Udara Tercemar Walau di dalam Rumah? Mengapa?

Pencemaran udara sering dikaitkan dengan persekitaran di luar rumah ataupun di tempat kerja. Namun begitu, tahukah anda pencemaran sebenarnya turut berlaku di dalam bangunan? Sama ada di rumah atau di pejabat.

Fikirkan, berapa lamakah masa yang anda luangkan di dalam bangunan? Setiap hari, anda berkemungkinan menghabiskan masa lebih daripada setengah hari di dalam bangunan. Maka, sebenarnya kita tidak boleh menolak kemungkinan bahawa pencemaran di dalam bangunan  boleh berlaku.

Apakah punca berlakunya masalah pencemaran udara di dalam bangunan?  

Pencemaran udara di dalam bangunan boleh berlaku kerana pengudaraan di dalam rumah yang tidak bagus atau kerana bahan-bahan cemar di dalam atau di luar bangunan ataupun kedua-duanya [1].

Terdapat banyak punca yang menyumbang kepada masalah pencemaran udara di dalam rumah seperti yang dijelaskan dalam jadual di bawah.

Punca masalah pencemaran udara di dalam bangunan [1,2] Penjelasan [1,2]
Mencuci rumah dengan bahan pencuci kimia Kandungan bahan pencuci kimia seperti  formaldehid (formaldehyde) boleh mencetus gejala seperti mata berair, batuk, kerengsaan kulit dan loya [3]. Formaldehid juga dikelaskan sebagai karsinogen manusia  (human carcinogenic) oleh Agensi Kajian Barah Antarabangsa (IARC) [4].
Merokok Asap rokok memberi kesan kepada perokok dan orang lain yang juga berada di dalam rumah/bangunan. Antara kesan bahan kimia yang terdapat dalam asap rokok boleh dirujuk di sini.
Kelembapan udara yang berlebihan yang menyebabkan pertumbuhan kulat di dalam bangunan Pertumbuhan kulat di dalam rumah/bangunan boleh menyebabkan masalah pernafasan dan masalah -masalah kesihatan lain [2].
Aktiviti mengawal serangga dengan penggunaan racun perosak (pesticide) Pembebasan bahan kimia berbahaya di udara di dalam rumah yang boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan, sebagai contoh masalah berkaitan dengan sistem saraf [5].
Bahan-bahan yang digunakan semasa membina bangunan Bahan seperti asbestos boleh menyebabkan barah paru-paru dan penyakit mesotelioma (mesothelioma ) [6].
Pencemaran udara daripada luar Seperti asap kenderaan yang mengandungi beberapa bahan kimia seperti sebatian organik yang mudah meruap (volatile organic compound) yang menyebabkan kerengsaan mata, hidung, tekak dan lain-lain gejala [7].
Haiwan kesayangan Kucing membebaskan zarah halus (pet dander) yang merupakan sejenis bahan alergen (allergen) yang memberi kesan kepada kesihatan sistem respirasi [8].


Siapakah golongan yang terkesan dengan pencemaran di dalam bangunan?

Golongan pesakit lelah (asthma) dan yang mempunyai alahan berisiko menghadapi gejala-gejala akibat pendedahan bahan cemar melalui udara [1]. Walau bagaimanapun, sesiapa juga boleh menghadapi gejala-gejala ini.

Gejala-gejala yang dihadapi akibat pencemaran udara di dalam bangunan termasuklah [1]:

  1. Kesukaran bernafas
  2. Bunyi nafas yang berdehit (wheezing)
  3. Batuk
  4. Gatal-gatal mata
  5. Ruam
  6. Pening kepala
  7. Keletihan

Kemation yang berpunca daripada pencemaran di dalam dan di luar bangunan. Terdapat 3.8 juta kematian berpunca daripada penyakit yang disebabkan oleh pencemaran udara di dalam rumah pada setiap tahun [9] Sumber: https://www.who.int

Apakah langkah-langkah untuk mengawal risiko kesan pencemaran udara di dalam bangunan?

  1. Pastikan pengudaraan yang baik di dalam rumah dengan membuka tingkap dan pintu.
  2. Selalu gunakan penyedut hampagas untuk membersihkan habuk.
  3. Selalu memeriksa label bahan kimia (bahan pencuci dan racun perosak) sebelum dibeli.
  4. Menyimpan bahan-bahan kimia di luar rumah.
  5. Memeriksa sekiranya ada masalah air bocor yang menyebabkan pertumbuhan kulat di dalam bangunan.
  6. Menutup tingkap dan pintu sekiranya terdapat punca pencemaran udara di luar bangunan.
  7. Menggunakan pembersih udara yang dilengkapi dengan penapis HEPA (High Efficiency Particulate Air filter).

Rujukan

Disunting oleh Ismatul Nisak

MENGENAI PENGARANG

Dr. Maisarah baru sahaja tamat pengajian Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang Kesihatan Persekitaran dan kini berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Sains Malaysia.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

16 − 10 =