
Belati Raja Tutankhamun dari besi meteorit. Sumber: Muzium Mesir di Kaherah (www.eos.org)
Ketika ahli arkeologi pertama kali memeriksa mumia Raja Tutankhamun (Tut) pada tahun 1925, mereka menemui dua bilah belati yang cantik, dibalut rapi bersama linen mediang firaun tersebut. Belati pertama diperbuat daripada emas, dan belati kedua daripada besi. Walau bagaimanapun, satu kajian baharu telah mengesahkan persoalan yang sudah lama timbul dalam kalangan ahli arkeologi: adakah belati besi Raja Tut dibikin daripada meteorit?
Kajian tersebut menunjukkan bahawa tamadun Mesir kuno terlewat menggunakan besi dalam skala besar, kata seorang pakar dalam metalurgi (bidang sains berkaitan perilaku fizikal dan kimia bahan logam) kuno. Kelewatan itu mungkin telah menyebabkan kekalahan tentera mereka kepada peradaban saingan yang telah melengkapkan tentera mereka dengan senjata besi.
Kebanyakan orang kuno lebih menghargai besi daripada emas. Disebabkan besi mempunyai takat lebur yang tinggi (1538 °C), tukang besi pada waktu itu tidak dapat memanaskan bijih yang secukupnya untuk mengekstrak atau menempa besi untuk dijadikan senjata. Orang kebanyakan terpaksa bergantung pada “..gangsa, dan tembaga sebelumnya untuk membuat alat dan senjata. Objek emas dan besi pada masa itu terutamanya untuk tujuan hiasan, hadiah dan sebagainya,” ujar Daniela Comelli, saintis bahan di Polytechnic University of Milan, Itali, pengarang utama dalam kajian tersebut.
Tukang besi biasanya memilih gangsa, yang merupakan aloi timah-tembaga untuk membuat pedang, tombak, dan peralatan logam kerana ciri logamnya lebih mudah dilombong, diperhalusi dan ditempa. Namun, orang Mesir mempunyai sumber besi yang mudah ditukang, walaupun sukar untuk diperolehi iaitu meteorit. Bahan nadir luar angkasa ini mengandungi besi ditambah unsur lain, termasuk nikel sebanyak 10% hingga 30%. Menurut Comelli, walaupun tukang besi tidak mampu mencairkan meteorit, mereka mampu menukulnya menjadi manik atau senjata seperti belati Tut.
Kajian Comelli menjelaskan cara penggunaan mesin pendarfluor sinar-X mudah alih (XRF) untuk memeriksa belati di Muzium Mesir di Kaherah. Pasukan penyelidik tersebut telah ‘membedil’ belati itu dengan sinar-X dan memerhatikan tindak balas sinaran yang dipancarkan oleh logam berkenaan. Setiap elemen dalam bilah memancarkan panjang gelombang sinaran yang berbeza, justeru membolehkan para saintis menentukan komposisinya.
Hasil mendapati belati besi itu mengandungi sejumlah besar nikel dan kobalt. Tafsiran XRF oleh para saintis di University of Pisa di Itali, menunjukkan bahawa komposisi belati ini berpadanan dengan komposisi 11 meteorit yang mengandungi besi yang telah dianalisis dengan cara yang sama. Untuk mengesahkan pengukuran instrumen XRF, instrumen ini telah digunakan untuk menganalisis 11 sampel keluli tahan karat dengan peratusan unsur yang diketahui.
Kajian terdahulu menunjukkan bahawa besi yang diperbuat daripada bijih besi sebelum abad ke-19 mengandungi kurang daripada 4% nikel. Pasukan itu mendapati belati tersebut mempunyai lebih daripada 10% nikel, menunjukkan bahawa ia dibuat daripada logam meteorit dan bukannya bijih daratan.
Hasil terbaru ini menguatkan lagi pendapat para sejarahwan bahawa semasa pemerintahan Tutankhamun yang singkat (1332–1323 SM), orang “Mesir masih belum menempa besi mereka sendiri. Mereka, serta rakyat wilayah bersebelahan, mula menyebut semua jenis besi pada waktu itu sebagai besi langit“, kata Comelli.
Mesir kuno agak lewat menggunakan besi sebagai logam pilihan kerana wilayah mereka tidak kaya dengan sumber besi dan pokok yang banyak bagi menghidupkan api untuk tukang besi. Senjata dan alat besi di Mesir bukanlah perkara suatu kelaziman sehingga tahun 700 hingga 800 SM. Kelewatan ini menyebabkan Mesir tewas dengan lebih mudah semasa pertempuran dengan bangsa Het (Hittites) dan Kerajaan Kush dari Nubia — kedua-duaanya telah menggunakan senjata besi untuk kelengkapan askar mereka, sementara Mesir masih menggunakan gangsa.
Penentuan unsur asal belati dan objek besi lain dari Mesir kuno akan membantu para saintis untuk membina gambaran yang lebih luas mengenai metalurgi kuno di Mesir dan di wilayah jirannya.
Rujukan
Disunting oleh Adib Yusof
MENGENAI PENGARANG
Beliau merupakan graduan sarjana sains geospatial berteraskan dron fotogrametri. Menegaskan penulisan ilmu kerana ilmu yang tidak ditulis bakal hilang dimamah masa.
One thought on “Senjata dari Angkasa Lepas”