Perebak Utama – Punca dan Akibat

“Besar kemungkinan ini mungkin satu kluster perebak utama (super spreader) tetapi kita perlu menjalankan kajian teliti. Kita akan kulturkan virus itu di makmal dan lihat kepada jujukan genom virus yang menjangkiti Kluster PUI Sivagangga,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah semasa sidang media bertarikh 6 Ogos 2020.

Bagi memahami konsep perebak utama, pekali R0 (dibaca: R-not) perlu dihuraikan. Pekali ini merupakan purata individu yang dijangkiti oleh seorang pembawa virus yang mana bagi SARS-CoV-2, nilai R0 = 2 – 3. Hal ini bermakna, setiap pembawa virus menjangkiti 2 – 3 orang lain, dan 2 – 3 orang ini menjangkiti 2 – 3 orang yang lain, dan seterusnya.

Walau bagaimanapun, nilai R0 hanyalah purata. Dalam dunia sebenar, sebahagian kecil pembawa virus menjangkiti lebih daripada 2 – 3 orang, manakala, sebahagian besar tidak menjangkiti sesiapa. Keadaan ini digambarkan oleh carta palang di bawah yang mana kira-kira 70% pembawa virus tidak menjangkiti sesiapa. Sebaliknya, baki 10 – 20% merupakan punca bagi 80% jangkitan sekunder – mereka inilah yang digelar perebak utama.

Bilangan orang yang dijangkiti (paksi x) dan kebarangkaliannya (paksi y). Sumber: doi.org/10.12688/wellcomeopenres.15842.1

Persoalan seterusnya, mengapa sesetengah individu boleh menjadi perebak utama? Pakar berpendapat bahawa sesetengah individu lebih cenderung untuk merebakkan virus melalui perlakuannya seperti cara mereka berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang lain. Sebuah makalah dalam jurnal Nature mendapati terdapat korelasi antara amplitud suara dengan bilangan zarah yang dikeluarkan oleh seseorang. Dapatan ini mencadangkan bahawa setiap orang perlu mengawal kekuatan suara mereka semasa berbual dengan orang lain selain mengamalkan pemakaian pelitup muka.

Bilangan zarah berkadar terus dengan amplitud suara si penutur. Sumber: www.nature.com/articles/s41598-019-38808-z.pdf

Selain itu, persekitaran turut memainkan peranan penting dalam menentukan kecenderungan kes perebakan utama (super spreading) berlaku. Jadual di bawah merangkumkan tempat-tempat yang berisiko menjadi lokasi perebakan utama. Tempat-tempat tersebut berkongsi beberapa ciri serupa iaitu tertutup, sesak dan kadar interaksi yang galak antara individu. Selain itu, sebuah makalah dari penyelidik China mendapati bahawa jangkitan SARS-CoV-2 berlaku lebih kerap di dalam bangunan. Mereka mengkaji 318 kluster dan mengenal pasti bahawa hanya 1 daripadanya berlaku di luar bangunan.

Senarai tempat, bilangan kes dilaporkan dan saiz kluster. Sumber: youtu.be/DCFab2sD8bs

Pengetahuan berkenaan perebak dan perebakan utama boleh membantu kita menewaskan virus ini. Justeru, sentiasa amalkan kebersihan diri dan pemakaian peralatan pelindungan peribadi (PPE) serta elakkan tempat-tempat yang berisiko berlakunya perebakan utama.

Rujukan

Disunting oleh Mira Ashikin

MENGENAI PENGARANG

Penyunting di Angkasfera | mkhairuladibmyusof@gmail.com | + ARTIKEL TERDAHULU

Beliau merupakan penerima ijazah sarjana muda fizik (UPM) dan doktor falsafah dalam sains angkasa (UKM). Kini, beliau merupakan pensyarah kanan di Jabatan Fizik, Fakulti Sains, UPM. Beliau percaya bahawa ahli akademik merupakan wadah yang menghubungkan masyarakat dengan ilmu aras tinggi.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

one × 1 =