Sistem respirasi (respiratory system) ialah suatu siri kejadian yang menyebabkan berlakunya pertukaran oksigen dan karbon dioksida antara atmosfera dan sel-sel tubuh [1]. Respirasi luaran (external respiratory), dikenali juga sebagai pernafasan, melibatkan pertukaran gas antara paru-paru dan darah manakala respirasi dalaman (internal respiratory) merujuk kepada pertukaran gas antara darah dan sel-sel tubuh [1].
Sistem pernafasan ciptaan Tuhan ini begitu sempurna dan teliti dari struktur sebesar trakea iaitu sepanjang lebih 100 mm, sehinggalah komponen sekecil alveolus yang saiz normalnya ialah 0.2 mm [2]. Namun begitu, manusia sering mensia-siakan nikmat bernafas ini. Menurut makalah terbitan Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2019, pada setiap tahun, dianggarkan lebih 27,200 penduduk di Malaysia terbunuh akibat penggunaan tembakau [3].
Pepatah Melayu ada menyebut, kalau tiada angin masakan pokok bergoyang. Oleh itu, untuk meningkatkan kesedaran diri serta ahli masyarakat di sekeliling kita tentang bahaya rokok, eloklah kita menyantuni impak merokok agar kita lebih peka tentang bahaya gulungan kecil yang mampu membunuh ini dan mencegah diri serta orang tersayang daripada mendekatinya.
7,000 bahan kimia berbahaya, 250 bahan toksik, dan sekurang-kurangnya 69 bahan karsinogen terhasil akibat pembakaran tembakau di dalam rokok [4]. Antara bahan beracun yang terhasil daripada pembakaran tembakau yang terdapat dalam segulung rokok ialah karbon monoksida [5]. Apabila seseorang individu itu merokok, karbon monoksida yang terhasil akan disedut seiring dengan oksigen semasa individu tersebut bernafas lalu diserap ke dalam saluran darah [6].
Hemoglobin merupakan molekul dalam sel darah merah yang berperanan membawa oksigen ke seluruh tubuh [7]. Namun begitu, dalam tubuh seseorang yang menyedut asap rokok, karbon monoksida akan bersaing dengan oksigen untuk dibawa oleh hemoglobin [6]. Akibat daripada persaingan ini, sel darah merah tidak mampu untuk membawa oksigen secukupnya kepada sel-sel tubuh [6]. Hal ini memaksa jantung untuk bekerja keras bagi memastikan kesemua sel-sel tubuh badan menerima oksigen secukupnya [6]. Itulah sebabnya kebanyakan perokok mengalami masalah kesukaran bernafas [6]. Bayangkanlah betapa bahayanya karbon monoksida ini, perokok memiliki 10 kali ganda gas beracun ekzos kereta, berbanding individu bukan perokok [8]!
Nikotin yang terdapat dalam tembakau merupakan dalang di sebalik ketagihan seorang perokok [9]. Nikotin juga dikategorikan sebagai dadah perangsang (stimulant drugs) [10] dan merupakan bahan yang beracun kepada sistem saraf [11]. Setiap kali seseorang individu merokok, nikotin memasuki saluran darah dan sampai ke otak dengan lebih cepat berbanding dengan ubat-ubatan lain [9]. Nikotin menyebabkan nadi berdenyut dengan lebih laju [9], jantung berdegup lebih cepat [9], dan salur darah menjadi lebih sempit lalu menyebabkan darah sukar untuk mengalir yang membawa kepada kondisi tekanan darah tinggi [9].
Nikotin mengaktifkan suatu bahagian spesifik di dalam otak yang menghasilkan hormon dopamina yang menjadikan seseorang individu mengalami sensasi keseronokan dalam bentuk kelegaan, relaksasi (relaxation) atau desingan euforia (euphoric buzz) [9]. Perokok akan merasai rasa seronok akibat nikotin ini dalam tempoh masa yang singkat, namun setelah beberapa kali merokok, nikotin akan melemahkan keupayaan perokok untuk merasai sensasi keseronokan [9]. Maka, perokok merasakan perlu merokok lagi untuk mengekalkan tahap sensasi keseronokan itu [9]. Lalu terperangkaplah perokok dalam kitaran berbahaya yang penamatnya mampu membawa maut!
