Baru-baru ini, rencana terbitan Awani melintas susur masa Twitter saya, lantas menarik perhatian saya – ini tangkap layarnya:
- Berpacaran: 33% SUDI dengan LPK lwn. 38% SUDI dengan LBPK
- Hubungan serius: 14% TIDAK SUDI dengan LPK lwn. 37% SUDI dengan LBPK
Pertama, sekiranya perbandingan (2) hanya membenarkan dua pilihan iaitu SUDI atau TIDAK SUDI, bukankah ia menjadikan 100% – 14% = 86% wanita SUDI menjalin hubungan serius dengan LPK? Ia jauh lebih tinggi berbanding 37% yang SUDI dengan LBPK. Saya yakin kajian tersebut telah dijalankan dengan kaedah statistik yang teguh (robust) serta dilaporkan dengan tuntas dan tepat dalam makalah saintifik yang berprestij, cuma penyimpangan maklumat mungkin berlaku semasa proses penterjemahan dan penerbitan. Paling meresahkan, rencana tidak menyertakan pemetikan (citation).
Kedua, premis rencana adalah berdasarkan perbandingan (1), iaitu hanya 33% wanita SUDI berpacaran dengan LPK berbanding 38% yang SUDI dengan LBPK – kesimpulan: LPK kurang diminati wanita. Benarkah? Bolehkah kita membuat kesimpulan dari angka tunggal sebegitu? Untuk menjawab persoalan tersebut, perbandingan antara dua cabang statistik perlu dibincangkan, iaitu statistik perihalan (SP, descriptive) dan statistik pentakbiran (ST, inferential).
SP memberikan rumusan secara kuantitatif (yakni, mempunyai nilai) bagi sampel data yang diperolehi, seperti purata, median, sisihan piawai dan sebagainya. Ia hanya menceritakan sampel data itu dan pada waktu itu sahaja.
Sebaliknya ST merupakan kaedah untuk menggambarkan, meramalkan atau mengitlakkan (generalize) seluruh populasi daripada sampel. Dalam kes lelaki dan kucing ini, sampel adalah 708 wanita yang dilibatkan dalam kajian, manakala populasi adalah semua wanita di seluruh dunia. Bagi menentukan sama ada beza 33% lwn. 38% tersebut adalah signifikan, ujian-t Student boleh dijalankan, iaitu sejenis kaedah statistik yang direka cipta di kilang arak (kenapa saya guna ‘Student’ dan bukan ‘Pelajar’? Baca atau tonton video sejarah perekaciptaannya!).
Ujian-t Student secara asasnya mengira nilai t, iaitu nisbah beza antara kumpulan (yakni, LPK & LBPK) terhadap beza antara ahli dalam setiap kumpulan (yakni, LPK1 dengan LPK2 dengan LPK-LPK lain; sama halnya bagi LBPK). Dengan kata lain, t = (beza antara kumpulan) / (beza dalam kumpulan). Jika nilai t lebih besar, maka beza antara kumpulan lebih signifikan, dan sebaliknya.
Jadi, berbalik pada persoalan asal, jika anda wanita, adakah anda meminati lelaki pencinta kucing atau tidak? Saya kira, itu kurang penting. Yang lebih penting, adakah lelaki tersebut meminati anda?
Rujukan:
- http://www.astroawani.com/gaya-hidup/wanita-kurang-tertarik-dengan-lelaki-pencinta-kucing-kajian-248330
- https://www.youtube.com/watch?v=0Pd3dc1GcHc
- https://www.statisticshowto.com/probability-and-statistics/t-test/
- https://www.youtube.com/watch?v=32CuxWdOlow
MENGENAI PENGARANG
Beliau merupakan penerima ijazah sarjana muda fizik (UPM) dan doktor falsafah dalam sains angkasa (UKM). Kini, beliau merupakan pensyarah kanan di Jabatan Fizik, Fakulti Sains, UPM. Beliau percaya bahawa ahli akademik merupakan wadah yang menghubungkan masyarakat dengan ilmu aras tinggi.