Awan Oort atau Oort Cloud adalah kawasan yang paling jauh dalam Sistem Suria kita. Malah, objek yang paling hampir dalam Awan Oort adalah lebih jauh dari Matahari berbanding bahagian luar Lingkaran Kuiper (Kuiper Belt).
Tidak seperti orbit planet dan Lingkaran Kuiper yang terletak pada satah yang sama di sekitar Matahari, Awan Oort dipercayai berbentuk cengkerang sfera yang besar mengelilingi keseluruhan Sistem Suria. Ia boleh diibaratkan seperti gelembung berdinding tebal dan besar yang terbina daripada kepingan ais dari reja angkasa (space debris) dan bersaiz sebesar gunung atau kadangkala lebih besar daripada itu. Awan Oort mungkin mengandungi berbilion-bilion atau bahkan bertrilion objek di dalamnya.
Jarak Matahari ke Awan Oort adalah sangat jauh jadi adalah lebih mudah untuk kita menggambarkannya menggunakan unit astronomi atau AU. Satu AU adalah bersamaan dengan jarak antara Bumi dan Matahari. Orbit Pluto yang berbentuk elips menyebabkan jaraknya dari Matahari boleh menjadi sehampir 30 AU dan juga sejauh 50 AU. Jarak bahagian paling dalam Awan Oort pula dianggarkan antara 2,000 sehingga 5,000 AU dari Matahari. Manakala, bahagian yang paling luar pula dianggarkan 10,000 AU atau 100,000 AU; iaitu suku jarak antara Matahari dan bintang yang paling hampir dengannya.
Walaupun komet jangka panjang (long-period comet) yang dicerap antara planet-planet dianggap berasal dari Awan Oort, sehingga kini belum ada objek yang diperhatikan di kawasan itu, menjadikannya hanyalah suatu teori. Tetapi, ianya adalah penjelasan yang paling dipersetujui bagi menerangkan asal usul komet jenis ini. Berdasarkan pencerapan orbit komet, Awan Oort dipercayai menjadi sumber kebanyakan komet yang memasuki Sistem Suria manakala sebahagian komet jangka pendek mungkin berasal daripada Lingkaran Kuiper.
Rujukan
- https://solarsystem.nasa.gov/solar-system/oort-cloud/overview/
- https://www.universetoday.com/32522/oort-cloud/
Disunting oleh Mira Ashikin
MENGENAI PENGARANG
Beliau merupakan graduan sarjana sains angkasa UKM, pengkhususan dalam bidang frekuensi radio. Beliau memiliki latar belakang akademik dalam bidang kejuruteraan elektronik dan sains fizik. Beliau kini sedang bekerja dalam bidang sistem automasi bangunan sebagai Jurutera Sistem.