GPS: Teknologi Percuma Pelbagai Guna

Sebuah pengenalan dan penelusuran sejarah mengenai GPS.

Manusia zaman dahulu memerhatikan bintang-bintang di langit bagi mencari arah. Seiring dengan perkembangan teknologi dunia, manusia kini menggunakan sistem navigasi berasaskan satelit bagi menentukan sesuatu kedudukan pada waktu-waktu tertentu. Era pengaplikasian satelit dalam penentududukan (positioning) bermula apabila Kesatuan Soviet (kini telah dibubarkan) telah membina dan melancarkan satelit pertama di dunia iaitu Sputnik 1.

Susulan daripada pelancaran tersebut, Amerika Syarikat (AS) melalui Tentera Laut AS telah menjalankan eksperimen navigasi satelit berdasarkan kesan Doppler pada pertengahan tahun 1960 untuk mengesan kapal selam AS yang membawa peluru berpandu nuklear. Hasil daripada eksperimen tersebut, lokasi kapal selam berjaya dikesan dalam masa beberapa minit dengan menggunakan enam satelit yang berada pada satah (plane) tersendiri. Melihat kepada kejayaan eksperimen tersebut, Jabatan Pertahanan AS telah membina dan melancarkan satelit sistem navigasi pertama pada tahun 1978. Sebanyak 24 satelit telah dilancarkan sejak itu dan beroperasi sepenuhnya pada tahun 1993 yang dikenali sebagai Sistem Penentududukan Global (Global Positioning System, GPS). Sehingga kini terdapat 32 satelit di ruang angkasa dan dikawal oleh beberapa stesen kawalan GPS di muka Bumi.

Buruj GPS. Sumber: www.gps.gov

Selain daripada GPS yang beroperasi di seluruh dunia, beberapa negara dan kesatuan antarabangsa turut membina dan melancarkan sistem satelit navigasi masing-masing seperti Rusia (GLONASS), China (Beidou), Kesatuan Eropah (GALILEO), India (IRNSS, NaVIC)  dan Jepun (QZSS). Semua sistem satelit ini termasuk GPS dikenali sebagai Sistem Satelit Navigasi Global (Global Navigation Satellite Systems, GNSS) yang memberi kemudahan untuk mendapatkan kedudukan, navigasi dan masa secara global mahupun serantau.

Ilustrasi satelit GPS. Sumber: www.gps.gov

Pada mulanya GPS hanya boleh digunakan oleh pihak tentera, namun selepas tahun 1983, penggunaan isyarat GPS mula dibenarkan untuk orang awam. GPS kini boleh diakses oleh pengguna seluruh dunia secara percuma menggunakan peranti dan peralatan yang menyokong sistem ini. Teknologi GPS turut boleh dicapai menggunakan telefon pintar, mesin teler automatik (ATM), kapal-kapal kontena dan banyak lagi. GPS juga dimanfaatkan bagi tujuan keselamatan yang memudahkan urusan mencari dan menyelamat semasa kemalangan dan bencana alam. Kepelbagaian aplikasi GPS, dan GNSS secara amnya, telah dibuktikan oleh warga dunia sejak pengenalannya lebih 20 tahun lalu. Kini, terpulang kepada kita semua untuk terus meneroka peluang dan potensi yang boleh dikecapi melalui teknologi percuma ini.

Penyelidik di UKM turut menggunakan data dari GPS untuk menjalankan kajian pada lapisan atmosfera atas (upper atmosphere) yang boleh membiaskan isyarat radio.

Rujukan

Disunting oleh Adib Yusof

MENGENAI PENGARANG

Siti Aminah Bahari merupakan pegawai penyelidik di Pusat Sains Angkasa, Institut Perubahan Iklim UKM. Beliau berminat dalam kajian berkenaan sains angkasa, permodelan ionosfera menggunakan data GPS/GNSS dan aplikasi satelit dalam kajian-kajian berkaitan ionosfera di kawasan khatulistiwa. Siti Aminah Bahari juga merupakan peminat BTS.

Beliau merupakan timbalan pengarah Institut Perubahan Iklim UKM. Kepakaran beliau adalah kajian berkenaan sains angkasa, permodelan ionosfera menggunakan data GPS/GNSS dan aplikasi satelit dalam kajian-kajian berkaitan ionosfera di kawasan khatulistiwa.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

7 + three =