Struktur lapisan berpigmen di bawah permukaan kulit ikan ini menyerap hampir keseluruhan cahaya!

Sebahagian ikan laut dalam, termasuklah Pacific blackdragon (nama saintifik: Idiacanthus Antrostomus) memiliki kulit ultrahitam yang menyerap hampir semua cahaya yang diterima. Kelebihan ini membantunya menyembunyikan diri daripada pemangsa. Sumber: www.sciencenews.org
Jauh di lautan dalam, wujud spesies ikan yang dicirikan sebagai ikan tergelap di dunia. Untuk melihat kehadirannya, cahaya berkeamatan tinggi diperlukan bagi menerangi ikan ini.
Sebahagian ikan laut dalam memiliki kulit yang berupaya menyerap hampir kesemua cahaya yang diterima, menyebabkan ikan ini kelihatan seperti halimunan. Menurut kajian, kulit ikan ini mengandungi struktur berpigmen yang padat di bawahnya bagi menjayakan penyamaran ini. Sifat ini bukan sahaja dapat melindungi ikan laut dalam ini daripada pemangsa dan mangsa, bahkan juga mencetuskan ilham kepada manusia dalam industri bahan ultrahitam untuk diaplikasikan pada teleskop dan juga fabrik.

Tidak seperti ikan normal, ikan ultrahitam yang tinggal di lautan dalam memiliki satu lapisan yang padat dan berpigmen iaitu melanosom (anak panah merah) pada kulitnya. Struktur kluster berbulat ini (paparan mikrograf elektron bagi Pacific blackdragon) menyerap hampir keseluruhan cahaya yang diterimanya, termasuklah pencahayaan oleh ikan lain (biopendarcahaya). Melanosom ditemui di sebalik membran (anak panah biru), di bawah permukaan kulit. Sumber: www.sciencenews.org
Dalam kajian kulit superhitam (superblack) ini, Osborn dan rakannya mengumpulkan 18 spesies ikan ultrahitam yang ditangkap dari laut yang berkedalaman sehingga 2,000 meter di Teluk Monterey di California dan Teluk Mexico. Pasukan ini kemudiannya mengukur keamatan cahaya yang dipantulkan oleh ikan-ikan tersebut. Mereka juga memeriksa kulit sembilan spesies ikan ini menggunakan mikroskop elektron dan mengira serapan cahaya pada setiap struktur kulit.
Kulit ikan ultrahitam mempunyai struktur lapisan yang padat, berbulat dan bermelanin, dikenali sebagai melanosom. Melanosom mampu menyerap hingga 99.95 peratus cahaya dengan panjang gelombang yang sama dengan cahaya Matahari sekeliling di lautan. Saiz, bentuk dan susunan melanosom juga membantu menghalakan cahaya yang tidak diserap oleh melanosom tunggal, ke arah melanosom yang lain di lapisan sama bagi memerangkap lebih banyak cahaya. Manakala, ikan hitam yang lain pula memiliki jurang tidak berpigmen antara melanosom, lantas membolehkan lebih banyak cahaya dipantulkan dan ikan lebih jelas kelihatan.
“Mekanisme bagi penemuan baru ini (ikan ultrahitam) adalah lebih mudah berbanding capaian ultrahitam bagi burung atau rama-rama. Hal ini kerana bulu atau sisik haiwan tersebut mempunyai pelbagai lapisan struktur mikro atau nano yang rumit untuk menyerap cahaya (SN: 1/9/18). Justeru, sekiranya jurutera dapat meniru apa yang ikan ini lakukan, ia mungkin memudahkan penghasilan bahan ultrahitam”.
– Osborn.
Nota Pengarang
Artikel ini merupakan terjemahan daripada https://www.sciencenews.org/article/ultrablack-fish-pacific-blackdragon-light-absorption#:~:text=Some%20deep%2Dsea%20fish%20have,July%2016%20in%20Current%20Biology.
Disunting oleh Adib Yusof
MENGENAI PENGARANG
Beliau merupakan pelajar doktor falsafah (cuaca angkasa) dengan pengkhususan berkaitan sifat dan fenomena di lapisan ionosfera Bumi. Beliau berharap agar portal ini dapat menyumbang kepada perkembangan ilmu cuaca angkasa.