Letupan Tragis Beirut

Pada 4 Ogos 2020, ibu negara Lubnan, Beirut digegarkan oleh letupan besar yang berlaku di kawasan pelabuhan kota itu. Kejadian ini telah mengorbankan sekurang-kurangnya 135 orang (setakat artikel ini ditulis) serta mengakibatkan kecederaan melebihi angka 4000 orang. Letupan ini dikatakan mempunyai hampir 10% intensiti pengeboman Hiroshima semasa perang dunia ke-2 dan merupakan salah satu letupan bukan nuklear yang terbesar dalam sejarah.

Kejadian yang berlaku itu bermula dengan letupan awal di sebuah gudang di kawasan pelabuhan di Beirut, lalu, mengakibatkan tercetusnya kebakaran. Seterusnya berlaku letupan kedua yang lebih kuat sehingga menghasilkan gelombang kejutan di seluruh bandar di Beirut dan impak letupan ini dapat dirasai sejauh 100 batu di kawasan Mediterranean.

Letupan awal yang menghasilkan asap yang berwarna putih kekuningan dan letupan kedua yang menghasilkan asap yang berwarna kemerahan. Sumber: www.washingtonpost.com

Punca Letupan

Punca sebenar letupan yang berlaku ini masih belum ditentukan. Walau bagaimanapun, menteri dalam negeri Lubnan, Mohammed Fahmi telah mengatakan bahawa kejadian itu mungkin berpunca daripada letupan yang terhasil daripada simpanan stok ammonium nitrat.

Ammonium nitrat adalah sejenis sebatian kimia dengan formula kimia NH4NO3 yang berwarna putih seperti garam kasar, terdiri daripada campuran ammonium, nitrogen dan oksigen. Bahan ini tidak mudah terbakar dalam bentuk asalnya, tetapi apabila dipanaskan ia akan terurai dengan pelbagai cara, melepaskan gas dan menjana lebih banyak haba. Sekiranya haba yang mencukupi terbebas, tindak balas ini akan tersebar dengan cepat seterusnya menghasilkan jumlah gas yang banyak sekali gus menyebabkan letupan.

Ammonium nitrat biasa digunakan sebagai baja pertanian dan sering menjadi punca letupan industri sejak beberapa dekad yang lalu. Antara peristiwa letupan terburuk disebabkan bahan ini berlaku di Texas  City pada tahun 1947 yang mana lebih daripada 500 orang  terkorban semasa melakukan pemunggahan kapal yang membawa sebanyak 2300 tan ammonium nitrat.

Asap Berwarna Putih Seakan Awan dan Asap Berwarna Merah

Asap berwarna putih seakan awan yang kelihatan itu adalah gelombang kejutan yang terhasil daripada letupan kedua menyebabkan air di udara memeluwap (condense). Gelombang kejutan adalah kawasan tekanan tinggi yang bergerak dengan pantas. Asap berwarna merah yang kelihatan sebelum dan selepas gelombang kejutan berlaku pula adalah nitrogen dioksida, salah satu bahan kimia yang terhasil semasa ammonium nitrat terurai.

Kesan kawasan pelabuhan selepas berlakunya letupan dan kelihatan terbentuk kawah kecil. Sumber: www.static.politico.com

Secara umumnya, nitrogen dioksida merupakan punca pencemaran udara dan kita menghirupnya sepanjang masa tetapi tidak menyedari perkara ini kerana jumlahnya sangat sedikit. Oleh itu, jika terlihat asap yang berwarna merah ini, penulis menasihatkan supaya anda berlari jauh dari kawasan tersebut.

Rujukan

Disunting oleh Ismatul Nisak

MENGENAI PENGARANG

Penyunting Kanan di Angkasfera | amirulmustaqim.azman@gmail.com | + ARTIKEL TERDAHULU

Beliau merupakan pelajar sarjana (sains angkasa), pengkhususan dalam pengesanan petanda gempa bumi. Beliau memiliki latar belakang akademik dalam bidang geologi.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

two × 4 =