Brek Cakera Lawan Brek Gelendong

Sistem brek dalam sesebuah kenderaan memainkan peranan yang penting dalam memastikan keselamatan pemandu ketika memandu. Secara khususnya, sistem brek membantu mengurangkan halaju kenderaan dengan mengenakan daya geseran (friction) terhadap tayar kenderaan. Pada kenderaan pacuan empat roda, terdapat dua jenis brek yang dipasang iaitu brek cakera (disc brake) dan brek gelendong (drum brake). Apakah perbezaan antara kedua-dua brek ini? Brek jenis manakah yang lebih cekap? Persoalan – persoalan ini akan dijawab dalam artikel ini.

Brek cakera (disc brake) terdiri daripada tiga komponen utama iaitu pad brek (brake pad), pengepit (caliper) dan cakera rotor (rotor disc). Pad brek akan diletakkan di dalam pengepit, manakala, cakera rotor dipasang pada tayar kereta. Apabila tayar kereta sedang berputar, cakera rotor ini juga akan turut berputar. Apabila injak brek ditekan oleh pemandu, tekanan daripada injak brek akan disampaikan pada pengepit, lalu menekan cakera rotor yang sedang berputar tadi. Pad brek akan bergeser dengan cakera rotor, mengubah tenaga kinetik rotor kepada tenaga haba, seterusnya mengurangkan halaju tayar secara beransur-ansur.

Komponen brek cakera. Sumber: lesschwab.com

Brek gelendong pula mempunyai fungsi yang sama dengan brek cakera, kecuali daripada segi komponen dan bentuk pemasangannya. Brek gelendong mempunyai tiga komponen iaitu gelendong sebagai perumah (housing), omboh (piston) dan pad brek. Tekanan daripada kaki pemandu akan menyebabkan omboh menekan pad brek untuk bergeser dengan gelendong yang berputar, seterusnya mengurangkan halaju tayar yang sedang berpusing.

Komponen brek gelendong. Sumber: akebono-brake.com

Berdasarkan penjelasan di atas, brek cakera dan brek gelendong berbeza dari segi bentuk dan susunan komponennya. Jadi apakah perbezaan dari segi kecekapan kedua-dua brek ini?

Brek cakera mampu menghasilkan daya cengkaman (clamping force) yang lebih tinggi berbanding brek gelendong. Hal ini kerana jika kita lihat pada saiz dan bentuk brek, brek gelendong berbentuk silinder dan biasanya mempunyai diameter yang besar, manakala, bagi brek cakera, jarak antara pad brek dan cakera rotor sangat kecil. Maka, cakera brek hanya memerlukan tekanan yang kecil sahaja daripada kaki pemandu untuk menghasilkan daya cengkaman yang tinggi. Atas sebab itu, brek cakera menjadi pilihan utama untuk dipasang pada kereta lumba atau kereta berhalaju tinggi berbanding brek gelendong.

Tambahan pula, brek gelendong juga berpotensi untuk menakung air apabila kenderaan melalui jalan yang berlopak kerana dipengaruhi oleh faktor bentuknya yang silinder. Air yang bertakung boleh menyebabkan pad brek pada brek gelendong kehilangan keupayaan untuk menghentikan tayar yang sedang berpusing – situasi ini dipanggil sebagai pudar brek (brake fade). Perkara ini tidak terjadi kepada brek cakera yang tidak mempunyai sebarang struktur tertutup.

Dari segi kos, brek gelendong memiliki kelebihan berbanding brek cakera kerana kosnya lebih rendah daripada brek cakera. Atas sebab itu, pada kenderaan yang berharga rendah, brek cakera hanya dipasang pada tayar depan sahaja, manakala, brek gelendong dipasang pada tayar belakang.  Biasanya, bagi kenderaan yang berharga tinggi atau kenderaan mewah, brek cakera dipasang pada keempat-empat tayar.

Disunting oleh Mustaqim Azman

 

MENGENAI PENGARANG

PROFIL | + ARTIKEL TERDAHULU

Hazril Bin Md Isa adalah pelajar Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang kejuruteraan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Mempunyai Ijazah Sarjana Muda dalam Kejuruteraan (Telekomunikasi) dan juga Ijazah Sarjana dalam Kejuruteraan Sains dari Universiti Malaya. Mempunyai minat mendalam pada sistem kecerdasan buatan (artificial inteligence, AI). Tesis terkini beliau di peringkat PhD ialah berkenaan rekabentuk sistem AI dalam brek automatik kenderaan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

5 + three =