Baru sahaja dua bahan yang diterangkan, fakta saintifik telah jelas membuktikan bahana menghisap gulungan kecil ini. Marilah sama-sama kita terus-menerus meningkatkan kesedaran kita terhadap bahaya merokok sambil menggalakkan orang di sekeliling kita untuk menjauhi aktiviti yang membahayakan diri ini.
Indah laut dilindung awan,
Ayam berkokok ditemani mentari;
Gulungan maut bukan kawan,
Jauhi rokok sayangi diri.
Rujukan
- [1] OpenStax, Anatomy & Physiology. OpenStax CNX. Feb 26, 2016 http://cnx.org/contents/14fb4ad7-39a1-4eee-ab6e-3ef2482e3e22@8.24.
- [2] Ochs, M., Nyengaard, J., Jung, A., Knudsen, L., Voigt, M., Wahlers, T., Richter, J. and Gundersen, H., 2004. The Number of Alveoli in the Human Lung. American Journal of Respiratory and Critical Care Medicine, [online] 169(1), pp.120-124. Available at: <https://www.atsjournals.org/doi/full/10.1164/rccm.200308-1107OC> [Diakses pada 18 Ogos 2020].
- [3] Mohamed, S., Abdullah, F., Mohd Yunan, N., Mazlan, N., Azman, N., Zulkifli, M., Salim, P. and Ab Rashid, M., 2019. Suarakan Hak Anda!. MyHEALTH, [online] (2), pp.10-11. Available at: <http://file:///C:/Users/user/Downloads/e-Mag_Speakout_Edition_2019.pdf> [Diakses pada 18 Ogos 2020].
- [4] National Cancer Institute. 2020. Harms Of Cigarette Smoking And Health Benefits Of Quitting. [online] Available at: <https://www.cancer.gov/about-cancer/causes-prevention/risk/tobacco/cessation-fact-sheet> [Diakses pada 18 Ogos 2020].
- [5] S. Department of Health and Human Services. The Health Consequences of Smoking—50 Years of Progress: A Report of the Surgeon General, 2014. Atlanta, GA: U.S. Department of Health and Human Services, Centers for Disease Control and Prevention, National Center for Chronic Disease Prevention and Health Promotion, Office on Smoking and Health, 2014.
- [6] Zevin, S., Saunders, S., Gourlay, S., Jacob, P. and Benowitz, N., 2020. Cardiovascular effects of carbon monoxide and cigarette smoking. Journal of the American College of Cardiology, [online] 38(6). Available at: <https://www.onlinejacc.org/content/38/6/1633> [Diakses pada 18 Ogos 2020].
- [7] ucsfhealth.org. 2020. Hemoglobin And Functions Of Iron. [online] Available at: <https://www.ucsfhealth.org/education/hemoglobin-and-functions-of-iron> [Diakses pada 18 Ogos 2020].
- [8] Cdc.gov. 2020. CDC – Carbon Monoxide Poisoning – Frequently Asked Questions. [online] Available at: <https://www.cdc.gov/co/faqs.htm> [Diakses pada 18 Ogos 2020].
- [9] Benowitz, N., 2020. Nicotine Addiction. The New England Journal of Medicine, [online] 362(24), pp.2295-2303. Available at: <https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC2928221/> [Diakses pada 18 Ogos 2020].
- [10] aDF.org.au. 2020. Nicotine. [online] Available at: <https://adf.org.au/drug-facts/nicotine/> [Diakses pada 18 Ogos 2020].
- [11] Mishra, A., Chaturvedi, P., Datta, S., Sinukumar, S., Joshi, P. and Garg, A., 2020. Harmful effects of nicotine. Indian Journal of Medical and Paediatric Oncology, [online] 36(1), pp.24-31. Available at: <https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC4363846/> [Diakses pada 18 Ogos 2020].
Disunting oleh Ismatul Nisak
MENGENAI PENGARANG
Pelajar Sarjana Biologi Kanser dan Onkologi di Universiti Putra Malaysia. Bercita-cita menjadi penyelidik berjiwa masyarakat.
2 thoughts on “Awas dengan Gulungan Maut”