Gunung Sinabung yang terletak di utara Sumatra, Indonesia telah meletus pada 10 Ogos 2020 kira-kira jam 11.37 pagi. Letusan abu dan asap dianggarkan mencapai 5 km tingginya dan menuju ke arah timur dan tenggara kawah gunung berapi.
Abu dan asap telah memasuki kawasan udara Malaysia pada malam tersebut terutamanya di utara Selat Melaka dan negeri-negeri di utara serta timur Semenanjung. Walau bagaimanapun, ia dijangka tidak memberi kesan kepada kualiti udara Malaysia. Selain itu, tiada tsunami dan gempa bumi yang dijangka akan berlaku di negara kita akibat letusan tersebut.
Selepas sehari, Jabatan Meteorologi menyatakan awan abu yang disebabkan oleh letusan tersebut sudah tidak lagi memberi kesan kepada Malaysia. Ribut yang berlaku pada pagi hari berikutnya terutama di Melaka juga tidak berkaitan dengan letusan Gunung Sinabung, sebaliknya ia adalah disebabkan oleh Monsun Barat Daya.
Abu hasil daripada letusan gunung berapi mengandungi pelbagai zarah dan gas berbahaya termasuklah karbon dioksida, sulfat, asid hidroklorik dan asid hidroflourik. Penyedutan abu ini memberi kesan negatif terhadap kesihatan manusia, antaranya gejala pernafasan dan rengsaan mata.
Abu gunung berapi boleh tersebar sejauh beribu-ribu kilometer dari sumbernya. Proses sebaran ini bergantung kepada beberapa faktor iaitu ketinggian letusan, saiz dan jumlah abu serta keadaan iklim setempat (kekuatan angin, kelembapan dan sebagainya). Abu yang tersebar mungkin menghalang sinaran Matahari seterusnya menurunkan suhu Bumi selain mengganggu penglihatan. Gangguan penglihatan ini menghalang penerbangan pesawat di ruang udara berdekatan kawasan awan panas iaitu sekitar altitud 1.5 hingga 5 km.
Walaupun tiada kematian atau kecederaan yang direkodkan, penduduk berdekatan masih menerima kesan letusan gunung tersebut. Sebagai contoh, bangunan dan jalan di penempatan di sekitar gunung tersebut sedang diselubungi debu tebal. Malah, ada juga kawasan yang bergelap walaupun pada waktu tengah hari. Tambahan lagi, gunung tersebut juga berpotensi untuk kembali meletus. Oleh itu, mari kita bersama-sama mendoakan kesejahteraan rakyat di sana.
Rujukan
Disunting oleh Johari Talib
MENGENAI PENGARANG
Beliau sedang melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah dalam bidang sains angkasa. Berpendapat bahawa seseorang itu tidak seharusnya berhenti menuntut ilmu, beliau berharap portal ini dapat menginspirasikan masyarakat untuk belajar dan lebih mengenali alam semesta kita.