Belantik, Sang Pemburu di Malam Hari

Tahukah anda, sekiranya anda memandang ke arah langit pada malam hari antara bulan November hinggalah ke Februari, terdapat tiga bintang yang cerah dalam kedudukan selari di atas kepala? Dari jutaan bintang yang ada di langit malam, ketiga-tiga bintang inilah yang paling signifikan dan paling menarik perhatian mata kita. Kumpulan bintang ini merupakan sebahagian bintang yang membentuk buruj Belantik.

Foto Buruj Belantik oleh pengarang

Buruj Belantik (Orion) adalah buruj yang terkenal pada malam hari kerana saiz relatifnya yang besar dan mudah dikenal pasti apabila dilihat. Tambahan pula, kedudukan negara kita yang hampir dengan garisan Khatulistiwa menyebabkan kedudukan buruj Belantik betul-betul berada di atas kepala. Dalam istilah astronomi, kedudukan ini disebut sebagai zenit (zenith). Kedudukan zenit ialah satu kedudukan di langit dalam sfera cakerawala (celestial sphere) yang mana satu objek berada betul-betul tepat di atas sang pemerhati.

Nama Orion berasal daripada mitologi Tamadun Yunani. Orion merupakan seorang pemburu yang terkenal. Selepas kematiannya, Zeus menjadikan Orion sebagai buruj yang menghiasi langit malam. Sebenarnya banyak lagi variasi daripada kisah Orion ini, tetapi cukuplah satu untuk diceritakan.

Ilustrasi buruj Belantik dalam perisian Stellarium

Buruj Belantik terdiri daripada tujuh bintang utama yang lebih cerah berbanding bintang-bintang yang lain. Tiga bintang yang bernama Alnitak, Alnilam dan Mintaka membentuk satu garis selari apabila dilihat dari Bumi. Ia boleh dibayangkan sebagai tali pinggang kepada pemburu. Dalam tamadun Melayu, ketiga bintang ini disebut sebagai Bintang Tiga Beradik. Lihat ke bawah sedikit, perhatikan pula tiga bintang yang lebih kecil yang membentuk seakan-akan pedang yang diletakkan di sisi pemburu. Di situlah terletaknya nebula yang terkenal iaitu Nebula Belantik (Orion Nebula). Nebula Belantik ialah nebula yang terdiri daripada kepulan awan debu antaranajam (interstellar dust) dan gas. Nebula ini menjadi tempat kelahiran bintang baharu.

Banyak ciri utama yang membentuk Buruj Belantik.

Foto Nebula Belantik yang diambil menggunakan teleskop berkomputer. Sumber: www.astrobackyard.com

Banyak lagi objek angkasa yang menarik di buruj Belantik. Selain daripada Nebula Belantik, terdapat juga beberapa nebula yang menarik antaranya Nebula Kepala Kuda (Horsehead Nebula) dan Nebula Nyala (Flame Nebula). Ketiga-tiga nebula ini merupakan nebula yang terkenal dan sesuai untuk menjadi objek pengamatan teleskop untuk sesiapa yang baharu menceburi dunia astronomi. Sementara itu, Gelung Barnard (Barnard’s Loop) iaitu nebula pancaran (emission nebula) berupa lingkaran yang mengelilingi buruj Belantik. Nebula ini agak sukar untuk dilihat dengan mata kasar kecuali di tempat yang sangat gelap atau melalui pencerapan astrofotografi. Aktiviti astrofotografi amat menyeronokkan kerana anda dapat melihat objek angkasa yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Bagi pengarang, buruj Belantik amat menarik untuk dilihat di langit malam. Kedudukannya yang terletak di posisi zenit serta saiznya yang besar memberi kelebihan kepada kita untuk melihat buruj ini. Tidak hairanlah jika buruj Belantik menjadi tarikan para peminat astronomi serta jurugambar astrofotografi kerana banyak ciri menarik dalam buruj Belantik. Jika anda baharu melibatkan diri dalam dunia angkasa, buruj Belantik ialah buruj yang wajib diketahui.

Rujukan

Disunting oleh Izzati Rosli

MENGENAI PENGARANG

+ ARTIKEL TERDAHULU

Seorang pelajar jurusan fizik di Universiti Malaya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

20 + eleven =