazil untuk bekerjasama dengan Rusia dalam penghasilan Sputnik V.

Fakta menarik: Presiden Vladimir Putin telah pun menjalankan vaksinasi Sputnik V terhadap anaknya.

Baca selanjutnya: COVID-19: Perlumbaan Vaksin (Bahagian 2)

Rujukan

                                                                                                                                                                                                                                      Disunting oleh Johari Talib

MENGENAI PENGARANG

+ ARTIKEL TERDAHULU

Beliau memiliki kelulusan sarjana muda dan sarjana dalam bidang farmasi klinikal serta berafiliasi dengan Management and Science University (MSU).

One thought on “COVID-19: Perlumbaan Vaksin (Bahagian 1)”

  1. Pingback: COVID-19: Perlumbaan Vaksin (Bahagian 2) – Angkasfera
  2. Trackback: COVID-19: Perlumbaan Vaksin (Bahagian 2) – Angkasfera

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

five × 5 =