Batu permata menjadi tarikan kepada setiap peminatnya kerana bentuk dan warnanya yang indah. Ametis (Amethyst) ataupun dikenali sebagai batu kecubung merupakan batu permata berwarna ungu yang paling popular dan diminati di dunia. Pada zaman dahulu pula, penduduk Rom mengaitkan batu permata ini dengan dewa air mereka, dewa Neptune di mana Ametis dikatakan berasal daripada air mata Neptune. Ametis merupakan mineral berstruktur kristal heksagonal yang terbentuk daripada silikon dioksida dengan kekerasan (hardness) 7 skala mohs.
Warna Ametis
Ametis sangat popular kerana permata ini mempunyai pelbagai warna ungu yang menarik. Warna ungu yang cair akan menjadikan permata ini kelihatan seperti objek lut cahaya manakala warna ungu gelap pula akan menjadikan permata tersebut gelap atau hampir legap. Ametis juga boleh menjadi warna ungu kemerahan atau ungu violet.
Pembentukan Ametis
Ametis mula mendapat sifat warna ungu semasa pertumbuhan kristal, iaitu apabila berlakunya percampuran bersama surih besi semasa pembentukan kuarza. Selepas berlakunya penghabluran, sinar gama yang dipancarkan oleh bahan radioaktif di dalam batuan perumah akan menyinari surih besi yang akhirnya akan menghasilkan warna ungu. Keamatan warna ungu ini akan berbeza dari satu bahagian kristal ke bahagian yang lain. Variasi warna ini juga dikenali sebagai “pengezonan warna”. Ianya dapat dilihat dengan jelas pada pelbagai jenis spesimen Ametis.
Ametis dijumpai di batuan igneus, sedimen dan metamorf. Enapan Ametis biasanya dijumpai pada rongga batuan igneus. Di Brazil dan Uruguay, sejumlah besar Ametis dijumpai di kawasan rongga pengaliran basalt. Kebiasaannya, rongga batuan igneus yang besar mengandungi beratus-ratus paun sehingga beberapa tan kristal Ametis.
Kegunaan Ametis
Ametis sering digunakan sebagai perhiasan kerana bentuk dan warnanya yang cantik, namun begitu ada juga yang menggunakan Ametis sebagai salah satu cara rawatan untuk merawat pesakit yang mengalami penyakit fizikal seperti sakit sendi dan juga penyakit mental. Walaupun tiada sebarang bukti saintifik yang kukuh menyatakan batu permata ini mampu menyembuhkan penyakit, namun ianya tidak menghalang segelintir individu untuk membeli atau mengumpul batu tersebut untuk dijadikan sebagai rawatan alternatif.
Pada zaman Mesir purba pula, ianya digunakan sebagai tangkal yang akan memberi keselamatan kepada pengguna dan melindungi diri daripada nasib malang. Malah, tradisi ini diteruskan oleh segelintir masyarakat bukan sahaja di Mesir malah di seluruh dunia sehingga kini.
Rujukan
- https://www.crystalvaults.com/crystal-encyclopedia/amethyst
- https://www.geologypage.com/2020/06/purple-amethyst-what-causes-the-purple-color-of-amethyst.html
- https://www.gemsociety.org/article/history-legend-amethyst-gems-yore/
- https://www.pexels.com/@jonnylew?utm_content=attributionCopyText&utm_medium=referral&utm_source=pexels
MENGENAI PENGARANG
Beliau merupakan pelajar sarjana (sains angkasa), pengkhususan dalam pengesanan petanda gempa bumi. Beliau memiliki latar belakang akademik dalam bidang geologi.