3 Koperasi Terbaik di Malaysia

Pernahkah anda tertanya-tanya, apakah itu sebenarnya koperasi? Koperasi ditubuhkan untuk meningkatkan usaha dan pengeluaran perniagaan ahli-ahlinya serta menggalakkan pemberian produk atau perkhidmatan yang berkualiti kepada anggota masyarakat. Salah satu kelebihan besar menubuhkan koperasi ialah kesaksamaan yang terlibat dalam pengurusannya. Oleh itu, rancangan perniagaan seperti ini menjadikan koperasi lebih adil dan stabil daripada syarikat biasa. Berikut merupakan tiga koperasi terbaik di Malaysia pada tahun 2019 berdasarkan laporan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Kita mulai dengan senarai koperasi pada kedudukan ketiga iaitu Koperasi NLFCS. Dianggotai seramai 60,926 ahli, Koperasi Permodalan Tanah atau NLFCS adalah antara yang terawal dan terkenal bagi masyarakat India di Malaysia. Kini, mereka memiliki ladang kelapa dan kelapa sawit di seluruh negara dan bertindak sebagai koperasi serba guna. Jumlah pendapatan koperasi ini mencecah RM174.6 juta dengan pengusahaan berasaskan aktiviti pertanian, pembangunan hartanah dan pelaburan. Pada tahun 2019, NLFCS berbesar hati menawarkan skim bagi membantu anggotanya memperolehi rumah mereka sendiri.

Logo NLFCS. Sumber :member.nlfcs.com.my

Manakala di tempat kedua pula ialah Koperasi Angkatan Tentera Malaysia. Dengan keanggotaan seramai 154,933 ahli, mereka memperoleh pendapatan yang memberangsangkan iaitu sebanyak RM342.8 juta. Antara pelaksanaan aktiviti koperasi ini adalah kredit, pelaburan dan Ar-Rahnu Xchange iaitu pajak gadai mengikut syariah Islam. Pada tahun lepas, Koperasi Tentera mengumumkan pulangan dividen sebanyak 10 peratus kepada ahli-ahlinya. Koperasi Tentera juga bermatlamat menjadi sebuah bank koperasi Islam sepenuhnya dan sedang menunggu lampu hijau daripada pihak atasan untuk merealisasikan matlamat ini.

Logo koperasi Ankatan Tentera Malaysia. Sumber: www.katmb.com.my

Koperasi terbaik di negara ini tidak lain dan tidak bukan ialah Bank Kerjasama Rakyat Malaysia. Pada Februari 2020, Datuk Rosman Mohamed dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif setelah mendapat kelulusan daripada Bank Negara. Seperti Koperasi Tentera, Bank Rakyat mengadakan aktiviti kredit, pelaburan dan Ar-Rahnu Xchange. Walau bagaimanapun, keanggotaan mereka jauh lebih ramai iaitu seramai 872 ribu dan pendapatan yang mencapai sehingga RM6.948 bilion. Pada bulan Disember 2019, Bank Rakyat mengadakan projek Protégé dan telah memilih 39 graduan untuk dilatih sebagai perantis penasihat kewangan di dalam industri perbankan.

Logo koperasi Bank Kerjasama Rakyat Malaysia. Sumber: malaysiagazette.com

Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam ucapannya pada Amanat Perdana Menteri Bersama Gerakan Koperasi dan Majlis Countdown Halatuju Koperasi Selepas 100 Tahun, berkata bahawa koperasi dapat memainkan peranan membantu kumpulan B40 memikul kos sara hidup. Beliau juga menasihatkan koperasi untuk pandang ke timur dalam mencontohi pelaksanaan kedai koperasi kampung di Jepun. Dalam blog beliau chedet.cc, Dr. Mahathir bercerita tentang penduduk-penduduk Okinawa yang bekerjasama membina sebuah koperasi bagi memenuhi keperluan asasi mereka. Apabila memerlukan sesuatu dari koperasi, mereka akan menulis nama pada sekeping kertas dan jumlah yang diimbuh akan dibayar pada akhir bulan. Koperasi yang berdaya saing akan dapat meningkatkan kuasa beli rakyat dan mewujudkan wawasan kemakmuran bersama.

Rujukan

  • Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia 2019, Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia 20191–138.

Disunting oleh Mustaqim Azman

MENGENAI PENGARANG

Atiqah Farhanah Aznur mengikuti kursus ijazah sarjana muda dalam penerbitan di UiTM Shah Alam. Beliau menerbitkan sebuah tesis berkenaan stereotaip perkauman dalam kesusasteraan Malaysia. Kini, beliau merupakan pelatih praktikum di Suruhanjaya Koperasi Malaysia. Beliau mempunyai minat mendalam terhadap kemasyarakatan, pemeliharaan alam sekitar dan teknologi.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

20 − 8 =