Beberapa gua di Perancis menjadi sumber penyelidik dalam menjejaki hidupan purba.

Foto siling Gua Castelbouc di Perancis yang diterokai oleh dua ahli daripada sepasukan penyelidik bagi menjejaki tapak kaki dinosaur. Sumber: sciencenews.org
Demi tapak kaki dinosaur berleher panjang iaitu Sauropod, ahli paleontologi Jean-David Moreau bersama pasukannya terpaksa merangkak melalui laluan bawah tanah sedalam 500 meter dari permukaan bumi. Tapak kaki berkenaan merupakan satu-satunya tapak kaki dinosaur Sauropod yang ditemui di dalam gua, iaitu Gua Castelbouc pada Disember 2015.

Dinosaur spesies Sauropod adalah spesies dinosaur dari kumpulan herbivor. Sumber: sciencemag.org
Sememangnya bukan mudah untuk tiba di kawasan bekas tapak kaki Sauropod ini. Keadaan gua yang gelap, lembap dan sempit adalah cabaran yang besar buat mereka, apatah lagi sambil membawa bersama alatan seperti kamera, lampu dan pengimbas laser. Perjalanan di bawah tanah yang memakan masa hampir 12 jam ini juga berbahaya dan berisiko. Faktor banjir berkala di beberapa kawasan dalam gua tersebut adalah salah satu daripadanya.
Moreau berpengalaman hampir sedekad lebih dalam penyelidikan pemfosilan tapak kaki dinosaur dan tumbuhan di Causses Basin, Perancis. Causses Basin merupakan satu-satunya kawasan di Eropah yang kaya dengan jejak atas tanah dinosaur-dinosaur pada zaman dahulu.
Moreau juga menjadi penyelidik pertama yang mengesan bekas tapak kaki dinosaur di dalam gua batu kapur. Beliau percaya akan ada lebih banyak lagi kesan yang berpotensi untuk dijejaki kerana bekas tapak kaki yang ditinggalkan pada lumpur dan pasir beratus juta tahun dahulu berkemungkinan telah mengeras menjadi batu. Tambahan pula, pendedahan terhadap angin dan hujan yang minimal sudah pasti menjadikan bekas tersebut lebih terpelihara.
Terdahulu, bekas tapak kaki yang terawal ditemui terletak 20 kilometer daripada Castelbouc iaitu di Gua Malaval. Tapak kaki berjari 3 yang mempunyai panjang 30 sentimeter ini dipercayai milik dinosaur karnivor yang berjalan tegak menggunakan kaki belakang kira-kira 200 juta tahun dulu.

Jean-David Moreau sedang memeriksa tapak kaki berjari 3 yang ditinggalkan oleh dinosaur karnivor jutaan tahun dahulu di dalam Gua Malaval yang terletak di selatan Perancis. Sumber: sciencenews.org
Sementara itu, bekas tapak kaki berjari 5 milik dinosaur Sauropod dalam Gua Castelbouc pula berkepanjangan lebih 1.25 meter dan berusia 168 juta tahun. Uniknya, bekas tapak kaki ini berada pada siling gua tersebut yang tingginya adalah 10 meter daripada lantai gua! Persoalannya bagaimana ia boleh berlaku?
Moreau menjelaskan bahawa bekas pada siling gua sebenarnya bukanlah tapak kaki, sebaliknya adalah tapak balas (counterprint).
Dinosaur berjalan pada permukaan tanah liat yang kini telah pun terhakis membentuk gua. Justeru, yang dilihat hanyalah lapisan atas (sedimen yang memenuhi jejak kaki), meninggalkan cetakan terbalik yang tertonjol keluar dari siling gua. Umpama anda mengisi plaster pada bekas tapak kaki anda di dalam lumpur kemudian mencuci lumpur tersebut, lalu yang tinggal adalah cetakan plaster.
– Moreau
Tambahnya lagi, trek tersebut amat penting kerana ia mulai wujud sejak awal zaman Jura (Jurassic) lagi, sehinggalah pertengahan zaman iaitu 200 juta hingga 168 juta tahun yang lalu. Pada waktu tersebut, dinosaur Sauropod dipercayai berada dalam tempoh diversifikasi dan bergerak ke serata dunia. Namun secara relatifnya, penemuan fosil tulangnya adalah sedikit. Moreau mengesahkan hasil cetakan jelas menunjukkan bahawa Sauropod mendiami kawasan pesisir atau tanah lembap di kawasan yang sekarang menjadi selatan Perancis.
Rujukan
- https://www.sciencenews.org/article/caves-france-dinosaur-prints-paleontology
- https://www.sciencemag.org/news/2019/10/sauropods-grew-big-munching-superfoods-sturdy-beaks
Disunting oleh Mira Ashikin
MENGENAI PENGARANG
Beliau merupakan pelajar doktor falsafah (cuaca angkasa) dengan pengkhususan berkaitan sifat dan fenomena di lapisan ionosfera Bumi. Beliau berharap agar portal ini dapat menyumbang kepada perkembangan ilmu cuaca angkasa.